Sunday, November 17, 2019

Ibu Tunggal OKU Penglihatan, Kental Buat 4 Kerja..

Ibu tunggal OKU penglihatan kental buat empat kerja demi sara keluarga
Malikah membanting tulang empat keratnya dengan melakukan empat jenis kerja demi kelangsungan hidup. - Bernama
BUKIT MERTAJAM: Berniaga, mengurut, mendobi dan membungkus 'bola tikam' untuk dijadikan sumber pendapatan, mungkin kedengaran seumpama pekerjaan biasa buat seorang ibu tunggal.

Namun, melakukan semua pekerjaan itu dalam serba 'kegelapan' kerana ketiadaan upaya penglihatan, menjadikan Malikah Cholil, 38, seorang wanita yang wajar dikagumi.

Walaupun hidup dalam kesempitan, Malikah gembira kerana dapat mencari rezeki menggunakan kudrat sendiri untuk membesarkan dua anak perempuannya dengan hanya pendapatan sekitar RM400 sebulan.

"Rezeki Tuhan sudah atur, kita kena cari, usaha dan doa. Sedangkan cicak pun ada rezeki. Saya baru (diuji) tidak nampak, bukannya sakit... Kaki dan tangan masih ada, kalau lumpuh lain lah cerita," katanya kepada Bernama ketika ditemui di rumahnya, petang kelmarin.
Perkhidmatan urut tradisional antara penyumbang utama keluarga Malikah dan walaupun serba kekurangan, Malikah tidak pernah menetapkan harga urutannya sebaliknya menerima bayaran mengikut kemampuan pelanggan.
Perkhidmatan urut tradisional merupakan salah satu penyumbang utama pendapatan keluarga ini. - Bernama
Perkhidmatan urut tradisional merupakan salah satu penyumbang utama pendapatan keluarga ini. - Bernama

"Upah ikut orang nak bagi (berapa). Saya tahu orang tolong saya, saya fikir macam mana saya nak tolong orang (balik)... Kalau orang sakit, Allah yang sembuhkan (melalui) urutan saya, itu saya sudah seronok," katanya.

Malikah yang kematian suami pada 2017 ekoran sakit jantung bekerja keras menyara dua anaknya, Siti Nor Afida, 16, dan Siti Zuraida, 14, yang kedua-duanya berbakat besar dalam bidang sukan terutama bola jaring dan olahraga.

Namun, Malikah berkata anak sulungnya Nor Afida kini bertekad memperlahankan penglibatan dalam dunia sukan dan memadamkan cita-citanya untuk menjadi atlet profesional demi membantu meringankan beban ibunya.

"Saya nak tolong mak dan adik. Saya nak bawa mak pergi umrah kerana saya tidak pernah dengar mak cakap mahukan apa-apa kecuali itu (umrah)," kata Nor Afida yang pada mulanya enggan ditemu bual.

Sementara itu, Pengerusi One Hope Charity, Chua Sui Hau berkata pihaknya telah menyalurkan bantuan RM1,000 setiap bulan kepada Malikah melalui dana yang disumbang oleh orang awam serta memberi bantuan makanan kering seperti biskut, beras dan seumpama.

Bagaimanapun, katanya, tabung dana itu kini semakin berkurang dan perlu dipenuhkan semula untuk terus membantu keluarga Malikah dan orang ramai yang ingin menyalurkan bantuan boleh menyumbang ke akaun Public Bank Berhad One Hope Charity and Welfare Berhad bernombor 3193433435.

"Kami suka dia (Malikah) kerana dia bukan seorang yang duduk sahaja dan mengharapkan bantuan. Walaupun dia berasa segan untuk menerima bantuan, kita akan tetap berikan untuk bantu menampung perbelanjaan bulanan atau simpanan pengajian untuk anaknya pada masa hadapan," kata Chua.
-- BERNAMA

Lihat ini..
E-Buku IH-126: Kampung Janda Di Dunia..

E-Buku IH-126: Kampung Janda Di Dunia..

No comments:

Post a Comment