Saturday, October 12, 2019

PH Menurun, Cuba Pujuk Melayu. Mana Dapat Peruntukan 2020?


Oleh Fazleen Safina
Belanjawan 2020: Populariti menurun, PH cuba pujuk Melayu.
Dari mana PH dapat duit nak tunai peruntukan Belanjawan 2020?
BANGI, 12 Safar 1441H, Jumaat – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) cuba memujuk majoriti rakyat Malaysia, terutamanya bangsa Melayu, apabila menyedari populariti dan sokongan semakin menurun.
Merujuk Belanjawan 2020 yang dibentangkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, Naib Presiden Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), Ustaz Mohd Hazizi Ab Rahman yakin sokongan terhadap PH berkurang berpunca daripada dasar-dasar dan polisi yang dicipta.
Beliau berkata, Belanjawan ‘sulung’ yang dibentangkan tahun lalu menghadapi pelbagai masalah, terutamanya apabila PH sendiri telah memansuhkan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).
“Keadaan semakin bertambah parah, sepatutnya perhatian utama diberi terhadap bagaimana untuk menambah pendapatan dan dalam konteks seperti yang dibentangkan (Belanjawan 2020).
“PH sebenarnya nak bagi berbunga-bunga mahu menceritakan kerajaan bagi ini, kerajaan bagi itu dan sebagainya, namun mereka tidak menjawab persoalan yang besar iaitu macam mana mereka (PH) nak mendapatkan duit?
“Kerajaan sendiri tidak dapat menjawab persoalan dari mana nak dapatkan duit. Kesilapan besarnya adalah kerana keegoan mereka menolak GST, iaitu salah satu daripada manifesto PH,” katanya dalam temu bual Analisis Belanjawan 2020 (Suara Rakyat Suara Bajet), menerusi TV Pertiwi hari ini.
Mengulas lanjut, Ustaz Hazizi berkata, sebenarnya tiada sebab PH menolak pelaksanaan GST yang diperkenalkan pentadbiran lama, namun tetap mengekalkan pemansuhan cukai itu demi menjaga maruah.
Beliau berkata, pelaksanaan GST tiada kaitan dengan masalah politik, tetapi PH sendiri gagal untuk mengimbas kembali kebaikan cukai terbabit.
“Bagi saya, perkara itu bertentangan dengan ketelusan dan sistem cukai yang paling telus adalah GST,” katanya.
Ustaz Hazizi berkata, pembentangan belanjawan diibaratkan seperti pesta kerana sebaik sahaja ia dibentangkan, kerajaan terus lupa janji mereka seperti tahun lalu.
“Contohnya, isu subsidi bahan bakar iaitu minyak, bila cakap pasal golongan pendapatan isi rumah bulanan penengah bagi kumpulan terendah 40 peratus (B40), siapa sebenarnya yang dimaksudkan dengan kumpulan itu dan sejauh mana subsidi itu memberi manfaat kepada B40 kerana ada banyak golongan dalam B40.
“Yang di bandar, di luar bandar dan di bandar sendiri ada yang naik pengangkutan awam, ada yang naik motor, kereta. Dan kereta pula dengan jarak dari rumah ke tempat kerja itu semua kena ambil kira (harga minyak).
“Saya nampak dalam melaksanakan subsidi bersasar yang disebut-sebut itu, minyak akan diapungkan harganya melalui subsidi itu dan macam mana subsidi bersasar itu boleh sampai? Apa mekanismenya? Saya yakin sampai hari ini kerajaan tiada satu data yang lengkap,” katanya.
(www.ismaweb.net)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails