Thursday, November 21, 2019

Kesusahan Rakyat: Apakah Ini Luar Tugas Pemimpin?



Tak mampu bayar sewa
WALAUPUN hidup serba kekurangan, Latipah Mat Dom, 61, tetap bahagia di samping enam anak dan sembilan cucu.
Tiga daripada anaknya berserta tiga cucu menetap bersama Latipah dan suami, Mohd Daud Ibrahim, 59, di Flat PPR Kampung Muhibbah, Jalan Puchong di sini.
Tiga lagi anaknya sudah berkeluarga dan menjalani kehidupan masing-masing.
Namun peristiwa seminggu selepas sambutan Hari Raya Korban, Ogos lalu, meragut kebahagiaan Latipah selepas anak yang menjadi tempat bergantung hidup meninggal dunia akibat nahas jalan raya.

Dalam nahas itu, Nurfarahana Mohd Daud, 28, seorang ibu tunggal maut di tempat kejadian manakala dua anaknya, Nurul Farah Safwanah, berusia sembilan, dan Nurul Farah Safwani, berusia lapan tahun cedera.
Susulan nahas, Nurul Farah Safwanah patah paha dan koma sebulan manakala adiknya pula patah tangan.
“Arwah menunggang motosikal bersama dua anak dalam perjalanan pulang dari kampung di Jelebu, Negeri Sembilan.
“Dalam perjalanan, arwah gagal mengawal motosikal lalu terjatuh. Arwah baru saja belajar buat kek batik sebab nak buat berniaga.
“Malah kek itu masih ada dalam raga motosikal sebab nak bawa balik ke rumah,” kata Latipah menangis teresak-esak.
Ketika hayatnya, Nurfarahana yang menjalankan tanggungjawab meringankan beban keluarga dengan melakukan berniaga kecil-kecilan antaranya menjual kuih, kek, dan aiskrim.
Menurut Latipah, sejak ketiadaan arwah, tanggungjawab menjaga cucu beralih di bahu dia dan suami.
Wanita ini disahkan menghidap masalah pundi kencing dan perlu memakai lampin pakai buang. Dia disahkan menghidap kencing manis dan darah tinggi serta bergantung kepada tongkat untuk berjalan.
Suaminya penerima bantuan Baitulmal RM350 sebulan dan menghidap angin pasang serta kencing manis.
Oleh kerana bebanan hutang sewa rumah dan bil air yang tertunggak mencecah ribuan ringgit, Mohd Daud terpaksa kembali bekerja sebagai pengawal keselamatan.
Latipah berharap ada pihak sudi membantu menyelesaikan hutang sewa rumah selain bil air dan elektrik.
“Rasa sesak nafas fikirkan pasal hutang dan masa depan dua cucu ini. Kami tidak kisah dari segi makan minum sebab makan saja apa yang ada di rumah walaupun sekadar biskut kering,” katanya.
Tanpa berselindung, Latipah akui sebak memikirkan masa depan dua anak arwah yang masih kecil. (MyMetro)

Komen Weblog Ibnu HasyimKesusahan rakyat, seperti di atas, apakah ini luar tugas dan tanggung jawab pemimpin?

Kepimpinan dalam Islam

Gagal melaksanakan tugas dengan adil sebagai pemimpin dan mengabaikan kebajikan rakyat, maka pemimpin itu dijanjikan azab yang berat oleh Allah SWT di akhirat kelak.

Antara ciri-ciri kepimpinan yang adil ialah, lihat 3 perkara ini..

1. Meletakkan nilai agama sebagai yang utama. Di situ pentingnya pemimpin mempunyai ciri-ciri ulama. Tetapi tidaklah semestinya pemimpin itu seseorang yang pakar ilmu agama, tetapi pemimpin perlulah terbuka dan bersedia menerima nasihat ulama dalam urusan pentadbirannya. Sila lihat sejarah. 

2. Perlu memastikan kebersamaan pemimpin dan pengikut itu dalam satu ikatan atau nilai yang sama. Nilai yang mengikat adalah keadilan dan akhlak yang konsisten diantara pemimpin dan rakyat. Nilai akhlak dalam urusan menjalankan kuasa dan amanah pentadbiran pemimpin itu.
Juga melaksanakan tanggungjawab rakyat mestilah adil, tidak disalahguna atau pilih kasih. Kerana walaupun memiliki kuasa, seseorang pemimpin itu masih terikat dengan kedudukannya sebagai hamba kepada Allah yang Maha Berkuasa.

3. Juga Perlu disematkan dalam minda bahawa tiada siapa dikalangan manusia itu memiliki kuasa mutlak kerana semua dari kita adalah terikat dengan kuasa mutlak yang ada pada Allah SWT. Hanya yang benar-benar memiliki kuasa mutlak itu adalah Allah SWT. Dialah yang Maha benar, Maha adil dalam menghukum pada hari pembalasan. 
Tiada yang dapat dirahsiakan dan disembunyikan daripada pengetahuan dan pandangan Allah. Kita semua akan diberi ganjaran atau balasan dengan seadil-adilnya di akhirat kelak oleh sebenar-benar Penguasa. 
Imam al Ghazali dari kitab Nasihat al Muluk menyebut berkenaan nasihatnya kepada penguasa iaitu manusia jika tidak diingatkan tentang sifat Tuhan, ia akan cenderung menjadi lupa akan kekuasaan Tuhan dan boleh menjurus kepada kezaliman dan penganiayaan.

Melihat kepada usaha menerapkan amanah dalam diri pemimpin menurut Islam adalah..
  • Pertama, ia harus memiliki ilmu tentang pemilik kuasa yang sebenar. Ilmu tetang sifat-sifat dan kekuasaan Allah akan memandu dan menjaga akhlak dan perbuatannya dalam mentadbir dengan bertanggungajwab dan taqwa kepada Allah.
  • Kedua adalah penguasaan ilmu dalam urusan amanah yang dipegangnya. Ilmu ini akan mengingatkan dirinya berkenaan pelaksana syariat Allah dan urusan hukum hakam kepimpinannya. Sesiapa yang menyasarkan kuasa kepimpinan itu perlulah mengukur baju di badan sendiri  dengan melihat kemampuan dan kelayakan diri. 
Ini bagi mengelakkan dari kelemahan pentadbiran, penyalahgunaan kuasa dan kezaliman kepada orang yang dipimpinnya. Kelayakan itu pula diukur berdasarkan ijmak. Namun begitu, seseorang itu perlu menerima kuasa jika dilantik sekiranya kita tiada yang lebih berkelayakan darinya. Jika tidak ia akan menyebakan kuasa tersebut jatuh kepada mereka yang lemah dan akhirnya memberi akibat buruk kepada maslahah umat itu.

Perkara lain yang juga penting dalam setiap diri seorang pemimpin adalah Muhasabah setiap hari. Seusai menunaikan kewajipan solat fardhu, setiap Muslim terutamanya seorang pemimpin  perlu menyoal diri kembali tentang setiap perbuatan, keputusan dan akhlaq mereka bagi menilai samada memberi manfaat atau mudarat kepada masyarakat.

Justeru menjadi pemimpin atau penguasa itu bukan lah tugas yang dianggap mudah dan sewenangnya dipegang oleh mereka yang tidak berkemampuan. Selain bertanggungjawab menjaga kewajipan memelihara kepimpinan diri, kemudian keluarga, dan penguasa juga akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah SWT nanti berkenaan ahli yang berada dibawah amanahnya.

Termasuk masalah rumah sewa rakyat tanpa mengira status agama.

Hibur Hibur Sikit.

NASIB SI MISKIN - TAN SRI P.RAMLEE


OST 3 Abdul 1964 - Tolong Kami Bantu Kami - P Ramlee

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails