KOTA BHARU: Menjelang pembentangan Belanjawan 2020 esok, Kelantan berharap Kerajaan Persekutuan tidak lupa untuk melaksanakan lima projek mega di negeri ini sebagaimana dijanjikan.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, pihaknya berharap kelima-lima projek itu termasuk dalam Belanjawan 2020.
"Kita berharap apa yang diumumkan kerajaan sebelum ini akan dikotakan dan semua dana yang diperlukan masuk dalam pembentangan Bajet 2020, Jumaat ini (esok).
"Ia merupakan harapan besar rakyat Kelantan seperti menaik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, projek lebuh raya dan sebagainya,” katanya di sini.
Sebelum ini, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali mengumumkan Kelantan bakal mendapat limpahan pembangunan apabila lima projek utama akan diberi keutamaan oleh Kerajaan Persekutuan untuk disiapkan dalam tempoh terdekat.
Lima projek tersebut adalah
- pembinaan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3),
- pembesaran dan naik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra,
- laluan baharu antara Pasir Puteh-Machang-Jeli,
- Lebuhraya Kota Bharu-Kuala Krai
- dan Jambatan Palekbang-Kota Bharu.
Dalam perkembangan yang sama, Mohd Amar berkata, kerajaan negeri juga berharap janji untuk menunaikan pembayaran royalti pada negeri itu juga dapat dikotakan.
"Kita harap juga pembayaran royalti dilaksanakan sebaik mungkin. Ia bukan termasuk dalam Belanjawan 2020, tapi kita juga harap ia dipertimbangkan.
Amar turut membayangkan sekiranya jumlah diperolehi antara RM500 hingga RM700 juta setahun sudah banyak perkara yang dapat dilaksanakan untuk rakyat. – HARAKAHDAILY 10/10/2019
No comments:
Post a Comment