Monday, October 07, 2019

Kerajaan Sedia Jual PLUS Pula.


PERDANA Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ketika sidang media pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen. - Foto BERNAMA


KL: Kerajaan bersedia menjual PLUS Malaysia Bhd (PLUS) jika nilainya bersesuaian dengan bidaan ditawarkan, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.
Bagaimanapun, Perdana Menteri berkata kerajaan akan tetap memastikan masih memiliki kepentingan saham di dalam syarikat berkenaan walaupun sudah dijual.
“Apa-apa bidaan oleh sesiapa akan dikaji kerajaan. Kalau mengikut kehendak kita, kita akan layan permintaan.
“Kita boleh jual tetapi kena ada tempat (kepentingan) juga untuk kita punya,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, hari ini.
Beliau mengulas kesediaan firma Hong Kong, RRJ Capital, membuat tawaran tunai baharu bernilai RM3.5 bilion untuk membeli 100 peratus kepentingan PLUS.
Sebelum ini, RRJ Capital menawarkan RM3 bilion untuk membeli saham PLUS.
PLUS dimiliki oleh UEM Group dengan pegangan saham 51 peratus dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang memiliki baki 49 peratus.
Ketika ditanya kemungkinan penjualan saham PLUS akan menghilangkan pendapatan kerajaan, Dr Mahathir berkata, kerajaan mempunyai jawatankuasa khas untuk menilai perkara itu.
“Kita ada jawatankuasa yang memerhati masalah hutang dan pembayarannya dan mereka akan memberi pertimbangan, sebarang cadangan untuk mengurangkan hutang negara,” katanya.
Sementara itu, mengulas cadangan pelbagai pihak supaya diwujudkan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), Perdana Menteri berkata perkara itu tidak dibincangkan pada peringkat kerajaan.
Katanya, sebelum ini beliau berkata kerajaan sedia mewujudkan semula GST jika itu yang dimahukan rakyat, sebagai menjawab soalan dibangkitkan pemberita.
"Kita tidak lakukan perbincangan lagi. Itu (laksana semula GST) saya ditanya oleh media dan saya jawab.
"Cuma kalau timbul permintaan daripada rakyat, kita sensitif kepada kehendak rakyat, kita akan kaji. Tapi tidak ada kajian yang dibuat pada waktu ini.
"Masa saya menjawab itu belum ada persidangan Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH)," katanya.
Ditanya perkembangan bidaan Japan Airlines Co Ltd (JAL) untuk membeli kepentingan ekuiti dalam Malaysia Airlines (MAS), Perdana Menteri berkata terdapat banyak pembida yang berminat termasuk pelabur tempatan.
"Ia bergantung kepada Khazanah (Nasional Bhd) untuk buat keputusan," katanya. (BH)


Setinggan 'Kebal' Masih Ada Di S'ngor? Ini..

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails