HALAMAN HIBURAN
Konsert BTS di Arab Saudi sukses di sebalik kritikan, kecaman.
KUMPULAN pop tersohor dunia, BTS melakar satu lagi sejarah baharu dalam kerjaya seni mereka apabila berjaya mengadakan konsert di Arab Saudi pada Jumaat.
Di hadapan 30,000 peminat fanatik di King Fahd International Stadium di ibu negara Arab Saudi, Riyadh, konsert BTS melengkapkan impian dan hasrat peminat mereka.
BTS dalam masa sama tidak ketinggalan dikecam dan dikritik kerana bersetuju mengadakan persembahan di negara yang didakwa dikaitkan sebagai menyalah gunakan hak asasi manusia.
Undangan mengadakan konsert ini diperoleh BTS daripada Tengku Mahkota Arab Saudi, Mohammed Bin Salman.
Konsert BTS di Riyadh, Arab Saudi pada Jumaat ditonton oleh 30,000 peminat setia mereka. - Gambar Twitter @Turki_alalshikh
Dalam usaha menarik kedatangan pelancong selain mengembangkan ekonomi negara, kerajaan Arab Saudi semakin terbuka dalam pelbagai hubungan termasuk dalam platform hiburan.
Menjelang konsert "LOVE YOURSELF: SPEAK YOURSELF" di Riyadh, beberapa bangunan pencakar langit di bandaraya itu bertukar warna ungu sebagai tanda meraikan kehadiran mereka.
Ungu merupakan warna yang sinonim dengan kumpulan BTS yang dianggotai oleh tujuh anak muda berjiwa besar Jin, RM, Suga, J-Hope, Jimin, V dan Jungkook.
Pada konsert "LOVE YOURSELF: SPEAK YOURSELF", kumpulan yang terkenal dengan aksi lincah di pentas selain ketampanan wajah setiap anggota mencetus fenomena ketika beraksi di stadium berkenaan.
Kemeriahan konsert berkenaan turut dikongsi netizen di laman media sosial.
Konsert berkenaan juga disiarkan secara penstriman langsung khusus buat tatapan peminat-peminat BTS di seluruh dunia yang tidak berkesempatan bersama-sama di di King Fahd International Stadium.
Berdasarkan rancangan Mohammed Bin Salman, baginda mahu melakukan perubahan pada Arab Saudi termasuk dalam aspek sosial dan ekonomi seiring dengan Wawasan 2030 untuk memodenkan Arab Saudi.
Selama ini, Arab Saudi terlalu bergantung pada sumber minyak, namun dalam konteks persekitaran, kebergantungan sedemikian tidak boleh lagi diguna pakai.
Justeru, dalam usaha memenuhi kehendak perubahan ekonomi selain mengalu-alukan pelaburan dari luar, pemerintah Arab Saudi berusaha untuk membuktikan kepada dunia mengenai keterbukaan mereka dalam menerima usaha sama dagangan.
Kerajaan negara itu juga sedang merancangkan untuk membangunkan sebuah lokasi sebagai pusat hiburan memandangkan selama ini, ramai rakyat Arab Saudi berkunjung ke luar negara semata-mata untuk menonton filem dan konsert.
Enggan wang dibelanjakan di luar negara, kerajaan Arab Saudi kini membenarkan pawagam beroperasi di pusat beli-belah selain mengundang artis-artis popular dunia untuk mengadakan persembahan di negara itu.
(Astro Awani | Oktober 12, 2019 13:00 MYT)
1 comment:
KERAjaan Arab Saudi tidak layak menjadi penjaga Kaabah kerana menganjurkan pesta maksiat. Bahkan KERAjaan Arab Saudi adalah talibarut rejim pengganas Israel dan Amerika.
Post a Comment