Saturday, October 12, 2019

Belon Meletup, 16 Cedera Di Putrajaya.


Belon berisi gas helium yang meletup mengakibatkan seramai 16 mangsa melecur termasuk kanak-kanak dalam program Kecergasan Kementerian Pendidikan Peringkat Kebangsaan di Dataran Putrajaya. – NSTP/Luqman Hakim Zubir  
'Terasa bahang, bau gas kuat'
PUTRAJAYA: “Bunyi letupan yang kuat mengejutkan saya sebelum disusuli bahang panas dan bau gas yang sangat kuat,” kata Sri Rahayu Sugiono, 35, seorang daripada 16 mangsa yang cedera susulan insiden letupan belon di Dataran Putrajaya di sini, hari ini.
Menceritakan kejadian berkenaan, kakitangan Kementerian Pendidikan itu bersama tiga anaknya, Nir Hafifizah Khalid, 6; Mohd Haffizal, 5; dan Nur Haffiqah, 4, berada tidak jauh dari lokasi belon itu meletup.
“Ketika itu baru selesai sesi penyampaian hadiah dan ada belon (yang digunakan ketika gimik pelancaran) berada di bawah pentas. Selepas bunyi letupan itu, anak saya turut menangis.
“Kejadian berlaku pantas dan mengejutkan, selepas itu anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) datang dan terus memberi bantuan kepada ketiga-tiga anak saya yang cedera,” katanya ketika ditemui di pekarangan Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Putrajaya di sini, hari ini.
Dalam kejadian pagi tadi, seramai 16 orang termasuk sembilan kanak-kanak melecur susulan letupan belon dipercayai berisi gas helium selepas selesai Program Kecergasan Kementerian Pendidikan Peringkat Kebangsaan 2019 di Dataran Putrajaya, di sini.
 Sebahagian mangsa menerima rawatan awal selepas belon berisi gas helium yang meletup mengakibatkan seramai 16 mangsa melecur termasuk kanak-kanak dalam program Kecergasan Kementerian Pendidikan Peringkat Kebangsaan di Dataran Putrajaya. – NSTP/Luqman Hakim Zubir
Sri Rahayu berkata, susulan kejadian itu, anak sulungnya mengalami kesan melecur ringan di bahagian belakang badan selepas terkena sisa serpihan dipercayai belon berkenaan.
“Doktor memaklumkan, anak kedua pula mengalami kemerahan pada bahagian dalam telinga kiri dan akan membuat rawatan susulan di klinik kesihatan, manakala anak ketiga turut melecur ringan di belakang telinga.
“Saya cuma terasa bahang di bahagian muka dan tangan tetapi semakin berkurangan,” katanya.
Ditanya keadaan ketika itu, Sri Rahayu berkata, dia terdengar kanak-kanak menangis, manakala suasana di tempat kejadian terkawal.
Sri Rahayu memaklumkan, dia dan tiga anaknya dibenarkan pulang oleh pihak hospital hari ini.
Sementara itu, seorang lagi ibu mangsa yang enggan dikenali berkata, dia terdengar bunyi letupan dari jauh dan anak lelakinya kemudian berlari serta terus memeluknya.
“Ketika kejadian, anak saya berada berdekatan pentas utama dan program sudah tamat, manakala kami bersiap untuk pulang.
“Tiba-tiba dia datang dan memeluk saya. Dia hanya melecur kecil di tangan dan tidak serius,” katanya. (BH)
Lihat Sebelum Ini..


No comments:

Post a Comment