Rumah patuh syariah lebih selesa, teratur
PEMBAHARUAN Dasar Perumahan Terengganu berkuat kuasa 1 September lalu menyaksikan rumah patuh syariah yang lebih selesa dan teratur untuk keluarga diperkenalkan dalam pembinaan Rumah Mampu Milik (RMM) di negeri ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, menerusi dasar baharu yang lebih mesra pelabur dan pembeli, kerajaan negeri menyasarkan membina 20,000 unit RMM di seluruh negeri dalam tempoh empat tahun hingga 2022.
Beliau berkata, menerusi Dasar Perumahan baharu itu, setiap RMM mengikut reka bentuk patuh syariah dan bercirikan Islamik dengan
- tiga bilik tidur,
- ruang tamu
- dan ruang makan diasingkan untuk privasi keluarga,
- pengasingan bilik mandi dan tandas,
- selain penambahbaikan beberapa ciri lain.
“Kebiasaannya RMM dibina tanpa menitikberatkan kualiti susun atur rumah itu, tetapi dengan syarat patuh syariah kita mahu soal penjagaan aurat anggota keluarga dalam rumah itu diberi keutamaan dengan susun atur yang betul termasuk mengasingkan ruang tamu dan ruang makan.
“Jadi apabila ada tetamu datang ia tidak mengganggu privasi dan aktiviti tuan rumah. Kebanyakan RMM apabila masuk terus nampak dapur, jadi kita mahu elak itu,” katanya.
Ahmad Samsuri berkata, bahagian tandas dengan bilik mandi akan dipasang penghadang bagi menjaga kebersihan ketika berwuduk, sementara rumah juga akan ditambah dengan garaj kereta sebagai satu lagi proses penambahbaikan rumah.
“Kita juga mahu pastikan aspek pengudaraan dan pencahayaan RMM menerusi dasar baharu ini yang sering diabaikan sebelum ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Dasar Perumahan Baharu Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman di sini, semalam.
Mengulas lanjut mengenai Dasar Perumahan baharu itu, Ahmad Samsuri berkata, ia terbahagi kepada dua sub dasar iaitu Dasar Pembangunan Perumahan Bercampur Melalui Penswastaan dan Dasar Pembangunan RMM Jenis A Melalui Penswastaan.
Beliau berkata, dengan harga jualan serendah RM68,000 hingga RM80,000 bagi jenis A dengan keluasan lantai 75 meter persegi dan RM68,000 hingga RM185,000 bagi jenis B berkeluasan 84 meter persegi, kualiti rumah RMM juga ditambah baik.
Katanya, menerusi dasar baharu itu untuk permulaan 385 unit RMM jenis A akan dibina di Bukit Cina, Pasir Akar, Besut dan dijangka siap dalam tempoh tiga tahun. (MyMetro)
Model rumah banjir patuhi syariah (Atas).
(Bawah) Komen Weblog Ibnu Hasyim: Al-hamdulillah! 'rumah patuh syariah pula! Negeri-negeri lain boleh tiru kerajaan Terengganu.. Curi ilmu takpa! Berniat untuk memiliki rumah patuh syariat sudah dapat suatu kebajikan. Kerana sokong menyokong dalam makruf, elakkan mungkar.
No comments:
Post a Comment