PRK Tg Piai, malang berganda buat PH
KITA semua sudah tahu keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai. Pakatan Harapan (PH) bukan kalah, tapi kalah teruk. Jumlah majoriti yang sangat besar yang diperolehi oleh Barisan Nasional (BN) bagaikan tak terjangkau dek akal.
Ada penganalisis yang menyifatkan PRK ini adalah keputusan terburuk dalam sejarah bagi parti-parti pemerintah semenjak merdeka. Dalam parlimen Tanjung Piai ada 27 Pusat Daerah Mengundi (PDM) dan 125 saluran mengundi. PH kalah di semua 27 PDM. Dari 125 saluran PH hanya menang satu saluran. Kalau PH tak faham juga lagi mesej rakyat ini, tak tahulah apa lagi nak cakap.
Keputusan majoriti terlalu besar yang dicapai Muafakat Nasional di Tanjung Piai seolah-olah rasanya seperti kerajaan persekutuan itu sendiri telah pun jatuh ke tangan Muafakat Nasional.
Sebelum keluar keputusan PRK Tanjung Piai ini, penulis katakan kepada seorang rakan penulis, jika calon PH menang juga dalam PRK ini dia memang betul-betul bernasib baik. Ini adalah kerana terlalu banyak kesilapan ‘bodoh’ yang dilakukan oleh calon atau jentera PH.
Di saat pengundi sedang marah kepada kerajaan PH, seperti yang diakui sendiri oleh Salahuddin Ayub, calon dan jentera PH pula menambah lagi bengkak di hati rakyat.
Memulakan episod malang, Wak Karmaine terpaksa memegang nombor empat sebagai nombor calon beliau. Seperti mana yang kita faham, angka empat ini dianggap sebagai ‘angka sial’ di kalangan masyarakat Cina.
Memang sebagai orang Islam kita tidak percaya pada perkara ini. Namun ia materi kepada pengundi-pengundi kaum Cina yang sebelum ini dianggap sebagai simpanan tetap PH. Mungkin ini juga menjadi satu lagi faktor mengurangkan undi kaum Cina kepada PH.
Langkah Wak Karmaine tersandung di awal-awal kempen lagi dengan kenyataan kontroversinya bahawa pekebun kelapa sawit sepatutnya bersyukur dengan harga kelapa sawit RM270 satu tan. Kenyataannya yang dibuat di dalam dalam satu program kempen PH di PDM Penerok pada 3 November itu telah menimbulkan kemarahan pekebun-pekebun kecil kelapa sawit di Tanjung Piai.
Ini ditambah lagi dengan peperangan dalaman yang tidak habis-habis di dalam PH, juga memberi kesan besar terhadap sokongan rakyat kepada PH. Ia umpama ibubapa dalam satu-satu keluarga yang asyik bergaduh akan memberi kesan kepada emosi anak-anak.
Sudahlah Bersatu dan DAP belum reda lagi pertelingkahan dalam isu Ronnie Liu, tiba-tiba timbul pula isu video kontroversi MB Perak dengan kenyataannya yang mengecam DAP.
Pemimpin PH bukan tidak tahu bahawa peperangan sesama mereka ini memberi kesan kepada sokongan rakyat kepada PH. Tapi peperangan dalaman mereka ini memang tidak dapat dielakkan lagi.
Tidak ada cara untuk mereka mencari jalan perdamaian. Walau pun ada beberapa orang pemimpin PH, antaranya Lim Kit Siang, yang meminta agar perkara ini dibincangkan selepas PRK ini, namun ia tetap tidak meredakan bahang pergeseran dalaman PH ini.
Selain dari sokongan orang-orang Cina beralih kepada BN, dipercayai ramai di antara penyokong-penyokong DAP tidak keluar mengundi kerana krisis antara DAP dan Bersatu. Kerana itu undi yang diperolehi merosot teruk.
Namun jika pengundi DAP ini keluar dan mengundi Wak Karmaine, PH tetap sukar untuk menang. Jumlah yang keluar mengundi pada PRU14 ialah 45800 orang. Untuk PRK ini jumlah keluar mengundi ialah 38815 orang. Jadi seramai 6985 orang yang mengundi pada PRU14 tidak mengundi pada PRK ini.
Katalah semua 6985 orang yang tidak keluar mengundi ini adalah pengundi DAP. Sekiranya mereka keluar dan mengundi PH, ini akan menjadikan jumlah undi PH ialah 17365. Jumlah ini tetap tidak dapat mengalahkan BN yang mendapat 25466 undi.
Namun begitu di sebalik semua malang yang melekat pada Wak Karmaine dan PH ini, sebenarnya ia boleh ditampung dengan beberapa kelebihan yang ada pada kem PH yang sepatutnya mampu menyumbang kepada kemenangan PH.
Yang pertama, PH menguasai kerajaan pusat dan negeri. Parti yang menguasai kerajaan pusat dan negeri sepatutnya memiliki banyak kelebihan. Sebagai wakil rakyat kerajaan sudah tentu mudah untuk mereka memohon peruntukan pembangunan. Ini sepatutnya boleh menjadi faktor penarik untuk mengundi Wak Karmaine.
Yang kedua PH telah menggunakan segala jentera dan peruntukan kerajaan untuk meraih undi. PH bernasib baik kerana peruntukan dan program yang katanya telah lama disusun sebelum ini kebetulan tempohnya tepat mengena pada PRK Tanjung Piai ini. Jumlahnya pula bukan sedikit. Dianggarkan dalam lingkungan RM30 juta dedak peruntukan ditabur untuk meraih undi.
Yang ketiga PH adalah penyandang kerusi ini kerana sudah pun memenangi kerusi ini pada pilihanraya sebelum ini. PH sudah membuktikan bahawa rakyat Tanjung Piai pernah memilih mereka sebelum ini. Ini bermaksud bukan sesuatu yang mustahil untuk PH memenangi semula kerusi ini.
Namun segala kelebihan yang ada pada PH ini tidak mampu menampung malang yang telah menimpa Wak Karmaine ini. Semua ini berlaku kerana kebencian dan kemarahan rakyat yang meluap-luap.
Kekalahan besar PH ini bagaikan satu ingatan rakyat kepada semua ahli politik bahawa merompak wang negara dan tidak menunaikan janji adalah kesalahan yang sama besar.
PH memasuki pilihanraya ini dengan membawa segala jentera dan peruntukan kerajaan untuk menagih undi. Sedangkan pembangkang tidak akan mampu melakukan seperti yang dilakukan oleh parti kerajaan. PH telah melakukan sesuatu yang dahulu semasa mereka jadi pembangkang mereka kata itu sebagai ketidakadilan.
PH umpama seseorang yang mengajak lawannya bertarung. Tapi lawannya ditutup mata dan diikat kaki dan tangan. Sudahlah lawannya terikat, PH pula dibenarkan menggunakan senjata. Secara logik akalnya mustahil seseorang yang ditutup mata dan diikat kaki dan tangan mampu mengalahkan lawannya yang bebas.
Tapi dalam kes PH ini, sudahlah PH bersenjata, tangan dan kaki lawannya pula diikat, tiba-tiba PH tetap kalah bertarung. Ini yang dikatakan sebagai kekalahan yang sangat hina.
IBNU JANIE
Penulis adalah Ketua Penerangan PAS Kawasan Masjid Tanah, Melaka – HARAKAHDAILY 20/11/2019
ReplyDeleteExcellent Blog! I would like to thank for the efforts you have made in writing this post. I am hoping the same best work from you in the future as well.
I wanted to thank you for this websites! Thanks for sharing. Great websites!
Pubg APK
Pubg mobile APK
Pubg for pc
Pubg latest Version