Monday, October 21, 2019
Kisah Ibnu Hasyim Di Mekah 1987. Catatan Dari Colombo..
Atas: Pintu Babus Salam. Bawah: Foto Ka’bah di malam hari (Jun 2011). Di mana orang sedang thawaf di sekeliling Ka’bah.
Diangkat dari Artikel 'Sri Lanka: Jumpa Kawan Lama, 22 Tahun Lalu. CATATAN PERJALANAN SRI LANKA 10'.
BAS yang saya naik dari Colombo sampai ke bandar Hatton, sebuah daerah pergunungan kira-kira 125 kilometer dari Colombo. Lebih kurang macam Cameron Highland atau Genting Highland, kalau di Malaysia. Penumpang-penumpang turun bersimpang siur menuju distinasi masing-masing. Tapi saya masih terlangak-langak, entah ke mana nak dihalakan.
Seperti biasa di negara bukan Islam, pertama saya cari masjid, dan kedua kedai makan Islam. Saya tanya orang di stesyen bas itu, mereka tunjukkan arah masjid, dan dalam perjalanan ke sana banyak kedai makan Islam. Saya pun merayau arah ke masjid dan singgah di sebuah gerai tepi jalan yang jual makanan ringan Islam, macam makanan di kedai mamak Jalan Masjid India di KL. Saya berhenti dan bercakap-cakap dengan mereka.
Tiba-tiba terasa bahu saya dicuit, "Tuan dari Malaysia?" Ada suara betanya. Saya berpaling ke arahnya, belum sempat saya jawab katanya, "Kami mudah kenal orang Malaysia. Kami orang Melayu di sini!"
Setelah bersalam dan kenal-kenal, dia ajak saya singgah di kedai berhampiran, abangnya sedang menunggu. Saya ikut dan bertemu di kedai itu. "Saya nampak tuan sedang berjalan dari jauh, saya sudah tahu, ini tentu orang Malaysia. Saya suruh adik saya panggil tuan. Tuan bangsa Melayu?" Abangnya tanya saya.
Saya angguk. Kami sama-sama perkenalkan diri. Namanya Thuan Hameem Harries. Umur 49 tahun, mempunyai 2 anak. Anak lelaki bernama Thuan Shah Rukh, dan anak perempuan bernama Nyak Shuhada Nadiah.
"Maaf! Saya tidak tahu bahasa Melayu." Katanya dalam bahasa Inggeris. "Saya pernah tinggal di Makkah selama belasan tahun, saya cari orang Melayu di sana nak kenal-kenal bangsa dan bahasa sendiri, tetapi tak dapat. Yang saya pandai akhirnya bahasa Tamil, Urdu, Arab dan beberapa bahasa lagi. Pun alhamdulillah.."
"Tahun berapa tuan di sana?" Saya tanya.
"Saya sampai di sana tahun 1987. Kerja di istana Raja Saud berhampiran Kaabah.. belasan tahun juga saya kerja di Saudi.."
"Eh.. waktu itu saya berada di sana. Saya tingal di sana kira-kira 6 bulan, sebelum dan selepas musim haji. Saya bawa teksi.. musim haji hampir setiap pagi lepas subuh saya tunggu pelanggan bawah jejambat dekat istana depan pintu Babus Salam depan Kaabah. Saya nampaknya agak lain dari yang lain waktu itu . kerana.."
"Oh.. Saya rasa macam saya ingat walaupun 22 tahun lalu.. Saya ingat jelas. Kalau tak salah tiap pagi tuan pakai t shirt hijau dan seluar tebal ala kowboi. Agak pelek dan lain dari orang lain, biasanya yang lain memakai jubah dan pakaian ihram, hampir semuanya putih.." Dia terus memotong.
"Betul! Kalau begitu memang betul. Saya pakai begitu sebagai identiti untuk pelanggan teksi saya mudah kenal. Tiap pagi saya mesti ada di situ, berpakaian begitu." Saya jelaskan.
"Adalagi identiti tuan, yang saya ingat! Di tangan tuan mesti ada rokok Mesir 'Cleopatra' sebungkus. Ada orang menunjukkan kepada saya, itu pemuda Melayu dari Malaysia. Tiap-tiap pagi saya lihat ada di situ, sejak saya baru sampai. Bila saya dah biasa suatu hari saya bertekad nak berkenalan dengan tuan, tiba-tiba tuan sudah tiada pada pagi-pagi seperti biasa. Puas saya cari. Kecewa saya. Itu yang membuat saya ingat sampai sekarang!" Katanya.
"Oh.. Saya tiada di situ kerana selepas musim haji, saya sentiasa berulang alik antara Makkah-Jeddah, bawa pelanggan. Saya suka mandi bila ada kelapangan di tepian pantai Jeddah. Saya berkawan dengan nelayan-nelayan di sana, saya sentiasa mengambil kepala ikan yang dipotong dan akan dibuang, kerana mereka tidak makan kepala ikan waktu itu.
"Saya bawa pulang ke kampung orang Jawi sekitar Jabal Sudan, Makkah. Penuh kereta dengan kepala ikan, saya beri percuma kepada mereka. Bila saya pulang ramailah yang menunggu saya nak dapatkan kepala ikan.. dan kadang-kadang ada daging sembelihan, yang pelanggan saya suruh agihkan kepada orang miskin, setelah menyembeleh di pasar kambing di Jeddah." Kata saya.
Cerita saya sudah berlarut-larut. Akhirnya saya tanya dia. "Bila tuan sebut rokok di Saudi, orang sana bermazhab yang mengharamkan rokok, tetapi masih ramai yang merokok, boleh di temui di mana-mana dalam bandar, Makkah, Jeddah dan lain-lain. Tetapi anehnya di Colombo ini, sudah seminggu saya di sini, saya tidak jumpa pun orang mengisap rokok. Samada di tempat awan, dalam restoran, sambil berjalan atau di mana-mana, walaupun kadang-kadang terjumpa juga kedai yang menjual rokok. Apa rahsianya?"
"Oh. Di sini undang-undang merokok agak keras. Tidak boleh hisap sambil berjalan, di tempat awam, bahkan di dalam restoran pun. Ada restoran membenarkan pekerjanya curi-curi hisab dalam jamban saja. Harga rokok pun terlalu mahal. Antara yang terkenal berjenama 'Gold Leaf'." Jelasnya.
Nampaknya kerajaan Sri Langka lebih berjaya banteras rokok dari kerajaan Malaysia. Konon di Malaysia kempen besar-besar 'Tak Nak!', tapi cukai rokok nak. Tulis di kotak merbahaya amaran kerajaan Malaysia. Buat gambar-gambar penyakit menakutkan, tapi pegawai pemasaran sentiasa meningkatkan jualan. Main-main! Bukan nak larang sungguh-sungguh!!
Saya ingat cukuplah cerita Sri Langka untuk kali ini. Ya, elok disertai juga di sini nama dan alamat kawan saya itu, kalau perlu apa-apa hal untuk dihubungi. Iaitu..
Thuan Hameem Harries.
23 BusbStand
Pearl Hotel, Hatton,
Sri Langka.
Tel: 0777 801525 & 0755 364577.
Sekian.
Saya Ibnu Hasyim (kanan) bersama Thuan Hameem Harries di restorennya.
Masjid di bandar Hatton, Sri Lanka
Ibnu Hasyim, Catatan Perjalanan.
ibnuhasyim@gmail.com
Dis 1, 2009
KL
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment