Wednesday, October 16, 2019
Utamakan Kerjasama Ekonomi Dengan Negara Jiran - Abdul Hadi
KUALA TERENGGANU, 16 Oktober - Kepimpinan negara diseru mengutamakan negara jiran yang bertimbang rasa dalam membina dan membangunkan ekonomi Malaysia.
Ahli Parlimen Marang, Dato' Seri Abdul Hadi Awang berkata, pihak pemerintah juga harus memanfaatkan sepenuhnya kekayaan hasil bumi dan tenaga rakyat yang ada di Malaysia.
Jelasnya, perkembangan positif yang berlaku di seluruh penjuru dunia turut perlu diberi perhatian sewajarnya dalam usaha memantapkan jaringan ekonomi.
"Dengan semangat kemerdekaan yang tidak bergantung kepada pihak yang lain, serta bermasyarakat madani ke peringkat antarabangsa.
"Sewajarnya Malaysia mengambil pendekatan hubungan antarabangsa dengan mengutamakan negara jiran dan negara yang bertimbang rasa, bukan dengan negara lain yang masih mahu menjajah dan menjadikan kita buah catur dalam persaingan mereka," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap membahaskan Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat semalam.
Mengulas lanjut, Abdul Hadi yang juga Presiden PAS mengingatkan kerajaan agar tidak menggunakan jalan pintas untuk mendapat keuntungan dengan cepat.
"Penjualan aset, hartanah dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dalam sektor strategik kepada pihak asing sebenarnya akan merugikan negara dalam jangka masa panjang.
"Segala keuntungan akan menjadi milik orang, dan yang lebih merugikan adalah hilangnya peluang pekerjaan untuk anak tempatan terlibat dalam bidang teknologi tinggi.
Kata beliau, amat mengejutkan apabila Menteri Kewangan mengumumkan rumah kediaman (kondominium dan apartmen) di negara kita mahu dijual kepada warga asing pada harga RM600 ribu.
"Menyebabkan pemilikan hartanah yang sepatutnya dipegang oleh rakyat tempatan akan hilang selamanya. Pengumuman ini sangat mengecewakan, dan kami mendesak kerajaan menarik balik cadangan ini," tambah beliau. (Teganukita)
Lihat sebelum ini..
E-Buku IH-124: Budaya Saudi &Melayu Kota Mekah Kini..
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment