Tuesday, November 05, 2019

Sampai Bila Buta Begini? Kaji Perancangan Musuh.

Hasil carian imej untuk Apabila umat Islam tak kenal musuh
Apabila umat Islam tak kenal musuh 
-MUHAMMAD MUJAHID IR HJ MOHAMMAD FADZIL
Hasil carian imej untuk Apabila umat Islam tak kenal musuh
PENTINGNYA mengkaji perancangan musuh 

Sebelum ini saya ada ceritakan tentang dua sunnah Nabi S.A.W yang diabaikan oleh umat Islam hari ini iaitu perisikan dan kewaspadaan. Kali ini ingin saya tekankan berkenaan cabang kepada sunnah Nabi ini.

(1) Cabang yang dimaksudkan ialah mengkaji strategi dan kekuatan musuh. Ia merupakan salah satu daripada cabang perisikan. Nabi S.A.W dalam proses berhijrah, Nabi S.A.W menghantar Abdullah bin Abu Bakar R.A.  

Tujuan Baginda S.A.W mengutuskannya tidak lain dan tidak bukan, untuk mengkaji dan meneliti pergerakan serta perancangan pembesar Makkah. Beliau juga berperanan mengkaji suasana politik Makkah ketika itu. 

(2)     Di dalam artikel sebelum ini juga saya ada menceritakan tentang kumpulan-kumpulan perisikan Rasulullah S.A.W khususnya dalam peperangan. Menunjukkan betapa pentingnya mengkaji kekuatan musuh. 

(3)     Di dalam kitab al Munqiz Minad Dholal  (المنقذ من الضلال), Imam Ghazali R.A mengkritik para Ulamak Mutakallimin yang cuba menyanggah Ahli Falsafah dengan sanggahan yang tidak jelas 

Mereka hanya sekadar menyanggah dengan istilah yang tidak difahami oleh masyarakat awam. Apatah lagi mereka yang baru nak merangkak untuk memahami falsafah, lebih sukar untuk memahami sanggahannya. 

Justeru, beliau menyatakan bahawa:


فعلمت أن رد المذهب قبل فهمه والإطلاع على كنهه رمى في عماية 


"Lalu aku sedar bahawa menyanggah sesuatu aliran itu sebelum memahaminya  dan meneliti intipatinya terlebih dahulu, seperti memanah dalam keadaan mata tertutup".



Siri-siri teguran buat umat Islam dan gerakannya 

(1)     Antara kelemahan Umat Islam hari ini apabila mereka tidak kenal musuh. Perkara ini mendorong Fathi Yakan mengarang buku Bahtera Penyelamat Dalam Kehidupan Pendakwah. Ia dimulai dengan menceritakan tentang musuh. 

(2)     Selain itu, beberapa Ulamak turut mengarang buku-buku yang berbentuk teguran terhadap ahli-ahli gerakan Islam. Antaranya Syeikh Yusof al Qaradhawi dalam kitabnya 'Di Mana Silapnya'  (أين الخلل). 

(3)     Apabila munculnya kebangkitan yang hanya berlandaskan semangat dan sentimen beliau mengarang kitab bersiri الصحوة الاسلامية, antaranya kitab yang masyhur الصحوة الاسلامية من المراهقة إلى الرشد. 

(4)     Apabila melihat kepincangan dalam organisasi gerakan Islam, Fathi Yakan mengarang أبجديات التصور الحركي للعمل الإسلامي 

(5)     Begitu juga apabila melihat penyakit jiwa yang melanda ahli gerakan Islam, Sayyid Nuh mengarang آفات على الطريق 

(6)     Apabila melihat kelemahan Umat Islam tidak bersikap realiti terhadap semasa dan keperluan masyarakat, Syeikh Abul Hassan Ali An Nadawi mengarang كي لا نمضي بعيداً عن إحتياجات العصر 

(7)     Ketika projek penjajahan Barat terhadap ekonomi dunia, Syed Qutb mengarang kitab معركة الاسلام والرأسمالية dan ketika dunia berhadapan dengan krisis penjajahan, beliau mendedahkan perancangan Barat dalam bukunya السلام العالمى والاسلام 

Banyak lagi karya-karya para Ulamak yang membahaskan tentang inti gerakan Islam. Malangnya Umat Islam masih ada yang memperleceh usaha usaha ini dengan sindiran dan falasi. 

Tokoh Islam dan gerakannya kadangkala terjerat 

Penulisan-penulisan mereka sangat berkait rapat dengan pertentangan idealogi. Sepertimana yang dikatakan oleh Imam Ghazali di awal tadi tentang keperluan untuk mengkaji idealogi musuh 

Ini kerana apabila kita mengenal idealogi mereka, kita tidak akan terjerat dengan perancangan dan strategi halus mereka, insyaAllah. Betapa halusnya perancangan mereka sehingga kadang kadang tokoh gerakan Islam sendiri ada yang terkandas. 

(1)     Antaranya tokoh gerakan Islam di Timur Tengah yang masyhur iaitu Syeikh Mustafa al-Siba’ie (1915-1964) pernah menulis sebuah buku berjudul Ishtirakiyyah al-Islam  اشتراكية الاسلام (Sosialis Islam). 

Tajuk buku tersebut telah menjadi kontroversi di kalangan ahli Gerakan Islam yang lain seperti Sayyid Qutb dan Abul A'la al-Maududi. Walau bagaimanapun, isinya tiada masalah. 

Setelah cetakan kedua buku tersebut, Syeikh Mustafa al-Siba’ie mula melihat kesan buruk istilah yang digunakan oleh beliau. Lalu beliau menyatakan kekesalannya terhadap tajuk bukunya kepada Syeikh Muhammad al-Ghazali 

Syeikh Muhammad al Ghazali menukilkan cerita ini di dalam bukunya الدعوة الاسلامية في القرن الحالى. Begitulah betapa seninya serangan idealogi terhadap Umat Islam yang lebih menuntut kepada kita untuk mengkajinya. 

(2)     1979 menyaksikan Revolusi Iran menggambarkan betapa kebangkitan Islam itu sudah mula sinarnya. Di ketika itu, gerakan-gerakan Islam seperti Ikhwan Muslimin Syria mula 'terkesima' dengan kebangkitan itu. 

Tidak sedikit ulamak Gerakan Islam yang menceritakan kehebatan kebangkitan ini, termasuk beberapa individu dalam PAS sendiri. Namun pandangan Imam Sa'id Hawwa R.A dalam hal ini agak berlainan. 

Beliau mengarang الخمينية شذوذ في العقائد وشذوذ في المواقف pada 1987. Beliau mendedahkan Revolusi Iran ini merupakan kebangkitan idealogi Khomeinism yang membawa kepada kesesatan aqidah, agar Umat Islam tidak tersilau. 

Hari ini bukan zaman 'The Golden Age Of Islam'

Para Ulamak Gerakan yang disenaraikan di atas, rata-rata berhadapan dengan rencam ketebalan Sekularism. Dalam masa yang sama masing-masing berhadapan dengan realiti serangan pemikiran. 

Musuh menyerang Islam dengan serangan idealogi bagi menggantikan Imperialism yang sepatutnya sudah lapuk. Masing-masing hidup subur setelah kejatuhan Khilafah Uthhmaniah. 

(1)     Zaman ketiadaan khalifah tidak sama dengan zaman 'Golden Age Of Islam'  di Baghdad satu ketika dahulu. 

(2)     Zaman para Ulamak mencari sanad dan hadis satu ketika dahulu tidak sama dengan hari ini, zaman pembukuan hadis. 

(3)     Zaman kegemilangan Uthmaniah di era Sultan Muhammad al Fateh (1432-1481) tidak sama dengan era khalifah makan dedak di era 18 dan 19 an. 

Di dalam sejarah Islam selepas kewafatan Baginda S.A.W, ada dua zaman ketiadaan khalifah, iaitu; 

(1)     1258-1299 selepas kejatuhan Abbasiah sehinggalah kemunculan Khilafah Turki Uthmaniah. 

(2)     Selepas kejatuhan Uthmaniah pada 1924, sehingga sekarang. 

Perbezaan zaman menunjukkan prioriti juga berbeza. Kalau hari ini Umat Islam dijajah, hak-hak orang Islam dirampas, tetapi ada segelintir orang Islam yang menghabiskan staminanya berbahas bab qunut seolah-olah hidup di zaman Golden Age Of Islam. 

Palestin dijajah secara 'rasmi', Sudan yang sedang dihuru-harakan, Libya dan Iraq yang sedang usaha campur tangan kuasa luar, Syria yang sedang bergolak, Somalia yang dikerat kerat, tetapi Umat Islam masih lagi sibuk bercakaran bab mazhab. 

Sebab itulah manhaj ilmu zaman Abu Mansur al Maturidi dan Imam Abu Hassan al Asy'ari tidak sama dengan Ibn Timiyyah, Syeikh al Izz Ibn Abdus Salam dan Imam Ibn Kathir. 

Kita bukan hidup di zaman Abrahah


Setiap zaman mempunyai dimensinya yang berbeza-beza. Kita boleh faham melalui; 

(1)     Muqaddimah Kitab الرحيق المختوم yang dikarang oleh Syeikh Sofiurrahman al Mubarakfuri. Di awal kitabnya, beliau menceritakan suasana geopolitik dunia ketika itu. 

Iaitu bagaimana suasana dunia ketika kelahiran Nabi S.A.W. Dunia yang dikuasai oleh Rom dan Parsi, serta latar belakang masyarakat Makkah yang tersesat, setelah kewafatan Nabi Ibrahim A.S. 

(2)     Dr Raghib as Sarjani antara ulamak kontemporari mengarang kitab ringkas yang bertajuk لسنا في زمان أبرهة (kita bukan di zaman Abrarah). Di dalam kitab ini menceritakan tentang kisah penjajahan Abrahah terhadap Mekah. 

Abrarah menceroboh Makkah yang dipimpin oleh Abd Mutalib untuk menghancurkan Kaabah. Dalam pencerobohan itu, mereka merampas 200 ekor unta Abd Mutalib. Lalu Abd Mutalib bertemu Abrarah menuntut untanya dikembalikan. 

Abrarah terkejut bagaimana seorang pimpinan hanya memikirkan tentang untanya dan tidak langsung memikirkan tentang Kaabah yang hendak dimusnahkan? Apabila ditanya, Abd Mutalib menjawab: 

أنا رب الإبل، وإنللبيت رباً سيمنعه 

Aku adalah tuan kepada unta, manakala Kaabah itu ada tuannya! 

Ya, zaman tersebut apabila ada kuasa luar ingin hancurkan Kaabah, Allah S.W.T akan melindunginya. Begitu juga zaman para Anbiya sebelumnya, apabila mereka berdoa kepada Allah S.W.T, Allah S.W.T turunkan bantuan. 

Doa Nabi Nuh A.S di dalam Surah al Qamar ayat 10, Doa Nabi Lut A.S di dalam Surah asy Syu'ara 169, begitu juga doa Nabi Musa A.S. Doa-doa ini terus dikabulkan oleh Allah S.W.T dengan mendatangkan pertolongan. 

Tetapi untuk Umat Muhammad S.A.W pada hari ini Allah S.W.T menetapkan bahawa pertolongan itu bukan percuma;



إن تنصروا الله ينصركم، ويثبت أقدامكم 

"Sekiranya kamu membantu agama Allah S.W.T, Allah S.W.T akan membantu kamu dan meneguhkan tapak pendirian kamu. 

(Muhammad: 7)



Apabila Umat Islam tidak kenal musuh 

Apabila kita melihat realiti Umat Islam hari ini, hidup dalam keadaan ketiadaan pemerintahan Islam yang berpusat dan negara-negara yang majoriti Umat Islam sedang di'hijack'  untuk kepentingan Barat. 

Anak-anak muda Islam yang ter'Barat' dengan idealogi sesat, ter'kuning' dengan budaya songsang dan sebagainya. Malangnya Umat Islam masih belum mengenal musuh dan buta terhadap perancangan mereka.

(1)     Kejatuhan Uthmaniah yang sepatutnya menjadi pengajaran apabila Uthmaniah menjadikan musuh sebagai kawan, dan dedak musuh dijadikan makanan, maka sangat rasional kalau khilafah itu tumbang. 

(2)     Bangsa Arab yang termakan dengan hasutan musuh akhirnya meletakkan diri mereka di atas papan catur yang dimainkan oleh kuasa-kuasa besar yang sedang mengintai peluang. 

Bangsa Arab tidak kenal musuh sehinggakan membiarkan British membawa masuk Israel ke dalam Palestin 1917 kerana ketika itu sedang fanatik terhadap Nasionalism Arab mengkritik Uthmaniah. 

Apabila ditanyakan persoalan kenapa Umat Islam sering terjerat dengan jerat musuh? Jawapannya mudah, kerana Umat Islam sendiri tak kenal siapa musuh, apatah lagi perancangannya. 

Justeru, pengkajian tentang perancangan musuh jangan dipandang sebelah mata. Selain daripada tak kenal musuh, Umat Islam tersilap mengenal musuh. Realitinya ialah, kawan dianggap musuh, musuh dianggap kawan. 

Boleh lihat apabila dengan gereja dan non-Muslim, boleh nampak mesra riang ria. Tetapi dengan ahli gerakan Islam dimusuhi, di'pengganas'kan, dikafirkan dan dihukum gantung. Mana musuh mana kawan? 

Prinsip 20: Bekalan menghadapi serangan Idealogi 

Kita juga boleh lihat beberapa buku gerakan Islam yang menentang idealogi sesat. Prinsip 20 antaranya yang sarat dengan fikrah Islam bagi berhadapan dengan idealogi songsang. 

(1)     Contohnya prinsip pertama menggariskan prinsip fikrah Islam bagi berhadapan dengan Sekularism yang menebal. 

(2)     Prinsip yang kedua menggariskan prinsip bagi berhadapan golongan Rasionalism, Exiatentialism, Empirisisme dan sebagainya. 

(3)     Apabila kita mengkaji sejarah zaman kegelapan Kristian kurun ke 4-14 Masihi, kita akan dapati Usul yang ketiga, keempat dan keenam seolah-olah menggariskan prinsip supaya umat Islam tidak tercopy-paste  budaya Kristian. 

(4)     Prinsip yang kelima, ketujuh, kelapan dan kesembilan, kesepuluh, kesebelas dan kedua belas, jelas menunjukkan bahawa Imam Hassan al Banna mengikuti perkembangan strategi musuh melagakan Umat Islam. 

Dan begitulah juga prinsip-prinsip yang lain sehinggalah prinsip yang kedua puluh. Setiap prinsip ditulis selari dengan realiti semasa Umat Islam pasca kejatuhan Uthmaniah, sehinggalah ke hari ini. 

Apa yang dihairankan apabila ahli gerakan Islam ada masih terkeliru antara Sifat 20 dan Usul 20. Ada pula pimpinan gerakan Islam yang pernah berucap di pentas menyatakan keterujaannya 'menemui' Usul 20. 

Seolah-olah Usul 20 adalah sesuatu yang baru dalam hidupnya. Golongan tradisionalis pula ada yang meng'wahhabi'kan Usul 20 dan menganggap usrah yang merupakan sunnah Nabi S.A.W itu sebagai medan menafsirkan al-Quran dengan akal. 

Sampai bilakah kita harus terbuta sebegini? - HARAKAHDAILY 4/11/2019

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails