Kenyataan Media Mengenai Belanjawan 2020
Belanjawan2020 gagal menunaikan janji untuk Rakyat Sarawak
Manifesto PH telah menjanjikan 30 peratus dana pembangunan
1.Belanjawan 2020 sedap didengar dan hanya indah pada bunyinya, namun ia sebenarnya gagal memenuhi janji manifesto Pakatan Harapan (PH), untuk rakyat Sarawak sendiri.
2. Dari segi peruntukan pembangunan misalannya, Sarawak menerima hanya RM4.4 bilion berbanding RM5.2 bilion untuk Sabah. Jumlah RM9.6 bilion untuk Sarawak dan Sabah ini hanya 17.1 peratus daripada jumlah dana pembangunan dalam Bajet 2020.
3. Manifesto PH telah menjanjikan 30 peratus dana pembangunan akan diagihkan kepada Sarawak dan Sabah, tapi kenapa hanya 17.1 peratus yang diperuntukkan?
4. Pada masa sama, mengapa Sarawak terus menerima peruntukan jauh lebih kecil berbanding Sabah, sedangkan Sarawak negeri terbesar, dengan keluasan hampir menyamai seluruh tanah Semenanjung. Apakah rasionalnya memberikan peruntukan lebih kecil kepada Sarawak.
5. Jika beginilah caranya Kerajaan Pakatan Harapan mengagihkan peruntukan untuk Sarawak dan Sabah, hasrat untuk merapatkan jurang pembangunan antara Sarawak, Sabah dan Semenanjung nampaknya tidak akan dapat dicapai dalam masa terdekat terutama dari segi infrastruktur.
6. Ini kerana Kerajaan Pakatan Harapan sendiri tidak mampu untuk menunaikan apa yang telah dijanjikan dalam Manifesto kepada rakyat Sarawak sendiri.
7. Begitu juga peruntukan bagi sekolah daif, kita mahu mendengar perincian pelaksanaannya untuk Sarawak. Ini kerana Sarawak sudah membayar RM350 juta sebagai bayaran awal untuk sejumlah RM1 bilion sebagai kontra, malangnya ia tidak diperincikan di dalam pembentangan Belanjawan 2020.
8. Kita mahu projek menaiktaraf dan membina semula sekolah daif di Sarawak dipercepatkan untuk menjamin kebajikan anak-anak dan guru-guru supaya pada akhirnya pencapaian anak-anak itu sendiri dapat dipertingkatkan.
9. Belanjawan 2020 juga tidak menyentuh langsung janji Manifesto PH Sarawak untuk memulangkan kembali 50 peratus cukai yang dikutip di Sarawak. Tiada langsung pengumuman mengenainya. Mana janji manifesto PH Sarawak?
10. Secara umum kita juga melihat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) tidak dihormati apabila Menteri Kewangan menyentuh mengenai semakan semula geran untuk Sarawak dan Sabah di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.
11. Kita menyambut baik hasrat Kerajaan Persekutuan untuk menaikkan geran kepada Sarawak dan Sabah, namun apakah perkara ini sudah dibincangkan, diperincikan dan diluluskan diperingkat Jawatankuasa Teknikal yang ditubuhkan?
12. Saya percaya perkara seperti itu perlu dibincangkan di peringkat Jawatankuasa Teknikal, diperhalusi, diperincikan dan dipersetujui bersama, barulah boleh diumumkan, bukannya keputusan dibuat secara unilateral.
13. Ini kerana kadar pemberian khas amat jauh berbeza yang mana Sabah menerima RM106.8 juta berbanding Sarawak RM64 juta dalam tempoh lima tahun.Sebab itu kita menganggap Semangat MA63 tidak dipenuhi, dihayati dan dihormati oleh Menteri Kewangan sendiri.
14. Semua ini juga menunjukkan Sarawak masih dilihat dengan sebelah mata bukan dengan sepenuhnya, sebab itu kita lihat Sarawak menerima peruntukan jauh lebih rendah berbanding Sabah, walaupun luas Sarawak jauh lebih besar.
Dato Sri Fadillah Yusof
Ketua Whip GPS
Ahli Parlimen Petra Jaya
11 Oktober 2019
Ketua Whip GPS
Ahli Parlimen Petra Jaya
11 Oktober 2019
No comments:
Post a Comment