EXCO kerajaan negeri, Paul Yong Choo Kiong ketika ditemui di Mahkamah Sesyen Ipoh, hari ini. - Foto Muhaizan Yahya
IPOH: Pembantu rumah warga Indonesia yang didakwa dirogol EXCO kerajaan negeri, Paul Yong Choo Kiong, menjadi saksi pertama perbicaraan kes itu yang bermula pada 11 November ini.
Prosiding keterangan saksi utama kes itu, bagaimanapun akan dijalankan secara tertutup di hadapan Hakim Norashima Khalid.
Keputusan itu dibuat ketika kes itu disebut semula untuk pengurusan kes di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.
Terdahulu, pihak pendakwaan memohon agar keterangan saksi utama itu dilakukan secara persidangan video, tetapi dibantah oleh pihak pembelaan dengan mengatakan mangsa bukan bawah umur.
Pada 23 Ogos lalu, Choo Kiong yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu Perak, mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan berkenaan.
Choo Kiong didakwa merogol pembantu rumahnya di sebuah bilik di tingkat atas kediamannya di Jalan Desa Meru 2, Taman Desa Meru, dekat sini, antara jam 8.15 malam hingga 9.15 malam pada 7 Julai lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan perbicaraan kes itu ditetapkan selama lima hari bermula pada 11 November ini.
Pengarah Pendakwaan Perak, Azhar Mokhtar, dilaporkan berkata pihaknya akan memanggil 24 saksi, termasuk mangsa bagi memberi keterangan sepanjang perbicaraan itu.
Pendakwaan oleh Azhar dibantu Timbalan Pendakwa Raya, Ainul Wardah Shahidan dan Naidatul Athirah Azman.
Tertuduh diwakili barisan peguam Leong Cheok Keng, Datuk Rajpal Singh dan Farhan Sapian.
Norashima turut membenarkan permohonan pihak pembelaan agar perbicaraan itu diadakan selama empat hari iaitu pada 11 November hingga 15 November ini, dan bukan lima hari seperti diputuskan sebelum ini.
Rajpal memohon mahkamah agar tiada perbicaraan kes itu pada 12 November bagi membolehkan Choo Kiong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh menghadiri persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada tarikh berkenaan.
Terdahulu, Choo Kiong tiba di pekarangan mahkamah kira-kira jam 8.50 pagi disambut kira-kira 200 penyokong yang menaiki lima bas. (BH)
Video
Lihat sebelum ini..
Setinggan 'Kebal' Masih Ada Di S'ngor? Ini..
No comments:
Post a Comment