Bahaya dalam tenang
INSIDEN ditahan tentera selama hampir lima jam sebaik menjejakkan kaki ke Pulau Basilan di selatan Filipina antara cabaran ditempuhi pasukan misi kesihatan dan kemanusiaan Muslim Care Malaysia (Muslim Care). Ikuti pengalaman wartawan Harian Metro, Ekhwan Haque Fazlul Haque yang mengikuti misi bermula Jumaat lalu.
“Ketika feri menghampiri Lamitan City di Pulau Basilan, ternyata hasrat menjejakkan kaki di pulau yang dilabelkan sebagai sarang pengganas Asia Tenggara sebelum ini hampir tercapai selain misi menyantuni Bangsamoro di perkampungan Islam di Baranggay Sirenggon Haji Mohd Ajul.
Namun, sebaik keluar dari feri, saya bersama 23 anggota misi Muslim Care perlu melalui proses dokumentasi pihak tentera Filipina di jeti berkenaan atas faktor keselamatan yang ketat.
Saya dan anggota misi hanya menuruti arahan apabila perlu mengisi borang khas selain gambar kami dirakam untuk dokumentasi.
Dalam masa sama, ketua misi Ahmad Safuan Ujar disoal pelbagai soalan mengenai tujuan kami berkunjung ke pulau berkenaan oleh pasukan tentera Filipina yang sangsi dengan tujuan kami.
Walaupun surat pemakluman kepada Gabenor Basilan dan komander Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) diberikan, ia tetap tidak memuaskan hati mereka.
Saya sempat mendengar rundingan mereka apabila pasukan tentera mahu melihat surat kebenaran rasmi daripada kerajaan Filipina sebelum kami dibenarkan masuk dan menyerahkan sumbangan.
Bagaimanapun, saya kagum dengan kesungguhan seorang ustazah, isteri pemimpin kanan MILF menjadi ‘orang tengah’ kerana berterusan meyakinkan pegawai tentera untuk membenarkan kami bersama barang bantuan masuk ke kawasan misi yang terletak satu jam perjalanan dari terminal feri Lamitan City.
Saya dan kumpulan misi akur dan kami diarah meninggalkan pulau berkenaan kerana kebenaran gagal diperoleh selepas hampir lima jam proses rundingan dijalankan.
Kami diiringi anggota tentera lengkap bersenjata api menaiki bot laju kembali ke Zamboanga dan tidak dibenarkan masuk ke Pulau Basilan sehingga kebenaran diperoleh.
Ketika perjalanan pulang ke Zamboanga, pegawai tentera yang mengiringi memaklumkan insiden serang hendap dan tembakan masih berlaku di Pulau Basilan walaupun dilihat ‘tenang’ pada luarannya.
Malah, sehingga kini, pergerakan saya dan sukarelawan sepanjang di Zamboanga dipantau anggota tentera bersenjata selain beberapa lelaki dari MILF.
Sejak awal pagi semalam proses rundingan terus berjalan dengan kerjasama Kedutaan Malaysia di Manila menerusi Konsulat Malaysia di Davao bersama beberapa pihak berkepentingan.” (MyMetro)
Hibur Hibur Sikit
No comments:
Post a Comment