Friday, September 20, 2019

Bagaimana Mendidik 9 Anak Jadi Hafiz? Ini...



“AL-QURAN adalah kunci kepada kecerdasan fikiran,” kata Rosmunainah Asmuni, 65, ibu kepada sembilan anak bergelar hafiz.
Menurutnya, untuk bergelar hafiz, tidak semestinya seseorang itu perlu dilahirkan sebagai seorang genius, sebaliknya hanya memerlukan keinginan sahaja.
“Al-Quran bukan diturunkan kepada orang cerdik atau genius saja, tetapi mukjizat kepada semua, bermakna orang biasa juga boleh hafiz dan hafizah, asalkan ada keinginan.
“Malah, selepas bergelar hafiz, lebih mudah untuk menghadam ilmu lain dengan lebih cepat berbanding orang biasa dan tidak keterlaluan jika dikatakan, ia kunci untuk menjadi seorang genius.

“Saya dan suami (Hussin Ismail, 65) mendidik semua sembilan anak saya menjadi hafiz pada usia muda dan kemudian turut cemerlang dalam bidang lain,” katanya kepada Harian Metro ketika ditemui di Akademi Al-Quran Amalillah (Akmal) di Kampung Tebakang, Bukit Payong di sini.
Semua sembilan anaknya terdiri daripada Siti Nuur Izzati, 38, kini menjadi pengurus di Maahad Tahfiz Al-Nursi, Shah Alam; Mohd Saifullah, 37, (Ketua Eksekutif Akmal); Mohd Fakhrurrazi, 35, (bekas peserta program Imam Muda musim ke-2 dan penyelia pentadbiran Akmal di Shah Alam); Siti Fatimatuzzahra, 33, (pensyarah di Politeknik Ibrahim Sultan, Pasir Gudang, Johor); Siti Nuur Nazifah, 31, (guru tahfiz ulul albab); Mohd Iqbal, 29, (penyelia pentadbiran Akmal Bukit Payong); Mohd Zulqornain, 26, (Timbalan penyelia pentadbiran Akmal Bukit Payong); Mohd Khidhir, 23, dan Mohd Danial, 21, kedua-duanya masih menuntut di Universiti Antarabangsa Afrika, Sudan.

HUSSIN (tiga dari kanan) melihat pelajar menghafal al-Quran di Akademi Al-Quran Amalillah di Kampung Tebakang Bukit Payong. FOTO Ghazali Kori

Kata Rosmunainah, dia dan suami tidak mengamalkan petua atau ritual tertentu, tetapi menjaga makan dan minum anak-anaknya.
“Cuma apabila kakak yang sulung (Siti Nuur Izati) dan anak kedua kami (Mohd Saifullah) bergelar hafiz, lebih mudah untuk semua adik mereka turut sama menjadi hafiz,” katanya.
Keberkesanan amalan menghafal al-Quran turut diakui Hussin dengan mengambil contoh anak sulungnya, Siti Nuur Izati yang mampu menjadi pelajar terbaik zon utara dalam peperiksaan Sijil Tinggi Ugama (STU) lebih 20 tahun lalu sebelum menjadi penuntut terbaik di Universiti Al-Azhar, Mesir ketika melanjutkan pelajaran ke negara itu.
“Begitu juga anak kedua, Mohd Saifullah yang belajar sekolah tahfiz di Lahore, Pakistan, kemudian belajar di Universiti Al-Ulum, Yaman dan menjadi penuntut terbaik di sana. Bila balik Malaysia selepas pulang dari Yaman, baru dia ambil SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) dan dapat keputusan cemerlang.
“Anak ketujuh (Mohd Zulqornain) pula ambil UPSRI (Ujian Penilaian Sekolah Rendah Islam) pada usia sembilan tahun, kemudian PMR (12 tahun) dan SPM (14 tahun).
“Dia dapat tawaran ke UIAM (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia) tetapi tak pergi, sebaliknya dia masuk Universiti Al-Iman, Sana’a Yaman pada usia 16 tahun.
“Ini buktinya al-Quran adalah mukjizat dan memang sudah dijanjikan Allah, bila dah hafal lebih 6,000 ayat, maka mudah untuk menghafal benda lain,” katanya.
Menurutnya, kejayaan mendidik sembilan anak bergelar hafiz membuatkan dia semakin bersemangat berkongsi kaedah dengan orang lain.
Daripada situ katanya, timbul idea untuk mewujudkan Akmal yang kini mempunyai 80 pelajar dengan lebih 70 peratus daripada mereka menghafal 30 juzuk al-Quran dalam masa setahun.
“Kami menggunakan kaedah fast track iaitu revolusi hafazan al-Quran dalam tempoh setahun. Ia membabitkan pengurusan masa, suasana, makan minum dan kesediaan diri pelajar serta guru untuk mengajar,” katanya.


NOR Latifah mengajar anaknya, Engku Daud dan Engku Sofiah mengaji al-Quran di Kampung Pinang Merah, Paka. FOTO Ghazali Kori
Alun ayat suci ketika masih dalam perut
Dungun: Mencukur keseluruhan rambut bayinya sejak berusia seminggu hingga 10 bulan menjadi amalan ‘rahsia’ buat Nor Latifah Abdul Rahman, 50, sehingga enam daripada lapan anaknya kini bergelar hafiz dan hafizah.
Latifah berkata, petua itu dipelajarinya daripada kenalan keluarga di kampung halamannya di Beserah, Kuantan.
Hasilnya, anak-anaknya mudah untuk menghafal 30 juzuk al-Quran dan cerdas dalam pelajaran selain patuh kepada arahannya serta suami, Engku Shahrul Nizam Engku Ab Aziz, 57.
“Memang jadi amalan orang tua dahulu mencukur keseluruhan rambut anak daripada usia tujuh hari hingga 10 bulan dan rambut yang dicukur itu dikumpul sebelum ditimbang di kedai emas.
“Bila dapat hasil timbangan, saya ikut nilai timbangan harga emas dan dermakan jumlah itu kepada orang susah, anak yatim dan masjid,” katanya ketika ditemui Harian Metro di Kampung Pinang Merah, Paka di sini.
Menurutnya, dia yang kini berkhidmat dengan Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal berkata, hasil amalan itu sememangnya berkesan apabila anak-anaknya mudah mendengar kata dan cemerlang dalam pelajaran terutama berkaitan agama serta hafalan al-Quran.
“Buktinya anak sulung saya, Solehah Radhiah bukan saja khatam al-Quran pada usia lima tahun, malah sudah mampu mengajar orang lain mengaji,” katanya.


NOR Latifah amal petua cukur rambut bayi berusia seminggu sehingga anak bergelar hafiz. FOTO Ghazali Kori
Enam anaknya itu terdiri daripada Solehah Radhiah, 25; Engku Mahmud Nasri, 23; Engku Muhammad Luthfi, 20; Engku Ahmad Syafiq, 17, Engku Sofiah, 14 dan Engku Daud Shauqi, 12.
Malah, salah seorang daripadanya, Engku Sofiah, baru-baru ini dinobatkan sebagai pelajar cemerlang apabila berjaya menguasai 30 juzuk al-Quran dalam tempoh lima bulan di Akademi Al-Quran Amalillah (Akmal), Marang.
Nor Latifah berkata, dua lagi anaknya, Engku Ahmad Daniel, 9, dan Engku Yusuf, 7, juga bakal mengikuti jejak langkah enam kakak dan abang mereka.
Selain amalan berkenaan, katanya, dia mula memperdengarkan bacaan ayat suci al-Quran kepada semua anaknya sejak mereka masih dalam kandungan.
Katanya, sejak awal perkahwinannya pada 1992, dia sudah memasang niat supaya anak-anaknya dapat menghafal 30 juzuk al-Quran dengan sempurna supaya dapat menjadi bekalan untuk mereka.
“Saya juga amat menjaga pemakanan mereka bagi menguatkan daya ingatan dan tak beri anak-anak makan sebarangan selain memastikan mereka makan makanan yang saya masak, jika perlu ke mana-mana, saya bawa bekalan dari rumah untuk anak selain memberi susu kambing, badam dan madu.
“Selain itu, setiap hari saya membaca surah Yassin, Luqman, Yusof, Maryam dan tiap malam Jumaat pula surah al-Kahfi.
“Saya turut mengajar anak supaya membaca al-Quran, sekurang-kurangnya satu muka surat sehari,” kata bekas guru al-Quran itu yang kini menetap di Teluk Kalong, Kemaman. (MyMetro)


Lihat rumah ini..
Setinggan 'Kebal' Masih Ada Di S'ngor? Ini..

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails