IPOH, 18 Safar 1441H, Khamis – Seorang nelayan dijatuhi hukuman penjara berjumlah 202 tahun dan 23 sebatan, selepas mengaku bersalah atas 22 pertuduhan merogol, mencabul dan merakam gambar bogel anak perempuan tirinya berusia 15 tahun sejak 2016.
Hakim Mahkamah Sesyen, Datuk Julie Lack Abdullah menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh berusia 36 tahun itu apabila membuat pengakuan itu, selepas pertuduhan dibacakan semula oleh jurubahasa mahkamah, di sini hari ini.
Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman bagi setiap kategori kes serentak bermula dari tarikh dia ditangkap pada September lalu, yang menjadikan tempoh penjara kepada 38 tahun.
Pada 11 Oktober lalu, bapa durjana itu hanya mengaku bersalah terhadap enam daripada kesemua pertuduhan berkenaan dan mengaku tidak bersalah bagi 16 lagi pertuduhan, sebelum menukar pengakuan ketika prosiding keputusan yang ditetapkan hari ini.
Dia didakwa atas 14 pertuduhan merogol, lima pertuduhan melakukan kekerasan jenayah dengan niat mencabul, dua pertuduhan mencabul kehormatan ketika remaja itu berusia 12 tahun dan satu pertuduhan merakam gambar bogel.
Lelaki itu didapati melakukan kesemua kesalahan itu di sebuah rumah di Sitiawan, Manjung, antara April 2016 sehingga 29 September lalu.
Bagi kesemua kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 377C, 376B (1), 377CA, 354, 509 Kanun Keseksaan serta Seksyen 14(a) dan 14(b) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Naidatul Athirah Azman memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat terhadap tertuduh untuk memberi pengajaran kepada tertuduh dan orang ramai, memandangkan kejadian itu menyebabkan trauma terhadap mangsa dan mempengaruhi mangsa secara emosi.
Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Robert Gannarajan, memohon hukuman ringan dengan mengambil kira pengakuan bersalah tertuduh yang menjimatkan kos dan masa mahkamah.
Hakim kemudian menjatuhkan hukuman penjara 38 tahun dan 23 sebatan bagi kesemua kes itu.
Mengikut fakta kes, kesemua kesalahan dilakukan tertuduh terbongkar apabila ibu mangsa menemui kad memori SD, yang mengandungi gambar mangsa dalam keadaan bogel sebelum laporan polis dibuat.
Polis menahan tertuduh pada 30 September lalu. -Bernama
Komen Weblog Ibnu Hasyim: Untuk perhatian PH, ini solusinya..
I. Aspek pendidikan
- Pihak kerajaan mesti memperkasakan silibus pengajian Islam di seluruh sekolah dan pelbagai tahap pendidikan sebagai subjek wajib, bukan selektif.
- Para ibu bapa dan guru mesti berganding bahu memantau kelakuan anak-anak dan memastikan sukatan pelajaran agama diberikan perhatian yang lebih dan serius.
- Mempergiatkan kempen yang sihat dalam membangunkan nilai moral dan jati diri syaksiah seperti kempen jaga pandangan dan memelihara kehormatan di seluruh peringkat sama ada agensi kerajaan, sekolah, masyarakat dan keluarga.
- Penekanan pemakaian patuh syariah yang menutupi aurat oleh semua umat Islam serta pemakaian sopan bagi yang bukan beragama Islam. Termasuk juga pengiklanan sama ada secara maya, digital serta di papan tanda.
- Memperkasakan bidangkuasa Mahkamah Syariah agar diberikan kuasa penuh sebagaimana peruntukan dalam syariat Islam.
- Kementerian yang berkaitan seperti Penerangan, Komunikasi dan Multimedia untuk lebih agresif menyekat laman sesawang yang mempunyai unsur lucah dan seksi.
- Penetapan cara pemakaian yang bersesuaian dengan etika agar tidak seksi dan menjolok mata. Bagi umat Islam dengan menutupi aurat, bagi bukan beragama Islam ialah batasan sopan.
- Pihak berkuasa mesti menutup semua pusat maksiat sama ada yang berlesen atau tidak. Serta memantau pusat siber umum agar tidak menjadi tempat lepak remaja-remaja dengan aktiviti yang kurang sihat.
Maka sama-samalah kita berharap agar pihak berkuasa dapat mengambil langkah segera bagi memastikan kes jenayah rogol ini dapat di atasi dengan terbaik menerusi aspek pendidikan dan aspek pencegahan.
Kalau tidak dan PH masih berdegil, pada PRU akan datang, undilah PAS!
Lihat Sebelum Ini..
No comments:
Post a Comment