Monday, November 18, 2019

Bicara Bersama A/Hadi Esok Ditangguh UPM Tanpa Sebab Jelas ..



Tangguh atas sebab tidak jelas – Ir Khairil
KL: Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ir Khairil Nizam Khirudin pasrah dengan keputusan pihak Universiti Putra Malaysia (UPM) yang menangguhkan Slot Bicara Eksklusif Bersama Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang bersempena Karnival Inspirasi Putra itu.
Program yang sepatutnya berlangsung pada 19 November itu ditangguhkan atas sebab-sebab yang tidak jelas oleh pihak UPM dan hanya menjelaskan bahawa terdapat perkara yang tidak dapat dielakkan.
Khairil sebelum ini turut dijemput untuk memenuhi Karnival Inspirasi Putra dalam slot Kolokium Inspirasi Anak Muda, namun slot tersebut juga dikosongkan atas faktor-faktor yang tidak jelas.
Tidak menunding jari kepada mana-mana pihak, Khairil mencadangkan kepada persatuan universiti agar menjemput kedua-dua belah pihak iaitu dari pembangkang dan juga kerajaan selepas ini supaya program dilihat lebih neutral dan tidak berat sebelah.
“Kita bukan membicarakan topik-topik yang nak menjatuhkan kerajaan, kita nak membincangkan topik-topik yang kedua-dua panel mempunyai keselarian pemikiran, iaitu pembinaan kerajaan.
“Jadi , tajuk yang dipilih itu tajuk yang membina kepada perpaduan, keharmonian kaum, serta kebajikan rakyat,” tegas beliau.
Sementara itu, beliau turut menyatakan harapannya agar perbincangan sihat untuk membina sesebuah negara harus diteruskan untuk kepentingan rakyat dan tidak berpandukan kepentingan politik semata-mata.
“Kita bincangkan satu topik yang dipersetujui bersama, kita membicarakan tentang polisi anak muda, so ini adalah perbincangan yang sihat, jadi item-item itu akan kita angkat bersama, itulah namanya membina kerajaan.
“Lagipun dalam keadaan sekarang ini bukan pilihan raya, pilihan raya boleh lah kita bertembung, sekarang ini kita perlu membina kerajaan demi rakyat.
“Enough politicking! Kalau kita mempunyai keselarian pemikiran dan tindakan yang sama iaitu untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat serta keharmonian beragama dan kaum, InsyaAllah kerajaan akan menjadi lebih baik dari sekarang,” ujarnya. –HARAKAHDAILY 18/11/2019

No comments:

Post a Comment