Saturday, November 09, 2019

Sidang DUN PP: Isu Rumah Kos Tinggi Dibangkitkan.

Sidang Dun P. Pinang: Wakil PAS diasak 7 penjuru
SUDAH lama tidak pakai tali leher. Semalam, kembali bertali leher apabila hadir sebagai pemerhati di dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang.
Kami hadir menyaksikan wakil tunggal PAS-Penaga, YB Ustaz Mohd Yusni Mat Piah berucap membahaskan Bajet 2020 pada peringkat dasar. Beliau satu-satunya wakil tunggal PAS di dalam DUN Pulau Pinang.
Berdasarkan pemerhatian ketika sesi perbahasan berlangsung, ada lima perkara menarik yang perlu diperhatikan.
Pertama: Persediaan untuk berbahas. 
Wakil rakyat perlu persediaan secukupnya untuk berbahas. Selain persediaan dari aspek jasmani (penampilan diri), persediaan dari sudut pengucapan adalah sangat penting.
Bahan rujukan, teks ucapan, kemahiran mematahkan hujah, kemahiran bersoal jawab, dan pengetahuan tentang isu-isu semasa sangat perlu dikuasai.
Wakil rakyat juga perlu bijak memberi cadangan solusi terhadap isu-isu yang dibangkitkan, bukan hanya sekadar mencelah menggangu perbahasan orang lain macam wakil Jelutong di dalam Dewan Rakyat.
Kedua: Cabaran sebagai wakil tunggal PAS
Menjadi satu-satunya wakil tunggal PAS di dalam DUN Pulau Pinang memang sangat mencabar. Apa tidaknya, diasak kiri kanan depan belakang oleh wakil-wakil kerajaan yang memang sentiasa menunggu peluang.
Perbahasan ADUN Penaga semalam turut mendapat perhatian daripada YAB Ketua Menteri, YB Timb Ketua Menteri II, seorang anggota Exco, dan 4 orang ADUN Kerajaan yang lain. Tujuh orang semuanya. Dua ADUN Pembangkang yang lain (Umno) turut mengambil bahagian. Mereka bangun minta izin mencelah untuk turut berbahas mengenai isu-isu yang dibangkitkan oleh ADUN Penaga.
Bayangkan, 7 lawan 1! Memang penat kena asak. Kalau bertanya dengan cara baik, okeylah. Tapi ada yang bangun mencelah dengan cara provokasi. Tak ada hujah pun, sekadar nak alih isu. Huh! Kami yang duduk dekat kerusi pemerhati ni pula yang geram nak menyampuk. Nasib baik boleh kawal.
Kestabilan emosi dan ketahan mental sangat diperlukan untuk berhadapan dengan situasi begini.
KetigaHarakah jadi topik perbahasan!
Isu pemberitaan Harakah turut dibahaskan. Yang peliknya, ianya dibangkitkan oleh ADUN DAP. Seorang ADUN biasa, dan seorang lagi ialah YB Timb Ketua Menteri (TKM) II.
Menurut YB TKM II, dia dah lama tak baca Harakah. Dulu pernah baca. Sekarang tidak. Yang peliknya, dia boleh sebut bahawa sejak akhir-akhir ini Harakah melaporkan berita yang tak tepat. Faktanya tak betul. Aik? Tadi kata dah lama tak baca. Tapi macam mana boleh tahu pemberitaan itu kononnya tak tepat? Pelik!
Keempat: Tiga isu sensitif tidak dibenarkan bahas
Ada tiga isu yang Speaker tak benarkan dipanjangkan perbahasan. 
  • Pertama, isu bacaan doa Kristian di salah sebuah sekolah di Pulau Pinang. 
  • Kedua, isu tangkapan dalam kes LTTE. 
  • Ketiga, isu penyebaran komik kontroversi ke sekolah-sekolah.

Walaupun ianya ada dalam teks ucapan perbahasan ADUN Penaga, namun Speaker minta supaya ianya tidak dibahaskan kerana telah ada tindakan undang-undang diambil oleh pihak berkenaan.
Walau bagaimanapun, ADUN Penaga tetap memberi teguran dan peringatan supaya kes-kes seperti itu tidak lagi berulang di Pulau Pinang. Apatah lagi ianya bercanggah dengan semangat di dalam Perlembagaan Persekutuan.
Kelima: Isu Rumah Kos Tinggi VS Rumah Mampu Milik
Isu lambakan rumah kos tinggi turut menjadi perhatian ADUN Penaga. Isu ini turut mendapat perhatian ADUN-ADUN Kerajaan yang lain untuk turut sama berbahas.
Dalam ucapan seorang ADUN Kerajaan, beliau bertanya mengapa ADUN Penaga dilihat seolah-olah bercakap bagi pihak pemaju? Kenapa perlu susah payah nak fikir tentang rumah kos tinggi itu laku atau tidak, itu urusan pemaju. Biar mereka yang susah hati fikir tentang hal itu, katanya.
Walhal, mesej yang hendak disampaikan oleh ADUN Penaga ialah, mengapa tak seimbang antara bilangan rumah kos tinggi dengan rumah kos sederhana atau kos rendah? Sedangkan rakyat lebih memerlukan rumah kos rendah atau kos sederhana. Kenapa kebenaran diberikan sewenang-wenangnya untuk para pemaju membina rumah kos tinggi sedangkan rakyat tak mampu beli? Ini sebenarnya mesej yang hendak disampaikan.
Namun, oleh kerana manipulasi ADUN Kerajaan, dan mereka jumlah mereka ramai, kuat manapun hujah kita, suara mereka dilihat menguasai perbahasan dewan. Sehingga Speaker terpaksa minta supaya ADUN Penaga teruskan ucapan dan tak benarkan lagi pencelahan kerana telah melebihi masa yang diperuntukan.
Begitulah lima perkara menarik yang sempat dirakamkan di dalam memori ketika mengikuti sesi perbahasan sidang DUN Pulau Pinang kali ini.
Banyak maklumat dan ilmu yang dapat dipelajari, terutamanya ilmu berkaitan pemerintahan dan pentadbiran sesebuah kerajaan.
Tahniah kepada wakil tunggal PAS kerana berjaya beraksi dengan baik di dalam perbahasan sidang DUN kali ini. Masa berucap juga lama, 1 jam 10 minit! Tahniah juga kepada pasukan yang membantu menyediakan bahan ucapan. Saiful Lizan Yusoff dan Mohd Farhan Yusri, termasuk Mohd Ridzwan Ahmad sebagai jurufoto.
Kesimpulan
  • Pertama, kerajaan memerlukan Pembangkang sebagai ejen semak dan imbang. Suara Pembangkang perlu diambil kira dalam perjalanan sesebuah pemerintahan.
  • Kedua, Pembangkang tidak boleh hanya membangkang semata-mata. Pembangkang perlu kemukakan cadangan penyelesaian dan solusi yang sesuai sebagai parti bukan pemerintah.
  • Ketiga, PAS perlu tambah kerusi dalam PRU akan datang.
Sekian, mohon pakat buat kerja bagi menang!
AFNAN HAMIMI TAIB AZAMUDDEN
Yang jadi pemerhati – HARAKAHDAILY 7/11/2019

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails