Tuesday, November 05, 2019

Ustaz Azhar Idrus Patah Tangan, Hidung Jatuh Basikal.


Ustaz Azhar Idrus (UAI) patah tangan kiri dan hidung selepas terjatuh basikal ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Jalan Pusara di Kuala Terengganu petang hari.


PENCERAMAH bebas, Ustaz Azhar Idrus (UAI) patah tangan kiri dan hidung selepas terjatuh basikal ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Jalan Pusara di Kuala Terengganu petang hari ini.
Difahamkan, UAI menyertai kayuhan santai bersama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Terengganu Wan Sukairi Wan Abdullah di sekitar bandar raya itu sebelum terbabit dalam kemalangan itu.
Kejadian dipercayai berlaku pada 6.30 petang apabila basikal yang ditunggangnya tiba-tiba berhenti mengejut menyebabkan penceramah itu terpelanting.
Pembantu khasnya, Wan Safari Wan Ahmad berkata, UAI kemudiannya dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) bagi mendapatkan rawatan segera.“Kami bersyukur kerana ketika kejadian peserta yang mengikuti kayuhan santai itu masih berada di kawasan berhampiran dan segera menghulurkan bantuan.
“UAI masih dirawat di Unit Kecemasan dan sedang diperiksa pakar. UAI mungkin akan menjalani pembedahan segera malam ini.
“Bagaimanapun, ia terpulang kepada keputusan pakar dan doktor yang merawatnya," katanya ketika dihubungi malam ini.
Menurutnya, orang ramai terutama penggemar ceramah atau peminat UAI tidak perlu berasa bimbang atau membuat sebarang spekulasi.
“Tiada apa yang perlu dibimbangkan, jika sayangkan UAI, doakan keselamatan dan semuanya dipermudahkan buat UAI.
“Kita semua berharap tiada apa-apa yang tidak elok menimpa UAI," katanya.
Difahamkan, kayuhan santai itu bermula dari Masjid Khalifah di Jalan Pusara dan ke sekitar bandar raya itu sebelum kembali semula ke masjid berkenaan.
Berikutan itu juga, UAI yang dijadualkan menyampaikan kuliah di Surau Pak Tuyu, Mengabang Telipot malam ini terpaksa membatalkannya.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails