Monday, October 28, 2019

Ada Kampung Janda Baik Di M'sia, Apa Baiknya?

Hasil carian imej untuk kampung janda baik

CATATAN SANTAI IBNU HASYIM

SEBUT Janda Baik, teringat ku kepada sahabat lamaku yang sudah lama tidak bertemu, Tok Batin Orang asal Bukit Kala, Gombak Bt 12 Selangor. Aku terharu bila sebut Janda Baik semasa menulis mengenai kisah janda-janda di seluruh dunia.

Aku pernah bertanya beliau, mengapa dinamakan Kampung Janda Baik? "Ada kaitan dengan janda Orang Asli.", katanya.

Janda Baik, sebuah kampung rizab Melayu yang terletak berhampiran Lebuh raya Karak dalam daerah Bentong, Pahang. Kedudukan kampung tradisional Melayu di lereng Banjaran Titiwangsa, adalah kira-kira 600 meter di atas paras laut, kira-kira 36 kilometer (km) dari Kuala Lumpur.

Perjalanan memandu kereta ke lokasi itu dari ibu negara dengan melalui Lebuh raya Karak-Kuantan, kira-kira 45 minit. Jauh dari hiruk pikuk kota, dikelilingi hutan hijau dengan udara menyegarkan.
"Terdapat pelbagai versi asal usul nama Janda Baik." Tok Batin Bukit Kala itu memulakan penceritaan. Antaranya..
1. Balik ke pangkuan suami -Versi 1.
"Sebagai menghargai usaha tiga sahabat terbabit yang meneroka kawasan itu bersungguh-sungguh, maka kampung itu dikenali sebagai Kampung Tiga Haji. Iaitu Haji Deris, Haji Kadir dan Haji Yasir.
"Berkat jasa baik dan kesungguhan mereka, jumlah penduduk di kampung itu terus bertambah membuat Sultan Pahang, Almarhum Sultan Abu Bakar Riayatuddin Al-Muadzam, berkenaan membuat kunjungan kali pertama ke Kampung Tiga Haji pada tahun 1932. 
"Ketika baginda bersembang dengan penduduk kampung, ada antara mereka bercerita kawasan itu didiami Orang Asli yang hidup bercucuk tanam seperti padi serta buah-buahan.
Satu ketika berlaku pertengkaran antara Tok Batin Orang Asli kampung terbabit dengan isterinya, Siah, hingga menyebabkan mereka berpisah atau bercerai.
Namun tidak sampai sebulan berjauhan, Siah pulang semula ke rumah Batin Wok, dan kepulangannya diterima dengan baik.
Sawah padi yang diusahakan sebelum berpisah semakin subur dan matang serta masak, menjadi hidup mereka semakin bahagia. Buang yang keruh ambil yang jernih.
Berdasarkan kisah itu, Orang Asli di sana menggelar tanah berkenaan sebagai Janda Balik merujuk kepada Siah yang balik semula ke pangkuan Batin Wok.
Baginda Sultan Abu Bakar tertarik dengan kisah yang disampaikan itu kemudian menukar nama daripada Kampung Tiga Haji kepada Janda Baik, sekali gus kekal sehingga kini.


Kisah wanita baik hati  -Versi 2.
Satu lagi cerita yang boleh diterima mengenai bagaimana kampung itu mendapat nama Janda Baik. Hal ini berikutan seorang janda membantu merawat penduduk Pahang yang cedera setelah menyertai peperangan saudara di Selangor pada tahun 1918.
Ramai rakyat Pahang tercedera dan ada antara mereka terpaksa berpatah balik ke Temerloh.
Dalam perjalanan pulang ke Temerloh, dengan melalui satu kawasan hutan dikelilingi bukit bukau, iaitu Pulau Santap lokasi asal kampung berkenaan. Di sana mereka bertemu seorang janda yang menawarkan khidmat untuk merawat mereka yang tercedera. Dia juga membenarkan mereka berlindung sementara di rumahnya sehingga sembuh.
Sekembali di Temerloh mereka yang ditolong itu bercerita mengenai kebaikan seorang janda itu kepada penduduk dan sejak itu lokasi terbabit dikenali sebagai Kampung Janda Baik. 

3. Tempat tnggal ramai janda -Versi 3.



Ada yang mendakwa nama unik Janda Baik itu timbul ekoran satu ketika dulu ramai wanita yang bergelar janda tinggal di situ, selepas suami mereka maut dalam perang saudara yang berlaku di Selangor.
Kebanyakan janda terbabit, bukan sahaja mempunyai potongan tubuh badan dan wajah yang cantik, tetapi juga mempunyai akhlak keperibadian yang baik dan mulia. Serta sanggup membantu orang lain yang dalam kesusahan atau memerlukan bantuan. Janda-janda yang baik rupa dan akhlak.
4. Kawasan baharu selepas banjir -Versi 4.

Ketua Kampung Janda Baik, Zahari Ayop, 68, atau lebih dikenali sebagai Tok Empat, berkata, pada asalnya lokasi terbabit adalah kawasan terpencil yang didiami Orang Asli.

Peneroka mula datang ke kawasan ini pada tahun 1930 untuk mencari kawasan baharu selepas berlaku banjir besar pada tahun 1926 yang menenggelamkan banyak kawasan Semenanjung.

"Hampir semua penduduk awal yang berpindah ke lokasi itu, berasal dari Bentong. Kampung yang terletak di kawasan tanah datar dipenuhi hutan dikelilingi gunung-ganang ini dibuka oleh tiga sahabat yang dikenali sebagai Haji Deris, Haji Kadir dan Haji Yasir.

"Untuk mengenal pasti sama ada lokasi itu sesuai dijadikan perkampungan atau tidak, mereka berpakat membina pondok dan duduk hampir seminggu di sana. Bermula dari detik itulah kampung ini dibuka dan saudara mara mereka di Bentong berpindah ke sini," katanya.

Akhir Kalam..
Info Janda Baik, Pahang
  • Dibuka secara rasmi pada 1932
  • Mempunyai 2,800 penduduk (sehingga tahun 2015)
  • Terdapat 720 rumah
  • Terletak kira-kira 36 kilometer dari Kuala Lumpur dan 40 kilometer dari Bentong, Pahang
  • Kedudukan kawasan di Banjaran Titiwangsa pada ketinggian 600 hingga 800 meter dari paras laut
  • Suhu mencecah 28 darjah Celsius (siang) dan 22 darjah Celsius (malam)
  • Menyimpan khazanah flora dan fauna, termasuk pokok Balau berusia 250 tahun
  • Mempunyai empat kampung tradisional Melayu, iaitu Kampung Sum Sum, Cheringin, Chemperoh, Kampung Janda Baik dan Kampung Orang Asli Semelai
  • Menjadi tempat pertemuan empat aliran sungai utama iaitu Sungai Benus, Sungai Cheringin, Sungai Sum Sum dan Sungai Chemparoh.
  • Kini menjadi kawasan pelancong dari dalam dan luar negara. 
Sekian.
Ibnu Hasyim 28/10/2019


No comments:

Post a Comment