Sunday, August 18, 2019

Tak Cerdik, Hempas Batu Di Kaki Sendiri. 1,625 Dibuang Kerja Sebulan. -S/Zailah


Hasil carian imej untuk siti zailah
Menteri rakus berpolitik, warga pekerja teraniya
POLITIK secara keterlaluan dan melampau dalam kalangan pemimpin PH dilihat menjadi punca hilangnya fokus dan inisiatif kerajaan terhadap hal ehwal pekerja. Akibatnya, produktiviti yang menyumbang kepada kemajuan dan ekonomi negara menjadi terencat menyanggahi 'harapan' seluruh rakyat, khususnya pengundi PRU14 atas perubahan teraju pemerintah negara.

Kekesalan paling bersarang dalam perasaan warga pekerja khususnya telah melarat kepada aspek rutin kehidupan mereka hingga berubah menjadi ancaman. Perkembangan semasa tahun ini dilihat bertambah buruk berbanding tahun lepas apabila secara purata 1,625 pekerja dibuang sebulan tidak termasuk kedudukan atau jawatan yang bersangkutan dengan politik.

Hal ini sebenarnya terlalu besar dalam keadaan Kerajaan PH gagal menyediakan peluang pekerjaan sebagaimana dijanjikan, termasuk juga pelaksanaan berkesan dalam memastikan pematuhan majikan terhadap gaji minimum yang paling disebut selama ini. Apatah lagi, laporan besar juga diterima pihak-pihak kesatuan sekerja mengenai isu diskriminasi.

Walaupun tidak dapat dinafikan sebahagiannya kerana aspek ekonomi global yang merudum, tetapi keghairahan politikus PH kepada mengukuhkan sokongan undi telah menjulang sikap perkauman hingga mempengaruhi sektor pekerjaan. Akhirnya, dari isu penawaran peluang pekerjaan dan pengangguran, ia meletupkan pula isu penindasan ke atas warga pekerja.

Keadaan ini menjadikan semua 'harapan', janji dan idealisme yang dikemukakan PH tidak lebih dari kepalsuan dan retorik semata-mata. Keadaan makin parah apabila aspek urus tadbir berkaitan antaranya pelaburan asing telah dibayangi kesangsian lantaran negara dimomokkan dengan hutang hingga RM1 trilion oleh Menteri Kewangan Kerajaan PH sendiri.

Tindakan tidak cerdik umpama menghempas batu ke kaki sendiri itu turut menyaksikan 'kemenangan' pekerja warga asing yang akan terus masuk dengan pelbagai projek mega dari 'pusingan-U' (U-turn) oleh kerajaan. Sedangkan pekerja tempatan bukan sahaja makin ramai diberhentikan, malah dikenakan syarat lebih ketat dari warga asing yang seolah dihampar permaidani.

Sebelum situasi menjadi lebih kronik, ada baiknya Menteri-menteri serta para Timbalan Menteri bagi portfolio yang berkaitan secara terhormat berundur diri. Apatah lagi mereka telah menzahirkan protes terbuka terhadap ketua sendiri iaitu Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. Warga pekerja memerlukan pemimpin, bukannya politikus yang leka.

Kepada warga pekerja di seluruh sektor, anda memiliki hak dan maruah yang sama sekali tidak harus dijadikan bulian atau direndahkan martabatnya oleh mana-mana pihak. Pengabaian yang sedang berlaku ini harus dituntut kerana ia terjadi antaranya oleh kebebalan politikus di puncak kuasa. Oleh itu pastikan anda sentiasa celik maklumat dan tidak sewenangnya percayakan lagi mereka ini.
"Islam Memimpin Perpaduan"

YB SITI ZAILAH MOHD YUSOFF
Pengerusi
Lajnah Pekerja dan Pengguna PAS Pusat
Ahli Parlimen Rantau Panjang - HARAKAHDAILY 17/8/2019

No comments:

Post a Comment