Thursday, October 31, 2019

Kos Sara Hidup Meningkat: Persepsi Atau Realiti? -Ahmad Fadhil Shaari.

SAYA bangun untuk mengemukakan soalan tambahan pada 29 Oktober 2019 ketika Ahli Parlimen Kluang, Puan Wong Shu Qi minta Menteri Hal Ehwal Ekonomi menyatakan bagaimana dasar 'Kemakmuran Bersama' akan memanfaatkan semua rakyat Malaysia, khususnya golongan B40, tidak kira kumpulan etnik. Bagaimanapun, ruang untuk soalan tambahan tersebut tidak diberikan saya. 

Apa yang ingin saya lontarkan ialah, menjadi satu realiti yang tidak boleh dinafikan sama sekali bahawa kos sara hidup rakyat pada hari ini sedang berdepan dengan situasi yang sangat kritikal. Justeru, satu definisi baru  berhubung kedudukan ekonomi rakyat perlu diperkenalkan bagi membolehkan dasar kerajaan lebih tersasar. 

Khazanah Research Institute (KRI) contohnya beberapa kali mencadangkan untuk mengubah pengkategorian isi rumah daripada B40, M40 dan T20 kepada B20, M50 dan T30. Kategori lama telah digunakan sejak RMK9 dan masih digunakan sehingga RMK11. Pada saya sudah sampai masanya pihak kerajaan menerima pandangan ini dan mengaplikasikannya dalam RMK12 yang akan datang. 

Berhubung kos sara hidup, di peringkat global, Kuala Lumpur telah disenaraikan di kedudukan ke-88 dalam Indeks Worldwide Cost of Living (WCOL) 2019 oleh The Economic Intelligence Unit. WCOL membandingkan harga yang meliputi 160 jenis produk barangan di bandar-bandar utama seluruh dunia. Singapura, Paris dan Hong Kong adalah tiga negara paling tinggi kos sara hidup di dunia. 

Kos sara hidup merujuk kepada kos yang terpaksa ditanggung oleh isi rumah untuk memenuhi keperluan asas dan keperluan lain seperti kos pendidikan dan kos pengangkutan bagi kegunaan harian. Menurut Investopedia ia bermaksud, “The cost of living is the amount of money needed to sustain a certain standard of living by affording basic expenses such as housing, food and healthcare”.

Indeks Harga Pengguna (IHP) secara umumnya digunakan untuk mengukur kos sara hidup. International Monetary Fund mendefinisikan IHP sebagai, “Index numbers that measure changes in the price of goods and services purchased or otherwise acquired by households”. IHP dikira berdasarkan wajaran peratusan perubahan harga dalam set spesifik atau ‘bakul’ barangan dan perkhidmatan pengguna. 

Di Malaysia, sebanyak 12 kategori barangan dan perkhidmatan dalam ‘bakul’ tersebut yang dipilih berdasarkan ‘Klasifikasi Penggunaan Individu Berdasarkan Tujuan’ yang diterbitkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Sebagai contoh, Kategori Makanan dan Minuman Bukan Alkohol, Kategori Pakaian dan Kasut, Kategori Komunikasi, Kategori Kesihatan dan Kategori Pendidikan. 

Jadual yang saya kepilkan adalah sampel (sub kategori) yang terdapat dalam ‘bakul’ IHP khususnya bagi Kategori Makanan dan Minuman Bukan Alkohol. Ia diambil dalam tempoh tertentu iaitu ketika era pelaksanaan GST (Mei 2018), satu bulan dalam ‘tax holiday’ (Julai 2018), tarikh mula pelaksanaan SST 2.0 (September 2018) dan yang terkini (September 2019). Lokasi sampel yang diambil adalah mengikut tahap perbandaran iaitu tinggi, sederhana dan rendah. 

Jenis barangan di atas tiada kaitan dengan GST dan SST. Namun, kemeruapan purata harga dalam tempoh tersebut tetap berlaku. Sebagai contoh, sekilogram ayam di Kuala Lumpur berharga RM7.85 pada bulan Mei 2018, kemudian meningkat dengan mendadak pada bulan Julai 2018 dan kembali stabil pada bulan September 2018. Sebahagian barangan yang tidak tertakluk kepada GST dan SST tetap berlaku turun naik harga disebabkan faktor-faktor yang lain. 

Majoriti barangan menunjukkan peningkatan dalam tempoh bulan September 2018 hingga September 2019. Contohnya, harga telur ayam gred A di kelima-lima negeri menunjukkan peningkatan 3 peratus - 7 peratus. Secara keseluruhan, IHP bulan September 2019 meningkat 1.1 peratus berbanding September 2018. Kuala Lumpur, Putrajaya dan Pulau Pinang merupakan tiga negeri yang mencatatkan IHP tertinggi pada bulan September 2019. 

Saya bersetuju dengan kenyataan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali di Dewan Rakyat pada hari ini 30 Oktober 2019 di Dewan Rakyat bahawa IHP bukan indikator utama kerana ia masih belum mampu menterjemahkan realiti sebenar kehidupan masyarakat. Kita masih menunggu indeks baharu yang akan diperkenalkan oleh kerajaan persis Cost of Living Index (CLI) seperti yang telah diumumkan kerajaan. Indeks baharu ini dikatakan lebih menumpukan kepada kos sara hidup minimum yang diperlukan untuk menyara hidup secara selesa. 

Kos sara hidup secara umumnya masih dan akan terus meningkat pada tahun 2020. Kenaan SST 2.0 terhadap 6,405 item meningkat. Tambahan pula 5,612 item daripadanya dikenakan cukai pada kadar 10 peratus. Kenaan cukai baharu seperti cukai perkhidmatan atas perkhidmatan import dan cukai digital turut menekan. Hal ini tidak termasuk faktor luar seperti kelemahan ringgit, pengenalan sistem apungan RON95 mengikut harga pasaran, bayaran sewa dan harga rumah yang terus menaik. 

Sementara itu, merujuk kepada satu artikel yang diterbitkan oleh Bank Negara Malaysia pada tahun 2015 yang bertajuk, “Inflation and the Cost of Living”. Perkara utama yang dijelaskan dalam artikel tersebut adalah perbezaan antara IHP dan kos sara hidup. Memetik daripada artikel tersebut; 

Consumer Price Index (IHP)  - CPI (IHP) captures the average increase in prices with the assumption of homogeneity of spending patterns across households

Cost of Living  - The amount of expenditure on goods and services incurred by households, including their financial obligations to maintain a certain standard of living

Saya kepilkan juga jadual yang menunjukkan bahawa kumpulan B40 menghabiskan kebanyakan perbelanjaan bulanannya (consumption pattern) dalam Kategori Makanan dan Minuman Bukan Beralkohol (peratus wajaran ialah 29.5 peratus). Sekiranya, purata harga bagi kategori tersebut meningkat, maka kos sara hidup kumpulan B40 turut akan meningkat atau mereka terpaksa menurunkan jenis makanan dan minuman kepada paras yang kurang berkualiti. 

Maka, fokus utama bagi mengatasi kenaikan kos sara hidup ialah memastikan pendapatan isi rumah mampu memenuhi tahap ‘minimum acceptable standard’. ‘Minimum acceptable standard’  melangkaui keperluan makanan dan minuman, pakaian serta tempat perlindungan bagi individu. Ia turut meliputi kemampuan individu untuk berpartisipasi secara bermakna dalam masyarakat, peluang untuk membangunkan diri dan keluarga serta bebas daripada tekanan kewangan yang serius. Ia juga dinamakan Gaji Kehidupan Wajar atau‘Living Wage’.   

Di Kuala Lumpur, ‘living wage’  yang dianggarkan oleh Bank Negara Malaysia adalah seperti jadual yang saya lampirkan bersama.  Di dalam jadual tersebut boleh dibuat kesimpulan bahawa seorang anak muda belum berkahwin perlukan pendapatan RM2700 sebulan untuk menetap di Kuala Lumpur bagi memenuhi ‘minimum acceptable standard’. Dianggarkan 27 peratus isi rumah berada di bawah paras ‘living wage’ tersebut. Lebih menarik, pendapatan penengah di Kuala Lumpur berdasarkan survei pada tahun 2016 ialah RM9,703. Ini bermakna ketiga-tiga ‘living wage’ seperti yang dicadangkan adalah di bawah had pendapatan penengah di Kuala Lumpur. 

Menurut Malaysian Employers Federation (MEF), purata permulaan pendapatan bulanan tanpa pengalaman pada tahun 2018 ialah RM3,267 (lulusan Sarjana), RM2,393 (lulusan Sarjana Muda), RM1,661 (lulusan Diploma) dan RM1150 (lulusan SPM). Kadar ini tidak termasuk upah lebih masa, elaun dan bonus.  

Jabatan Perangkaan Malaysia melaporkan gaji bulanan pekerja secara penengah (median) meningkat 6.6 peratus pada tahun 2018 iaitu RM2,308 berbanding RM2,160 pada tahun 2017. Gaji bulanan pekerja secara purata pula ialah RM3,087 pada tahun 2018, meningkat 7 peratus berbanding RM2,879 pada tahun 2017. 

Pertumbuhan gaji melebihi peningkatan harga barangan dan perkhidmatan. Sepatutnya kos sara hidup tidak terlalu dirasai. Walaupun begitu, IHP sebagaimana kenyataan Menteri Hal Ehwal Ekonomi wajar dirombak bagi mendapatkan gambaran sebenar yang berlaku. Idea gaji kehidupan wajar perlu diarusperdanakan berbanding gaji minimum. Terakhir, adakah rakyat sendiri perlu mengubah‘pattern’ perbelanjaan supaya memahami perbezaan antara keperluan dan kehendak hidup? 

Sekian. 

AHMAD FADHLI SHAARI, 
Ahli Parlimen Pasir Mas 
Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia 

2 Rabiul Awwal 1441 | 30 Oktober 2019 - HARAKAHDAILY 30/10/2019



No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails