Thursday, November 21, 2019

Hoax: Ahli Politik vs Pelakon Filem

Hasil carian imej untuk Ahli politik vs pelakon filem


POPULISM dan pentas teater
(1)     Ahli gerakan Islam mengejar bilangan atau kebenaran? Beberapa artikel saya sebelum ini mengenai keterikatan ahli gerakan Islam terhadap bilangan. 
Penyakit ini mengundang kepada wabak Populism. Populism boleh difahami dengan hipokrit, berlakon, menipu dan sebagainya. Perbincangan mengenai Populism agak hangat di Barat. 

(2)     Di banyak negara, Populism sudah menjadi satu penyakit, barah, dan adat. Ahli politik boleh menipu, berlakon dan sebagainya. Kesemua ini sudah pun menjadi ‘normal’ 
Berpolitik bukan lagi untuk memperjuangkan hak, akan tetapi untuk pengaruh dan kepentingan. Populism bakal dijuarai oleh sesiapa sahaja yang paling hebat berlakon 

(3)     Siapa yang pandai bersilat dengan istilah, dan hebat berkungfu dengan gaya bahasa, ia memberi saham kepada pengaruh. Permainan kata-kata ini biasa dilakukan oleh ahli politik untuk meraih populariti. 
Secara tidak langsung, dunia sedang bergerak ke arah pementasan seumpama Malaysian Idol dan Maharajalawak. Persembahan yang paling menarik, akan memperolehi undi yang banyak. 

(4)     Apabila kita lihat bagaimana Donald Trump boleh menang di Amerika, kita akan dapati bahawa beliau adalah selebriti televisyen sebelum itu. Mempunyai rancangan tersendiri. 
Hari ini apabila beliau sudah memerintah Amerika, seolah-olah beliau menjadikan dunia ini sebagai rancangan realiti televisyen. Iaitu bersikap populis, pragmatik dan sebagainya.

Dunia perfileman politik
(1)     Adakah semua ini berlaku secara tidak sengaja, atau memang disengajakan? Menjadikan dunia kesemuanya seolah-olah sebuah rancangan realiti televisyen. 
Apa peliknya, pelakon pelakon filem sama popularnya dengan ahli politik. Dalam akhbar pun sarat dengan dua berita ini sahaja selain daripada berita sukan. 

(2)     Ahli politik yang pandai berlakon, mungkin boleh dianugerahkan dengan bintang popular. Semua orang tahu, filem dalam televisyen hanyalah lakonan. Tetapi berapa ramai yang ‘layan blues‘ bila tengok cerita korea? 
Itu belum dikira Samarinda, dan beberapa lagi rancangan televisyen yang penuh dengan hipokrit. Anak muda yang dikatakan Gen Z, berpijak atas hujah pun tidak terlepas daripada dimensi ini. 

(3)     Kedua-dua antara politik dan lakonan sangat sinonim. Ada filem yang dijadikan ‘tapak’ serangan pemikiran dan percaturan agenda. Bahkan ada juga ahli politik yang difilemkan. 
  • a-Kalau Donald Trump, masyhur dengan Kartun The Simpsons. Setelah bertahun-tahun tayangan kartun tersebut hari ini baru kita sedar bahawa ada agenda di belakangnya. 
  • b-Filem Wonder Woman yang diharamkan di beberapa buah negara, ditayangkan dengan watak Nubian Queen. Setelah beberapa tahun ditayang, rupa-rupanya ia berkaitan dengan Emansipasi. 
Pelbagai lagi filem-filem yang ditayang, mempunyai agenda belakang tabir. Seolah-olah cuba membawa dunia ini ke arah perfileman yang bersifat real.

Meraih pengaruh dengan kedunguan
(1)     ISIS yang merupakan kumpulan pengganas tajaan Amerika juga turut membuat propaganda melalui perfileman. Lakonan dan editing mangsa sembelihan ditayang. 
Dunia menyaksikan dengan penuh perasaan, sedangkan apabila dikaji realiti politik dunia hari ini seolah-olah sudah pun berada di atas pentas teater.

(2)     Itu belum lagi dikira dengan ahli politik yang mengambil watak pelakon. Sanggup menjadi dungu dan bodoh semata-mata untuk berkempen. Kemudian setelah menang, diri sendiri mencanggahi manfiestonya. 
Ini perkara biasa, bahkan dibiasakan dan dinormalisasikan. Tak pelik kalau kempen Tun Dr Mahathir era PRU14 dalam bentuk filem pendek yang sungguh mengasyikkan. 

(3)     Pengaruh yang ada pada pelakon, melonjakkan dirinya menjadi orang yang kaya-raya. Tidak perlulah saya senaraikan kekayaan para pelakon movie. 
Sama juga ahli politik, sudah menjadi lumrah bahawa ahli politik mesti kaya. Seolah-olah masyarakat akan bertanya ‘Kalau duit pun takda, bagaimana nak memimpin’. 

Perkara ini juga yang menjadi pertikaian terhadap perlantikan Talut bagi memimpin Bani Israel. Allah S.W.T  berfirman:
وَقَالَ لَهُمۡ نَبِیُّهُمۡ إِنَّ ٱللَّهَ قَدۡ بَعَثَ لَكُمۡ طَالُوتَ مَلِكࣰاۚ قَالُوۤا۟ أَنَّىٰ یَكُونُ لَهُ ٱلۡمُلۡكُ عَلَیۡنَا وَنَحۡنُ أَحَقُّ بِٱلۡمُلۡكِ مِنۡهُ وَلَمۡ یُؤۡتَ سَعَةࣰ مِّنَ ٱلۡمَالِۚ قَالَ إِنَّ ٱللَّهَ ٱصۡطَفَىٰهُ عَلَیۡكُمۡ وَزَادَهُۥ بَسۡطَةࣰ فِی ٱلۡعِلۡمِ وَٱلۡجِسۡمِۖ وَٱللَّهُ یُؤۡتِی مُلۡكَهُۥ مَن یَشَاۤءُۚ وَٱللَّهُ وَ ٰ⁠سِعٌ عَلِیمࣱ 
“Dan Nabi mereka pula berkata kepada mereka: “Bahawasanya Allah telah melantik Talut menjadi raja bagi kamu. Mereka menjawab: “Bagaimana dia mendapat kuasa memerintah kami sedang kami lebih berhak dengan kuasa pemerintahan itu daripadanya, dan ia pula tidak diberi keluasan harta kekayaan?” Nabi mereka berkata:” Sesungguhnya Allah telah memilihnya (Talut) menjadi raja kamu, dan telah mengurniakannya kelebihan dalam lapangan ilmu pengetahuan dan kegagahan tubuh badan”. Dan (ingatlah), Allah jualah yang memberikan kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang dikehendakiNya; dan Allah Maha Luas (rahmatNya dan pengurniaanNya), lagi meliputi ilmuNya.” (al-Baqarah: 247.)

Hoax di era Dajjal 
(1)     Era Dajjal menyaksikan bagaimana Hoax yang cukup hebat bagi menguasai minda manusia. Dajjal juga memiliki kebolehan menampakkan Syurga dan Neraka. 
Ia digambarkan kepada manusia yang cuba disesatkannya. Gambaran tersebut adalah terbalikan, iaitu sekiranya apa yang digambar itu Syurga, hakikatnya ia adalah Neraka. Begitu juga sebaliknya.

(2)     Maka sesiapa yang terpengaruh dengan fitnah Dajjal Laknatullah akan memilih Syurganya dan meninggalkan Syurga Allah S.W.T. Nabi S.A.W bersabda;
…. معه صورتان: صورة الجنة وصورة النار، معه شياطين يشبهون بالأموات، يقولون للحي: تعرفني؟ أنا أخوك أو أبوك أو ذو قرابة منه، ألست قد مت؟ هذا ربنا فاتبعه، فيقضي الله ما شاء 

“Bersamanya (Dajjal) dua gambar. Sebuah gambaran syurga, dan sebuah lagi gambaran neraka. Bersamanya juga syaitan-syaitan yang menyerupai manusia-manusia yang telah mati. Mereka berkata kepada manusia yang hidup “adakah kamu kenal saya?” Akulah saudara kamu, atau bapa kamu, atau saudara mara kamu. Lalu manusia yang hidup bertanya “Bukankah kamu telah mati?” Lalu dia menjawab “Inilah (Dajjal) tuhan kami, ikutlah dia.. tuhan akan memperkenankan apa yang dia kehendaki”

(3)     Biasanya persoalan akan berbunyi bagaimanakah Dajjal itu boleh menayangkan gambar syurga dan neraka? Melalui medium apa? Tidak kurang juga banyak tafsiran mengenai Hadis ini. WaLlahuaklam 
Realiti Hadis ini kita serahkan kepada Allah S.W T. Cuma yang perlu di‘highlight’kan ialah pemanipulasian minda yang dilakukan oleh Dajjal, menggambarkan gambaran yang salah terhadap syurga dan neraka. 

(4)     Ini juga merupakan sikap ahli politik dan pelakon. Masing-masing boleh berlakon mesra, baik, dermawan dan sebagainya untuk digilap. Hakikatnya ada yang hipokrit. 

Tetapi apabila ditanya mengenai dasar dan pembawaan ahli politik itu, mereka akan terkumat-kamit seperti seorang dungu. Ini kerana mereka itu digilap melalui ‘filem politik’ sebagai seorang hebat. 

Walhal mereka itu tiada apa-apa dasar yang nak dibawa melainkan hanya lakonan. Inilah pendekatan Populism yang sedang memberanak pada hari ini. Iaitu era Dajjal yang sarat dengan penipuan dan pemalsuan. 

Partisan vs non partisan
(1)     Berdasarkan tanda-tanda hari ini, kita boleh menjangkakan demokrasi semakin tidak diterima oleh Barat sendiri. Bentuk-bentuk ketidakpercayaan masyarakat terhadap sistem politik hari ini. 
Di Barat mereka sedang hangat membincangkan kemunculan ahli politik itu sebagai seorang ‘super hero’yang berpengaruh. Mereka sudah mula beralih ke non-partisan

(2)     Memang ada negara yang mengharamkan parti politik seperti Arab Saudi, Kuwait dan sebagainya. Ada juga negara yang membenarkan kewujudan parti, namun masih ada calon yang non-partisan.
Contoh yang terbaru, Kais Saied seorang yang non-partisan, menang dalam Pilihan Raya Presiden Tunisia. Seolah-olah memberi isyarat bahawa rakyat sudah muak dengan agenda politik kepartian. 
Ini kerana banyak parti-parti politik mempersembahkan negara sebagai sebuah rancangan realiti televisyen sepertimana yang diceritakan di awal tadi. 

(3)     Sikap ahli politik yang pragmatik, makan keliling, melompat, menipu, dan sebagainya menjadi ‘mee goreng berminyak yang memuakkan’ dan ibarat movie yang membosankan. 

Pelakon yang paling hebat bukanlah Jason Statham, atau Dwayne Johnson. Akan tetapi Donald Trump. Kaedah beliau seakan-akan cuba menghidupkan era baru dunia politik yang palsu. 

Perbincangan non partisan vs partisan bukanlah sesuatu benda yang baru. Akan tetapi pernah dibincangkan di peringkat global. Apabila melihatkan kegagalan parti-parti politik untuk mengikut selera rakyat. 

Cabaran buat jamaah

(1)     Apa yang diceritakan dalam artikel ini lebih kepada cabaran buat ahli gerakan Islam yang dituntut hidup berjemaah. Risiko apabila menjadi parti politik sebagai wasilah. 

Benar, laluan untuk menegakkan Islam pastinya berisiko. Antara risikonya ialah mereka yang diamanahkan untuk menjadi pimpinan politik, kadangkala harapkan pegar, pegar makan padi’. 

(2)     Semasa menjadi ahli, beriya-iya memperjuangkan Islam. Tetapi apabila diberi peluang menjadi YB, MB, Exco dan sebagainya betapa sukar mempertahankan prinsip itu. 

Ada yang sudah terkandas sepertimana jebon-jebon terdahulu. ‘Kejadian’ ini perlu dijadikan pengajaran, bukannya untuk diejek dan ditroll. Bimbang ejekan dan troll itu akan makan diri sendiri. 

Apabila ada ahli politik yang diamanahkan oleh jemaah buat ‘spoil’, habis semua ahli jemaah akan terpalit. Masih lagi segar pengalaman di Perak satu ketika dahulu tika diberi peluang memerintah. 

(3)     Hari ini kita lihat corak politik lebih melihat kepada peribadi berbanding parti. Kalau sudah tergilakan dengan seseorang, andai orang itu tubuh parti sudu pun para penggila akan mengundinya. 
Ia bukan lagi diukur dari segi jemaahnya, akan tetapi diukur dari segi siapa orangnya. Menyebabkan kebenaran itu ditafsirkan mengikut ‘orang’, bukan lagi mengikut Islam. 
Nabi SAW bersabda:
إِنَّ اللَّهَ لَا يَقْبِضُ الْعِلْمَ انْتِزَاعًا يَنْتَزِعُهُ مِنْ الْعِبَادِ وَلَكِنْ يَقْبِضُ الْعِلْمَ بِقَبْضِ الْعُلَمَاءِ حَتَّى إِذَا لَمْ يُبْقِ عَالِمًا اتَّخَذَ النَّاسُ رُءُوسًا جُهَّالًا فَسُئِلُوا فَأَفْتَوْا بِغَيْرِ عِلْمٍ فَضَلُّوا وَأَضَلُّوا. 


“Sesungguhnya Allah tidaklah mencabut ilmu sekali gus mencabutnya dari hamba, akan tetapi Allah mencabut ilmu dengan cara mewafatkan para ulamak hingga bila sudah tidak tersisa ulamak maka manusia akan mengangkat pemimpin dari kalangan orang-orang bodoh, ketika mereka ditanya mereka berfatwa tanpa ilmu, mereka sesat dan menyesatkan”.HARAKAHDAILY 21/11/2019

SUMBERMUHAMMAD MUJAHID IR HJ MOHAMMAD FADZIL

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails