Friday, September 27, 2019

Serangan Ganas, Berniat Jahat Bunuh Adib


TANGAN Koroner Rofiah Mohamad, menyentuh cermin hadapan jentera Bomba yang pecah didalam inkues bagi menentukan punca kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim, ketika melawat ke Balai Bomba dan Penyelamat, Subang Jaya. NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali


SHAH ALAM: Mahkamah Koroner hari ini, memutuskan punca kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim, berpunca perbuatan jenayah membabitkan dua atau lebih individu yang tak dikenali.
Koroner Rofiah Mohamad berkata, keterangan saksi ke-29 yang juga Perunding Kanan Patologi Forensik United Kingdom, Prof Dr Shahrom Abd Wahid bahawa Muhammad Adib dihentak dan diseret keluar dari van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) boleh diterima dan mempunyai asas selain formula yang digunakan dalam eksperimen berkenaan pengiraan daya yang menyebabkan kecederaan trauma tumpul di dada mangsa disokong saksi ke-30, pakar Fizik Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Amir Radzi Ab Ghani.
Beliau berkata, teori dikemukakan saksi ke-24, Pakar Forensik Patologi Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Ahmad Hafizam Hasmi yang menyatakan Muhammad Adib keluar sendiri dari van EMRS dan dilanggar hingga terhumban ke kiri jalan adalah ditolak selain formula digunakan dalam kecederaan dada Muhammad Adib, adalah menolak hukum fizik.
 ROFIAH Mohamad, bersama Timbalan Pendakwa Raya, peguam dan tiga saksi pihak berkepentingan bagi inkues menentukan punca kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim melawat ke Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya bagi melihat jentera yang terlibat. NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Katanya, sekiranya Muhammad Adib turun sendiri, mungkin mangsa akan jatuh ke belakang dan keadaan itu akan menyebabkan kecederaan lebih teruk, iaitu mungkin digilis ketika Fire Rescue Tender (FRT) mengundur dan meninggal dunia di situ.
“Teori saksi ke-29 yang mengatakan Muhammad Adib dihentak ke jenang pintu dan diseret adalah lebih munasabah serta konsisten dengan fakta penemuan dua topi keledar dalam van EMRS yang hanya boleh memasuki ruang van apabila cermin dipecahkan.
“Eksperimen yang dilakukan (Dr Shahrom) jelas menunjukkan cermin van dihentak berkali-kali dan ini konsisten dengan keterangan saksi ketiga (Pegawai Perubatan yang juga pemandu van EMRS, Ahmad Shahril Othman) bahawa dengar ketukan kuat dan bertalu-talu serta merasa goncangan.
“Ini menunjukkan ada individu yang bertindak ganas dan berniat jahat kepada Muhammad Adib,” hujahnya.
Rofiah berkata, keputusan yang dibuat bahawa kematian Muhammad Adib bukan berpunca daripada diri sendiri selepas meneliti beberapa keterangan saksi yang dipanggil ke mahkamah.
Katanya, saksi ke-10, Mohd Hafizan Nordin, yang mengejarkan Muhammad Adib untuk rawatan ke Subang Jaya Medical Centre (SJMC) dalam keterangannya, berkata ketika terperangkap dalam kesesakan berhampiran kawasan Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya, pada awal pagi, 27 November 2018, dia ditegur seorang wanita India yang melarangnya untuk pergi ke arah kuil terbabit kerana ada orang dipukul.
“Bila seseorang mempunyai niat baik dan tidak mahu benda tidak elok berlaku, ia terbit dari pengalaman.
“Jadi, boleh rumuskan larangan itu dilihat mempunyai pengetahuan bahawa ada yang dipukul ketika itu,” katanya.
Beliau juga berkata, keputusan yang dibuat juga turut dipengaruhi dengan mengambil kira saksi lain di tempat kejadian.
Rofiah berkata, beliau menyimpulkan Muhammad Adib dipukul kerana beberapa saksi melihat aksi gerakan memukul seperti terajang dan pijak oleh 20 hingga 30 lelaki.
Katanya, Muhammad Adib menjadi subjek kepada perlakuan itu, selain saksi bernama S Suresh (saksi kelapan) memberitahu mahkamah yang dia terdengar perkataan yang disebut dalam bahasa Tamil ‘jangan pukul. Bomba pun nak pukul ke?’.
Beliau berkata, keterangan Suresh bahawa ketika dia melindungi Muhammad Adib yang tidak sedarkan diri dalam keadaan bersandar di bahagian belakang kereta, dia turut menjadi sasaran apabila terkena sepakan yang mahu ditujukan kepada anggota bomba itu.
Katanya, penelitiannya mendapati dalam rusuhan itu, Muhammad Adib dipukul oleh dua hingga 30 orang yang tidak dikenal pasti siapa. (BH)
Lihat Sebelum Ini..

No comments:

Post a Comment