Tuesday, October 08, 2019

Parlimen, Kes Sumbang Mahram Meningkat. Ini Solusi!

Kes sumbang mahram dituduh di mahkamah meningkat
Sehingga Ogos, 57 kes direkodkan berbanding 21 kes sepanjang tahun lepas.


KL: Bilangan kes sumbang mahram yang dituduh di mahkamah tahun ini meningkat berbanding tahun lepas, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong.

Beliau berkata sehingga Ogos, 57 kes direkodkan berbanding 21 kes sepanjang tahun lepas.

Menurutnya, 35 kes sumbang mahram tahun ini direkodkan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA) berbanding tujuh tahun lepas.

"Bagi kes seksual rogol, bilangan kes yang dituduh di mahkamah setakat Ogos adalah 269 manakala tahun lepas pula mencatatkan 481 kes," katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan yang diajukan Kasthuriraani Patto (PH-Batu Kawan) yang dipaparkan di laman web Parlimen.

Dalam pada itu, 183 kes cabul dituduh di mahkamah sepanjang lapan bulan pertama tahun ini berbanding 384 sepanjang 2018.

Bagi gangguan seksual, 54 kes direkodkan sehingga Ogos lalu berbanding 90 kes sepanjang tahun lepas.
-- BERNAMA

Komen Weblog Ibnu Hasyim: 7 Tips dan Kesimpulan.

1.Menjelang cuti sekolah, jenayah melibatkan seks dan kanak-kanak dilaporkan meningkat. Rata-rata mereka ditinggalkan sendirian di rumah atau terdedah kepada pemangsa yang menunggu peluang. 

Kebiasaannya rumah dikunci untuk menghalang penjenayah masuk dari luar, tetapi jenayah ini berlaku ketika rumah terkunci dari dalam bersama penjenayah. Kerisauan ini selari dengan peningkatan kes sumbang mahram yang makin menjadi-jadi mutakhir ini.

2.‘Mahram’ bermaksud pertalian yang diharamkan berkahwin disebabkan halangan nasab atau perkahwinan. Sumbang mahram merupakan perbuatan zina atau hubungan seks yang dilakukan oleh orang yang mempunyai pertalian darah atau keturunan. Menurut Jabatan Siasatan Jenayah Negeri (Selangor), 75.5% jenayah melibatkan seks dilakukan oleh orang yang dikenali.
3.Berdasarkan kes-kes yang dilaporkan di media massa atau dibawa ke muka pengadilan, profil pelaku sumbang mahram terdiri daripada mereka yang hidup susah, rendah pendidikan dan lemah tahap keimanan. Pelaku sumbang mahram hidup tidak berkat kerana melakukan pengkhianatan dengan perbuatan terlaknat. Sudahlah hidup melarat, hina pula tertangkap kerana perbuatan yang terkutuk.
4.Mereka bukan sahaja tidak menjaga maruah diri malah menggadai maruah orang yang sepatut dilindunginya. Kesan langsung kepada mangsa ialah kemurungan, rasa dikhianati, diri ternoda, hilang makna diri, dendam dan mangsa cenderung melindungi penjenayah kerana berada dalam dilema untuk melaporkan atau diugut supaya merahsiakannya.
5.Sumbang mahram merupakan penganiayaan seksual yang menjejaskan biologi, kesihatan mental dan masa depan mangsa. Jika hamil anak hasil sumbang mahram tersebut berhadapan dengan risiko menjadi manusia yang tidak normal, mengalami kerencatan otak dan kecacatan anggota badan atau organ dalaman malah terdapat kes yang berkesudahan dengan kematian. 
Jika mereka hidup sempurna, mereka mengalami kekeliruan identiti dan gangguan psikologi sepanjang hidup.
6.Antara punca berleluasanya perlakuan terkutuk ini ialah pelaku di bawah pengaruh dadah, menjadi hamba nafsu, hilang pedoman hidup, mengabaikan undang-undang, kebanjiran sumber pornografi dan tata hubungan yang melampaui  kewajaran. Bahan lucah dan gagal menjaga aurat serta kesempatan yang terbuka mempunyai hubungan langsung dengan maksiat ini. Akhirnya, berlaku zina secara rela atau paksa.
7.Dari ufuk falsafah maqāsid, syariat melaknat perbuatan terkutuk ini tidak lain kecuali kerana untuk memelihara nasab keturunan dan kehormatan manusiawi. Al-Quran melarang manusia agar tidak sekali-kali mendekatinya. 
Tafsiran larangan ‘mendekati’ ini menjadi lebih jelas apabila diteliti menerusi sebuah hadis, Rasulullah SAW menyebutkan peringkat zina ialah...
  • zina ‘ain (mata); melihat bahan pornografi atau aurat terlarang dengan bernafsu, 
  • zina lisān (lidah); suara mendesah dan ghairah, 
  • zina yadin (tangan); menyentuh dan merangsang, 
  • zina qalb (hati); membayangkan dan menginginkan kenikmatan seks seterusnya berlakulah zina.
Menurut Ibn Hajar al-Haitami (seorang fuqaha Mazhab Syafie, ahli Kalam dan Tasawuf dalam kitab Az-Zawājir ‘an Iqtirāfi al-Kabā’ir) mengatakan bahawa zina yang paling keji adalah berzina dengan mahram sendiri. 
Penzina atau pelaku sumbang mahram tidak layak untuk tinggal di muka bumi Allah sebagaimana pencerahan seorang ahli sufi Ibrahim bin Adham apabila ditanya tentang maksiat, beliau memberikan beberapa syarat jika ingin terus melakukan maksiat iaitu: 
“Kalau kau mampu melaksanakan lima syarat ini, kau boleh melakukan dosa iaitu jangan makan rezeki Allah, jangan tinggal di bumi-Nya, carilah tempat yang tersembunyi daripada-Nya, sempatkan diri bertaubat saat malaikat maut mencabut nyawa dan akhir sekali, sedia mampu lari jika diseret ke neraka oleh malaikat Zabaniah.”
Sebaliknya bagi mereka yang ingin bertaubat dari segala maksiat, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Semua anak Adam melakukan kesilapan, dan sebaik-baik pesalah ialah mereka yang bertaubat” (h.r Ibn Majah). 
Taubat mampu membersihkan diri dari dosa kerana Allah Maha Pengampun. Mafhum firman Allah: “Kecuali orang yang bertaubat, memperbaiki diri dan berpegang teguh pada (agama) Allah dan dengan tulus ikhlas menjalankan agama semata-mata kerana Allah. Maka mereka itu bersama orang yang beriman dan kelak Allah akan memberikan pahala yang besar kepada orang yang beriman” (Al-Nisa’: 146).
Selain menjanjikan kebaikan kepada mereka yang ingin pulih dengan bertaubat, Islam juga  mencegah kemungkaran dengan mengekang jalan-jalan menyampai kepadanya. Islam menetapkan hukuman sebat kepada penzina yang belum berkahwin dan rejam kepada yang berkahwin. 
Sumbang mahram boleh didakwa di bawah peruntukan Seksyen 376A dan Seksyen 376B(1) Kanun Keseksaan dengan hukuman penjara dan sebatan.
Hukuman tegas terhadap pesalah sebenarnya menzahirkan ciri rahmatan lil ‘alamin kerana hukuman yang keras dapat mengekang orang tersebut mengulangi dan menimbulkan kegerunan kepada orang lain yang bercita-cita melakukannya. Sudah pasti kedua-dua situasi ini baik untuk pesalah dan masyarakat keseluruhannya.
Begitu juga laporan yang dibentangkan oleh Jabatan Penjara Malaysia yang melihat sendiri perubahan tingkah laku dan tahap pemulihan pesalah menjalani hukuman sebatan di samping mengikuti modul pemulihan akhlak di penjara. Tidak hairanlah pelopor perundangan Islam, Profesor Ahmad Ibrahim menyimpulkan bahawa undang-undang Jenayah Malaysia dianggarkan 65% selari dengan hukuman Islam.
Kesimpulan:
Kesimpulannya, jenayah dan maksiat kronik ini perlu ditangani dengan mengukuhkan kembali institusi keluarga, menjaga sempadan pergaulan, meningkatkan kecaman masyarakat terhadap sumber lucah di media serta memupuk iman dalam kalangan setiap kaum muslimin. 
Masyarakat jahiliah di Mekah yang dilanda krisis moral mampu dipulihkan dengan pemupukan iman yang haq (sebenar), kenapa kita tidak nampak dan yakin kepentingannya demi pembinaan peradaban manusia. Memahami Islam, membina peradaban.
Kembalilah kepada Islam sebagai perlaksanaan dalam seluruh cara hdup manusia, termasuk politik, ekonomi, sosial, dalam diri, keluarga, masyarakat dan negara.
Wallahu 'aklam.

Tips elak sumbang mahram

Zaman sekarang ini banyak sekali kita dengar berita berlakunya sumbang mahram diantara bapa dan anak, datuk dan cucu, adik-beradik dan sebagainya.  Perkara ini adalah amat serius dan langkah-langkah untuk mengelakkan ia dari terjadi harus diambil berat.  Di bawah ini saya senaraikan di antara langkah-langkah yang boleh diambil untuk mengelakkan berlakunya sumbang mahram:



  1. Setiap isteri perlu ada rasa cemburu dan curiga pada suami kerana hanya isteri yang mengenali suaminya.  Sebagai contoh, jika suami suka menonton video lucah, pihak isteri harus sentiasa mengawasi suami dan anak-anak perempuannya.  Jika boleh jangan sesekali membiarkan anak perempuan dan suami tinggal di rumah bersendirian.
  2. Diri anda sendiri sebagai perempuan harus sentiasa menjaga diri sendiri.  Elakkan diri anda dari bersendirian di rumah bersama sama ada adik-beradik lelaki, bapa, pakcik, datuk atau lain-lain lelaki di rumah.  Pastikan anda sentiasa ada ditemani oleh adik-beradik perempuan, kawan perempuan, ibu, nenek dan sebagainya.  
  3. Setiap wanita harus peka dan berwaspada terhadap perubahan tiangkah laku mesra yang ditunjukkan oleh keluarga lelaki.  Anda harus ingat, semua lelaki berpotensi untuk menjadi perogol.
  4. Jika di rumah, jangan sesekali berpakaian menjolok mataatau berkemban di hadapan ahli keluarga lelaki.  Jaga penampilan dan gerak-geri walaupun anda berada di rumah sendiri.  Bagi ibu-ibu yang bekerja, hubungilah anak-anak anda selalu.
  5. Ibu bapa haruslah sentiasa memeriksa ruang peribadi anak-anak.  Jangan terlalu memberi ruang kepada anak-anak sama ada lelaki atau perempuan untuk melakukan apa saja tanpa sebarang pengawasan.   Jangan terlalu mempercayai tindak tanduk luaran anak- anak anda.  Perasaan curiga dan ingin tahu harus anda titik beratkan sebelum perkara yang tidak diingini berlaku.
  6. Awasilah anak lelaki lebih dari anak perempuan.  Jangan sesekali menganggap anak lelaki lebih senang dijaga berbanding anak perempuan.  Kawalan dan didikan terhadap anak lelaki harus di titikberatkan dan di tingkatkan kerana kebanyakan masalah yang terjadi kepada anak perempuan adalah berpunca dari anak lelaki.

No comments:

Post a Comment