Pertikai kontrak sosial bertujuan hakis hak Melayu -Dr Mohd Khairuddin.
PERTIKAIAN ke atas kontrak sosial yang dilakukan oleh pemimpin DAP adalah isu yang amat serius. Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Dr. P Ramasamy dan Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh adalah generasi pertama dan kedua lahir di negara ini bila bapa Dr. P Ramasamy berhijrah ke Tanah Melayu dari India pada tahun 1920-an manakala datuk Ramkarpal Singh berhijrah ke Tanah Melayu dari India pada tahun 1928.
Masalah besar dalam DAP ialah bila Penasihat Seumur Hidup, Dr Chen Man Hin, yang tidak lahir di Malaysia, tetapi lahir di China pada tahun 1924 dan berhijrah ke Tanah Melayu pada tahun 1930, langsung tidak membetulkan perkara ini. Begitu juga dengan Lim Kit Siang yang bapanya berhijrah ke Tanah Melayu dari China.
Semua ini menimbulkan curiga bahawa mereka yang berasal dari India dan China dalam DAP mahu mengubah sistem bernegara di negara kita. Perkara ini lebih serius bila dilihat mereka yang mempertikaikan kontrak sosial menggunakan kenyataan Dr. Lim Teck Ghee dalam forum 'Social Contract and its Relevance in Contemporary Malaysia' di Universiti Malaya pada 23 Mac 2019 bagi menyokong mereka.
Saya tegas bahawa Dr. Lim Teck Ghee tidak berkelayakan untuk bercakap mengenai kontrak sosial kerana kajian PhDnya hanya terhad kepada pertanian petani di Jajahan Malaya, 1874-1941 (Peasant Agriculture In Colonial Malaya, 1874-1941).
Saya juga tegas bahawa Dr. Lim Teck Ghee adalah pembohong kerana dalam forum sama dia menyatakan orang-orang Melayu tidak lagi memerlukan bantuan kerana pencapaian mereka sudah melebihi sasaran, sedangkan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, mengumumkan pada 5 Oktober 2019 bahawa ekuiti korporat Bumiputera hanya berada pada tahap 16.2 peratus berbanding ekuiti korporat bukan Bumiputera yang berada pada tahap 30.7 peratus.
Dapat dilihat kenyataan Dr. Lim Teck Ghee ini memperlihatkan usaha mempertikaikan kontrak sosial berkait rapat dengan cubaan menghakis hak-hak orang-orang Melayu.
Cabaran saya supaya PH menendang keluar DAP dari pakatan itu atas tindakan pemimpin DAP mempertikaikan kontrak sosial wajar diberi perhatian serius oleh pemimpin PH, khususnya oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad selaku Pengerusi PH. Ini kerana kenyataan rasmi Tun Dr Mahathir Mohamad selaku Perdana Menteri pada 23 November 2018 jelas menyatakan “Kerajaan akan terus mempertahankan Perlembagaan Persekutuan di mana di dalamnya termaktub kontrak sosial yang telah dipersetujui oleh wakil semua kaum semasa pembentukan negara ini”.
Bila pemimpin DAP selaku pendukung kerajaan terus-terusan menentang pendirian rasmi ketua kerajaan mereka sendiri maka wajiblah mereka ditendang keluar dari kerajaan bagi memelihara maruah dan martabat kerajaan. Ditambah pula bila larangan mempertikaikan kontrak sosial ini dibuat oleh Raja-Raja Melayu sendiri.
"Islam Memimpin Perpaduan"
DATO' DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Ahli Parlimen Kuala Nerus
Sabtu, 19 Oktober 2019 | 20 Safar 1441 – HARAKAHDAILY 19/10/2109
Kalau dah tak faham kontrak sosial, elok balik ke cantoon.
ReplyDelete