Gadis ini ketika berada di Korea. Foto Ihsan Siti Aishah Noor Azham
"..saya bukanlah peminat K-pop walaupun ia menjadi kegilaan sebilangan rakyat Malaysia" Kini Shah (Aishah) mampu dampingi bintang K-pop
BERMULA dengan hanya mempelajari bahasa Korea di Youtube, siapa sangka Siti Aishah Noor Azham kini fasih bertutur hingga diberi kepercayaan menjadi penterjemah bagi menjayakan konsert bintang K-pop terkemuka antaranya kumpulan kesayangan ramai, Blackpink.
Kisah Siti Aishah atau lebih mesra dengan panggilan Shah itu mendapat perhatian warganet selepas gadis berusia 23 tahun itu berkongsi pengalamannya berhijrah ke Korea Selatan pada Februari 2017 sebelum pulang semula ke tanah air pada April lalu.
Perkongsian berkenaan mendapat pelbagai reaksi daripada warganet dan ramai kagum dengan kesungguhan serta semangat Shah untuk bangkit selepas kecundang dalam akademik di sekolah disebabkan masalah kesihatan.
Menceritakan latar belakangnya, Shah berkata, selepas tamat persekolahan, dia memohon untuk menyambung pengajian di universiti tetapi tidak berjaya sebelum menceburi perniagaan dengan menawarkan perkhidmatan dalam bidang rekaan grafik.
“Sejal kecil lagi, saya sering diserang migrain dan keadaan itu menyebabkan saya ketinggalan dalam pelajaran kerana cuti sakit dan akhirnya memperoleh keputusan kurang memberangsangkan dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Disebabkan gagal menerima tawaran ke universiti, saya gunakan kemahiran dimiliki dengan menawarkan perkhidmatan rekaan grafik untuk baju-T dan lain-lain lagi tetapi perniagaan itu terhenti di pertengahan jalan kerana jumlah tempahan yang kurang memberangsangkan.
“Sementara menanti peluang lain tiba, saya ambil inisiatif dengan mempelajari bahasa Korea di Youtube dan tidak mengikuti kelas ketika itu kerana bayarannya yang mahal.
“Selepas enam bulan, saya ambil keputusan berhijrah ke Korea Selatan hanya dengan berbekalkan wang simpanan yang ada sebanyak RM700.
“Sepanjang 14 bulan berada di sana (Korea Selatan), saya menyara hidup dengan bekerja di rumah tamu dan memang mencabar kerana tiada pilihan kecuali bertutur dalam bahasa Korea untuk ‘survive ‘ (bertahan),” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Menurut Shah, tawaran itu diterima selepas seorang rakan mengusulkan namanya kepada penganjur tetapi dia tetap perlu melalui proses saringan awal.
Sekembalinya ke Malaysia, Shah berehat selama sebulan sebelum bekerja sebagai pereka grafik dan penterjemah di sebuah syarikat kosmetik Korea Selatan berpangkalan di Kuala Lumpur.
“Sehingga kini, saya masih menerima tawaran sebagai penterjemah dan walaupun berpengalaman, saya tetap perlu mengikut syarat ditetapkan penganjur iaitu menghantar ‘resume’ untuk dinilai sebelum berjaya disenarai pendek.
“Nampak menyeronokkan tetapi bukan mudah bekerja dengan orang luar kerana mereka amat teliti dan mementingkan kesempurnaan jadi saya perlu bersiap sedia dari segi mental dan fizikal.
“Kebiasaannya, konsert akan diadakan pada hujung minggu dan beberapa hari sebelumnya, saya sudah mula bertugas dengan menjadi penterjemah bagi pengarah jurutera bunyi Korea Selatan dan wakil di Malaysia.
“Setakat ini, saya tiada masalah ketika melakukan terjemahan tetapi pernah juga tersalah faham ketika berurusan dengan jurutera bunyi kerana menyangka dia bercakap mengenai teknikal sedangkan mahukan air kerana dahaga.
“Namun, pengalaman ditimba selama ini amat berharga dan tidak sangka diberi kepercayaan berurusan dengan artis dan penganjur konsert dari Korea Selatan kerana hakikatnya, saya bukanlah peminat K-pop walaupun ia menjadi kegilaan sebilangan rakyat Malaysia,” katanya yang bercadang menyambung pengajian dalam jurusan Sejarah dan Hak Asasi Manusia di Korea. (MyMetro)
Komen Weblog Ibnu Hasyim: "..hakikatnya, saya bukanlah peminat K-pop walaupun ia menjadi kegilaan sebilangan rakyat Malaysia,” kata Siti Aishah Noor Azham, yang bercadang menyambung pengajian dalam jurusan Sejarah dan Hak Asasi Manusia di Korea.
Al-hamdulillah. Jazakillahu khairan kathira (Semoga Allah memberi/menambah kepadamu kebaikan yang banyak.) Pandanglah hak asasi manusia dari sudut Islam.
Lihat lagi..
E-Buku IH-87: Cara Fikir Salah Artis
No comments:
Post a Comment