Sunday, October 27, 2019

Belalang Padi Sedap Dimakan.. Tanda Kebesaran Allah.,

Hasil carian imej untuk belalanh padi
Ungkap Rahsia Yang Maha Agung 
BELALANG padi atau nama saintifiknya chortophaga viridifasciata semakin digemari kerana mempunyai rasa yang enak, malah dijual hingga RM70 sekilogram. 

Pasangan suami isteri Muhammad Salleh, 64, dan Azizah Mat Jusoh, 59, yang menjual belalang padi atau belalang perah itu berkata permintaan terhadap serangga kecil itu sentiasa tinggi malah habis dijual tidak sampai dua jam. 

“Belalang yang dijual ini saya cari sendiri dan ada sebahagiannya dibeli daripada penduduk yang mencari belalang di Kampung Padang Pak Amat, Pasir Putih, Kelantan. Saya perlu juga mendapatkan bekalan dari pelbagai sumber bagi memastikan bekalan sentiasa ada untuk dipasarkan di pasar tani Kuala Besut setiap hari Jumaat dan Isnin. 

“Belalang ini dijual dengan harga RM10 bagi 100 gram dan RM70 untuk satu kilogram,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di sini. 

Muhammad yang mula menjual belalang di pasar berkenaan sejak September lepas berkata belalang tersebut boleh didapati dengan kuantiti yang banyak di rumput menerung dan di kawasan sawah selepas waktu hujan. Katanya belalang boleh ditangkap antara 8 malam hingga 12 tengah malam, menerusi dua kaedah iaitu menangkap seekor demi seekor menggunakan tangan ataupun menebar jaring yang diperbuat daripada guni. 

“Setelah ditangkap, belalang itu akan direndam dan digoreng seketika sehingga warna hijau belalang bertukar kemerah-merahan sebelum dijual. Sebelum dimasak, belalang ini masih perlu disiang dan dibersihkan sekali lagi. 

“Cara untuk siang belalang ini kita hanya perlu buang sayap dan kateh (kaki) sahaja. Kemudian barulah belalang ini boleh dimasak mengikut cita rasa yang diingini sama ada dimasak rendang, kerutuk mahupun goreng garam kunyit,” katanya. 

Warga emas itu yang mengakui turut menggemari belalang tersebut berkata ia sesuai digandingkan bersama nasi dan pulut. Sementara itu peminat tegar makanan eksotik itu, Che Ismail Rajab, 63, berkata belalang adalah makanan kesukaan sejak zaman dahulu, namun sukar didapati dan bermusim. 

“Dulu-dulu belalang ini dijadikan makanan kerana sumber makanan tidak banyak seperti sekarang. Kini makanan eksotik seperti ini sukar diperoleh dan hanya dijual di sesetengah tempat sahaja,” katanya. 

Bagi Fazira Wahida Jaiz, 26, pula terkejut apabila melihat belalang tersebut dijual oleh pasangan berkenaan dan pengalaman pertama itu membuatkan beliau bertindak memuat naik dan berkongsi gambar belalang tersebut di laman sosialnya, namun tidak menyangka ia berjaya menarik perhatian ramai yang ingin mengetahui lokasi penjualan. (Bernama)

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Tuhan anugerahkan nikmat kepada hamba ciptaannya. Lihat hukum makan belalang..

logo english3
Jawapan:
Alhamdulillah pertama sekali bersyukur kita kehadrat Allah S.W.T dengan nikmat Iman dan Islam, selawat dan salam ke atas junjungan Nabi Muhammad S.A.W serta keluarga Baginda, para Sahabat Baginda R.A dan kaum Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah S.W.T.
Hukum makan belalang secara umumnya adalah harus, dan ia disebut dalam banyak hadith, antaranya riwayat daripada Abu Ya’fur R.A, beliau berkata:
سَأَلْتُ عَبْدَ اللَّهِ بْنَ أَبِي أَوْفَى عَنْ قَتْلِ الْجَرَادِ، فَقَالَ غَزَوْتُ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم سِتَّ غَزَوَاتٍ نَأْكُلُ الْجَرَادَ
MaksudnyaAku bertanya ‘Abdullah bin Abi Aufa tentang membunuh belalang, dia menjawab “Aku pernah pergi berperang bersama Rasulullah SAW sebanyak enam kali, dan kami memakan belalang”. (Dalam riwayat Muslim, disebut sebanyak tujuh peperangan)
                                                                                  Sahih Muslim (1952), Sunan Abi Dawud (4357), Sunan al-Nasa’ie (4357)
Manakala daripada Ibn ‘Umar R.’Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:
أُحِلَّتْ لَنَا مَيْتَتَانِ الْحُوتُ وَالْجَرَادُ
MaksudnyaDihalalkan bagi kita dua jenis bangkai: ikan dan belalang.
Sunan Ibn Majah (3218)
Berdasarkan hadith ini Imam al-Nawawi memfatwakan keharusan memakan ikan dan belalang meskipun tidak melalui proses penyembelihan. Hal ini kerana kedua-dua jenis binatang tersebut adalah mustahil untuk disembelih, maka syarat sembelihan itu gugur. (Rujuk Al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab 9/72)
Terdapat juga riwayat daripada Abu Hurairah R.A, yang menceritakan satu perjalanan Rasulullah SAW bersama para sahabat untuk mengerjakan haji dan umrah, dan mereka terserampak dengan sekelompok belalang, lalu mereka membunuhnya. Baginda SAW pun bersabda:
كُلُوهُ فَإِنَّهُ مِنْ صَيْدِ الْبَحْرِ
MaksudnyaMakanlah ia, kerana ia sama jenisnya dengan binatang buruan di laut (yang halal dimakan).
Sunan Ibn Majah (3222)
Ibnu Qudamah pula menyebutkan riwayat dari Ibnu Umar, bahawa suatu hari ada belalang goreng dihidangkan kepada beliau. Ibn Umar mengatakan, cara memasak belalang ialah dengan dipatahkan sayapnya, kemudian dimasukkan ke dalam minyak dan digoreng dalam keadaan ia masih hidup. (Rujuk Al-Mughni, 11/43).
Kesimpulannya, hukum makan belalang adalah harus berdasarkan riwayat-riwayat yang disebutkan di atas.
Wallahu a’lam.

Hasil carian web


E-Buku IH-22: Ungkap Rahsia Yang Maha Agung

Hibur Hibur Sikit..

P.Ramlee - Nujum Pak Belalang


Ebiet G. Ade - Nyanyian Ombak

Ranting-ranting patah gemerekah... Belalng pun terbang..


Ebiet G. Ade

-Pengemis Dan Tukang Copet


No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails