ISU ini membawa diri saya kembali ke Republic of Ireland, negara pemastautinan saya selama hampir 9 tahun. Lima tahun sebagai pelajar perubatan dan 3 tahun lebih sebagai doktor di beberapa hospital serata Ireland.
Ireland adalah sebuah negara Katolik walaupun sejak beberapa tahun ini, kelihatannya Ireland sedang berubah kepada negara yang lebih Sekular yang kini dipimpin oleh seorang yang telah mengisytiharkan sebagai seorang gay. Pelajar dan penduduk Malaysia di Cork (bandar di mana saya bermastautin di Ireland), pasti tidak akan lupa dewan yang biasa disewa setiap kali ada majlis keramaian seperti hari raya, yang berdekatan dengan gereja di Wilton. Ya, ia dewan milik gereja. Nak ke dewan pasti melewati gereja yang berdekatan.
Saya berpeluang bekerja di Bon Secours Hospital, yang telah dibuka oleh sekumpulan nun. Di luar hospital terpampang salib yang cukup besar, begitu juga di dalam bangunannya. Upacara sembahyang di chapelyang ada dalam hospital disiarkan secara langsung maka para pesakit boleh menonton upacara berkenaan dari katil masing-masing. Paderi akan melakukan 'ward round' setiap hari memberikan wafer bulat yang berwarna putih kepada pesakit, ritual yang dikaitkan dengan the last supper.
Sebagai minoriti Muslim di negara majoriti Kristian, saya dan komuniti Muslim hanya mengharapkan kami dapat dipenuhi hak-hak asas untuk melaksanakan ibadah seperti solat, berpuasa, ada ruang solat, surau dan masjid, wanita dibenarkan memakai tudung, makanan halal dan seumpamanya. Alhamdulillah, di Cork, masjid yang terakhir saya dapat hadir adalah disewa daripada gudang. Di Dublin yang merupakan ibu negara Ireland, ada masjid yang diubahsuai daripada gereja yang sudah tidak digunakan lagi selain pusat Islam di Clonskeagh yang cukup selesa.
Adalah menjadi kewajipan kepada Muslim yang minoriti menghormatilaw of the land, di mana Ireland adalah sebuah negara yang majoritinya menganut agama Kristian. Maka, memperjuangkan negara Islam di sebuah negara majoriti Kristian bukanlah sesuatu yang wajar. Malah, apa akan jadi jika ada berbincang soal Islamic State di luar negara? Kemungkinannya akan ditangkap dan disoal selidik walaupun skop perbincangannya adalah berbeza sekali dengan propaganda jahat yang dibawa ISIS.
Inilah sebenarnya mesej yang perlu dihadam oleh seluruh rakyat Malaysia.
Dalam satu majlis diskusi yang saya sertai tahun lalu, seorang rakan saya yang beragama Kristian dan juga peneraju kepada sebuah NGO Kristian telah melontarkan sesuatu yang tidak pernah saya terfikir. Katanya, parti-parti politik yang majoriti Melayu Muslim akan kekal relevan sampai bila-bila. Peratusan Bumiputera meningkat setiap tahun dengan jangkaan bilangan masyarakat Islam menjadi 72.4 peratus pada tahun 2050.
Beberapa minggu lepas, semasa menunggu anak saya mempelajar kelascoding di Mont Kiara, saya sempat berbual dengan seorang lelaki Cina lingkungan usia 60-70-an. Beliau hadir menemani cucunya. Apabila saya menjawab soalannya bahawa saya punya 5 orang anak, dia sangat terkejut. "How do you deal with that? I have 2 grandchildren and it's already difficult". Apa yang dia mungkin tidak sedar adalah bahawa belia Muslim sekitar umur saya agak biasa dengan bilangan anak 5 malah di kalangan rakan saya, ramai yang ada lebih daripada 5 orang anak. Sedangkan jika kita bertanya kepada komuniti Cina, satu atau dua orang adalah bilangan anak yang biasa kita dapati.
Perlembagaan Malaysia meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan, Yang Di Pertuan Agung sebagai Ketua Agama Islam, dan kita menerima bahawa Perdana Menteri adalah daripada kalangan orang Islam. Kita ada mahkamah khas untuk orang Islam dan banyak agensi khas berkenaan Islam bagi menguruskan hal ehwal orang Islam secara khusus seperti Tabung Haji, Jakim, Ikim, Yadim dan banyak lagi. Semua ini adalah sangat bertepatan dengan Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang didiami masyarakat berbilang kaum dan agama yang dipelihara hak mereka beragama iaitu dalam konteks ibadah dan ritual-ritual agama.
Maka, adalah sesuatu yang wajar dan matang bagi komuniti bukan Islam yang minoriti menghormati pengamalan agama majoriti di Malaysia. Ia termasuk tidak berbincang soal penubuhan atau pembinaan negara agama berdasarkan agama lain. Jika ia dilihat tidak wajar bagi Muslim memperjuangkan Islamic State di negara majoriti Kristian maka begitulah jualah sepatutnya bagi bukan Islam di negara majoriti Muslim. As simple as that.
.
Timbul persoalan, apakah ia bermakna Muslim dan Kristian tidak boleh langsung berbicara soal Islamic State dan Kingdom of God sesama mereka. Mungkin jika ia dibuat secara tertutup dengan tujuan mencapai matlamat berkenaan di negara asal mereka, bagi saya ia boleh diterima. Tetapi jika dilaungkan dalam program yang jelas membawa mesej politik seperti yang berlaku dalam program "Naratif Malaysia Baharu” di Mega Chinese Methodist Church, Kota Damansara baru-baru ini, adalah agak sukar untuk diterima alasan YB Steven Sim bahawa ucapannya sekadar untuk memberi semangat kepada masyarakat Kristian di mana masyarakat Kristian yang berkenaan adalah penduduk dalam sebuah negara majoriti Muslim.
Bayangkan jika program yang sama dilakukan oleh komuniti Muslim di sebuah negara Kristian. Anda boleh jangka apa yang akan terjadi. Steven Sim adalah seorang ahli Parlimen dan Timbalan Menteri, maka, ucapan seumpama itu pasti besar kesannya dan beliau sepatutnya lebih tahu apa yang wajar atau tidak wajar dilakukan sebagai pemimpin di kalangan komuniti bukan Islam dalam negara majoriti Muslim.
Kunci kepada apa yang kita lihat sekarang adalah pentingnya sikap menghormati kepada 'law of the land' tidak kira di mana sahaja kita berada. Sikap negatif yang ditunjukkan terhadap keputusan-keputusan yang melibatkan hal ehwal orang Islam seperti keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu dalam kes pasangan Lesbian adalah juga bukti betapa semakin terhakisnya sikap menghormati hak rakyat majoriti negara di kalangan segelintir rakyat Malaysia, apatah lagi apabila ia dipelopori oleh orang-orang politik.
Natijah daripada sikap yang tidak sensitif dengan 'law of the land', agama dan budaya masyarakat majoriti dalam mana-mana negara akan mengakibatkan masyarakat majoriti akan bertindak balas demi menjaga survival mereka di negara masing-masing.
Bagi saya, inilah resepi yang paling baik dalam mencapai perpaduan dalam negara dengan erti kata yang sebenar selain daripada usaha demi usaha di kalangan rakyat Malaysia dalam meningkatkan kefahaman terhadap budaya dan agama lain agar sikap hormat itu benar-benar dapat diimplementasikan.
Prinsip ini seakan mudah sahaja jika dibincang secara ilmiah tetapi realitinya ia sangat sukar. Moga Allah mempermudahkan usaha para pejuang kedamaian demi generasi yang akan datang. Terima kasih kepada rakan-rakan Kristian yang menghantar mesej di pagi hari bertanyakan pandangan isu ini. Tidaklah mustahil untuk rakyat Malaysia membincangkan isu sensitif ini dengan nada dan suasana yang matang demi negara.
Salam perpaduan,
FAIRUZ AZMI.
Batu Caves,
Di mana letaknya kuil Hindu yang utama di Malaysia. - HARAKAHDAILY 20/9/2019
Masalahnya di sini ialah dap nak jadikan negara ini sebagai negara kristian. Dan ada pembantu pulak iaitu pan dan pkr dan bersatu. Muslim Liberal yang ada tu cakap bukan main hebat lagi, tapi menikus bila kena sergah dengan dap.
ReplyDelete