Sunday, October 20, 2019

Mi Segera Kandung Garam 4 Kali Lebih Tinggi Dari Digariskan K'jaan.



Mi segera mengandungi kandungan garam tinggi boleh menjejaskan kesihatan. - Foto hiasan


KUALA LUMPUR: Lebih 98 peratus daripada 707 mi segera di pasaran memiliki kandungan garam yang tinggi, manakala bakinya pula mengandungi kandungan garam sederhana.
Itu hasil kajian bertajuk 'Kandungan garam mi segera di Malaysia: Satu kajian keratan lintang', membabitkan 707 produk mi segera pelbagai perisa, yang dijual di enam pasar raya dan rantaian peruncit, serta di laman sesawang produk berkenaan.
Kajian oleh tujuh penyelidik dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Malaya (UM) dan University of London itu mendapati tiada satu pun mi segera di pasaran Malaysia, boleh dikategorikan sebagai makanan rendah gram, sangat rendah garam atau bebas garam.
Kajian yang diterbitkan pada Mei lalu itu juga mendapati kira-kira 40 peratus atau lebih 250 produk mi segera yang dikaji, tidak mempamerkan kandungan garam atau nutrisi pada produk masing-masing.
"Purata kandungan garam dalam mi segera di Malaysia adalah sekitar 4.5 gram (g) per 100g, iaitu empat kali lebih tinggi daripada tahap makanan yang dikategorikan sebagai tinggi kandungan garam iaitu kurang 1.2g per 100g, seperti digariskan kerajaan.
"Memakan sebungkus mi segera hampir sama dengan kadar pengambilan garam harian yang disarankan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), iaitu kurang 5g sehari.
"Lebih teruk, kandungan garam pada 10 peratus mi segera, melebihi saranan WHO itu, dengan mi segera yang memiliki kandungan tertinggi adalah dua kali ganda lebih tinggi daripada saranan WHO, iaitu 8.5g dalam satu sajian.
"Disebabkan kandungan garam tinggi serta populariti mi segera berdasarkan jualan tinggi setiap hari, pengurangan kandungan garam dalam mi segera akan memberi impak ketara dalam mengurangkan pengambilan garam harian oleh rakyat Malaysia," kata kajian itu yang boleh diakses menerusi portal BMJ Open.
Ahad lalu, pelatih pakar bedah warga Malaysia di United Kingdom, Dr Nur Amalina Che Bakri berkongsi laporan kajian itu menerusi Twitter peribadinya.
Dr Nur Amalina yang turut memetik Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, menggesa kerajaan bertindak segera mengatasi isu pengambilan garam tinggi dalam kalangan rakyat Malaysia.
"Malaysia Salt Action menyarankan pengurangan pengambilan garam kurang 6g sehari bagi rakyat Malaysia dewasa. Kadar garam tinggi dikaitkan dengan penyakit kardiovaskular dan tekanan darah tinggi.
"Saya sendiri sudah tidak memakan mi segera sejak lebih 10 tahun lalu," katanya.
Jangan jadikan menu harian, amal diet sihat
Kandungan garam yang tinggi dalam mi segera tidak menghalang sebilangan besar rakyat Malaysia daripada terus menikmati makanan segera itu.
Biarpun tahu kesan buruk pengambilan garam berlebihan, mereka terus memakan produk berasaskan tepung gandum itu kerana ia mudah disediakan dan murah berbanding hidangan lain.
Kempen kesihatan dijalankan sebelum ini ternyata gagal mengatasi kesan iklan mi segera yang disiarkan setiap hari di media massa.
Pensyarah Jabatan Pemakanan dan Dietatik Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UPM, Prof Madya Dr Norhaizan Mohd Esa, berkata umum tahu mengenai kandungan garam yang tinggi di dalam mi segera, tetapi hampir mustahil untuk berhenti daripada memakannya.
Katanya, sifat mi segera yang murah, sedap dan mudah disediakan menjadi tarikan utama masyarakat untuk menjadikannya sebagai menu harian, khususnya pelajar.
“Pelbagai kempen dan nasihat sudah diberikan kepada umum, tetapi ia tidak memberi kesan.
“Walaupun setakat ini belum ada kes kronik berhubung individu yang mengamalkannya, tetapi pengambilan garam yang tinggi akan mengakibatkan penyakit seperti darah tinggi, penyakit kardiovaskular dan penyakit buah pinggang.
“Galakan untuk makan mi segera ini lebih hebat dengan lantikan selebriti sebagai duta serta pengenalan pelbagai perisa baharu yang kelihatan menarik, selain cabaran untuk memakannya.
“Saya nasihatkan umum untuk kurangkan pengambilan mi segera itu kerana itu adalah sebaik-baiknya. Jika sukar, maka pelbagaikan ramuan nutrisi didalamnya seperti udang atau sayur,” katanya kepada BH ketika dihubungi semalam.
Sementara itu, Pensyarah Kanan di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Navin Kumar Devaraj, yang terbabit dalam kajian kandungan garam dalam mi segera di Malaysia itu, berharap orang ramai mengamalkan pemakanan yang sihat.
“Kajian ini hanya dijalankan sekali sahaja dan pada akhirnya kami mahu masyarakat mengamalkan diet yang sihat,” katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata, berikutan kandungan garam yang tinggi, mi segera tidak seharusnya dijadikan hidangan setiap hari.
“Mi segera masih boleh diambil, tetapi jangan jadikan ia satu-satunya hidangan anda dalam sehari. Amalkan diet sihat,” katanya. (BH)
Lihat sebelum ini..
Setinggan 'Kebal' Masih Ada Di S'ngor? Ini..
Setinggan 'Kebal' Masih Ada Di S'ngor? Ini..

No comments:

Post a Comment