Friday, November 29, 2019

Kemelut Dalam Senyum, Anwar/Mahathir Terus Memuncak..


Ugutan Perdana Menteri sudah mengena
SEBELUM Mei 2018 jarang isu dalaman parti pemerintah muncul di khalayak. Tidak banyak isu rumah tangga Umno terbongkar kecuali ketika musim pemilihan.

Sebaliknya situasi sekarang berbeza. Isu-isu rumahtangga parti pemerintah muncul silih berganti. Paling menjadi tumpuan PKR. Mengapa begitu. Tidak lain lagi kerana pemimpin PKR bakal dinobatkan perdana menteri ke-8.


Biarpun ada akujanji politik, namun denainya masih berliku. Onak dan duri masih banyak di hadapan. Tidak mudah Anwar Ibrahim menduduki kerusi perdana menteri. Idea pergiliran Ketua Menteri Sabah mungkin pilihan muaqif Dr Mahathir Mohamad.
Kalau tidak dipecah ruyungnya, manakan dapat sagunya. Serupa juga dengan peristiwa 1997, Anwar pernah dijanjikan menggantikan Dr Mahathir.
Namun harap pagar, pagar makan padi. Ia terburai di tengah jalan.
Ketika itu muncul isu liwat I. Isu liwat mengakhiri penantian panjang Anwar. Sekarang era kedua pula Anwar dijanjikan sebagai PM ke-8. Isu liwat datang lagi. Namun ia dipalit kepada pemimpin lain pula.
Sedangkan versi pertama bakal PM yang ditohmah isu rasuah dan liwat. Sebaliknya sekarang bakal PM bertembung pula dengan menteri yang tiada dalam senarai koalisi PH sebagai PM.
Namun pada sisi lain, pertembungan 1997 berulang apabila presiden mencurigai timbalannya. Ketika pemimpin Pakatan Harapan (PH) sepakat menobat Anwar, tiba-tiba ahli parlimen Port Dickson seperti dibelit kemuncup.
Presiden PKR itu termengah-mengah mengutip kemuncup. Usianya menjangkau nombor 72, ruang bagi Anwar makin mengecil. Mengambil kira faktor itu Azmin dibayangi sebagai pilihan. Kedudukannya sebagai timbalan presiden, membolehkan Azmin jadi galang ganti.
Namun ada paradoks di situ. Situasi sekarang memperlihatkan Anwar bertembung Azmin, bukan lagi Anwar vs Dr Mahathir. Nampak sesuatu yang pelik berlaku.
Namun Dr Mahathir masih licik. Usia 94 tahun tidak menghalang untuk menghabiskan penggal ke-14. Mungkin ketika itu usianya 97 tahun. Satu lagi rekod dunia bakal dicatat.
Dr Mahathir dilihat mampu berselindung di sebaliknya pertembungan Anwar-Azmin. Perdana Menteri boleh cuci tangan. Boleh membawa isteri makan angin memandu Proton.
Pemerhati di luar gelanggang
Dr Mahathir sekadar pemerhati di luar gelanggang. Sebaliknya Anwar-Azmin terus bergasak. Dr Mahathir boleh mengulangi sifir lama ketika membiarkan Umno diharamkan pada Jun 1987.
Kemenangan tipis dengan 43 undi terhadap Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li), membolehkan Dr Mahathir mencengkam kedudukan. Pemilihan pada 24 April 1987 Dr Mahathir mendapat 761 undi, manakala Tengku Razaleigh 718 undi.
Ketika itu Anwar yang mencuba nasib di kerusi Naib Presiden mendapat undi ketiga terbanyak. Wan Mokhtar Wan Ahmad mendapat undi terbesar, diikuti Abdullah Ahmad Badawi.
Namun pertembungan Dr Mahathir-Ku Li tidak berakhir di situ. Team B yang dikaitkan dengan Ku Li membawa kes ke mahkamah. Akhirnya Umno diharamkan.
Mungkin di usia emas sekarang, kelicitan itu berulang lagi.
Pada 20 November lepas Dr Mahathir mengeluarkan kenyataan menimbang desakan rombakan kabinet. Ia berpangkal kekalahan besar PH pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai.
“Saya sebagai Perdana Menteri bertanggungjawab berkenaan rombakan kabinet,” katanya pada sidang media di pejabat Bersatu.
Biarpun beliau menafikan selepas itu, namun isi hatinya sudah diluah. Ekoran itu Menteri Pembangunan Usahawan, Mohd Redzuan Yusof paling gentlemen.
Ahli Parlimen Alor Gajah itu dikatakan bersedia digugurkan sekiranya berlaku rombakan kabinet. Ujarnya itu kuasa mutlak Perdana Menteri.
Dilapor juga lima lagi menteri disebut-sebut terbabit dalam rombakan kabinet. Antaranya Dr Mazslee Malik, Rina Mohd Harun, M Kula Segaran, Dr Mujahid Yusof Rawa dan P Waytha Moorthy.
Malah poll laman berita pula merumus Maszlee Malik, paling wajar berundur. Berikutan itu 18 Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Universiti Awam bingkas mempertahankan Dr Maszlee.
Perdana Menteri pun wajar intai kementerian lain yang agak kontroversi. Banyak ucapan menteri menjadi cemuhan ramai. Antaranya Kewangan dan Industri Utama. Setidak-tidaknya boleh pindah Lim Guan Eng ke Kementerian Pengangkutan.
Ia mengulangi jawatan yang pernah diterajui Presiden MCA. Timbalan Perusahaan Dr Ong Kian Ming pula boleh mengintai tempat Teresa Kok. Ternyata ugutan Perdana Menteri sudah mengena sekarang. –HARAKAHDAILY 28/11/2019


Lihat sebelum ini..
E Buku IH-121: Kemelut Dalam Senyum, Anwar/Mahathir
E Buku IH-121: Kemelut Dalam Senyum, Anwar/Mahathir

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails