WARGA emas yang sudah beberapa kali melakukan siri kayuhan jarak jauh, kini sedang dalam perjalanan menuju ke Mekah, Arab Saudi menggunakan basikal sejak 36 hari lalu, bermula dari Gemas, Negeri Sembilan.
Dengan kibaran dua Jalur Gemilang, Sitdek Ahmad Ali, 62, kini berada di Kuala Terengganu, dan akan menempuhi perjalanan sejauh 15,700 kilometer bagi menunaikan ibadah haji pada musim haji akan datang.
Sitdek yang dihubungi berkata, dia akan melalui beberapa negara dan sudah mempersiapkan segala kelengkapan serta persediaan menghadapi cabaran yang bakal dihadapi sepanjang kayuhan solo itu.
“Dari segi persiapan fizikal, saya sudah melakukan banyak latihan sebelum ini dan yakin dapat berkayuh sehingga ke Mekah. Malah, saya juga menemui beberapa individu dan kumpulan yang sebelum ini mengadakan ekspedisi jarak jauh untuk mendapatkan nasihat serta mendengar pengalaman mereka.
“Dari segi persiapan fizikal, saya sudah melakukan banyak latihan sebelum ini dan yakin dapat berkayuh sehingga ke Mekah. Malah, saya juga menemui beberapa individu dan kumpulan yang sebelum ini mengadakan ekspedisi jarak jauh untuk mendapatkan nasihat serta mendengar pengalaman mereka.
“Daripada mereka, saya mendapat beberapa tips berguna selain penggunaan laluan yang sesuai serta selamat, malah mengelak daripada masuk ke kawasan bergolak di sepanjang perjalanan,” katanya.
Beliau berkata, laluan yang bakal dilalui adalah Bangkok, Thailand-Yangon, Myanmar sebelum menaiki feri ke Kalkuta dan mengayuh ke New Delhi, India-Islamabad, Pakistan-Kabul, Afghanistan-Tehran, Iran-Dubai, Emiriah Arab Bersatu-Mekah, Arab Saudi.
“Saya menjangkakan akan tiba di Mekah pada Julai tahun hadapan dan sempat untuk menunaikan ibadah haji di sana. Sudah tentu saya akan menyambut Aidilfitri di negara orang nanti.
“Bagi memastikan keselamatan dan kekal cergas sepanjang perjalanan, saya hanya akan mengayuh dari jam 8 pagi hingga jam 4 petang saja. Saya akan berehat dan tumpang tidur di mana-mana masjid, namun sekiranya pihak masjid di mana-mana negara tidak membenarkan orang awam bermalam, saya terpaksa mencari penginapan yang berpatutan.
“Saya jangkakan cabaran yang bakal dihadapi adalah musim sejuk di beberapa negara dan untuk itu, saya sudah melakukan persediaan seperti pakaian yang sesuai, khemah dan peralatan perubatan lain.
“Pengalaman sebagai anggota bomba sukarela dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) menjadi bekalan kepada saya untuk mengharungi perjalanan ini dari segi kesihatan, kecemasan dan ikhtiar hidup,” katanya.
Sitdek berkata, demi menaikkan semangat dan mendapatkan sokongan daripada rakyat Malaysia selain mahu mengharumkan nama negara, dia mengibarkan dua Jalur Gemilang pada basikalnya.
“Biar rakyat di negara yang saya lalui kenal negara kita dan kita boleh melakukan perkara luar biasa. Saya juga meminta supaya rakyat Malaysia mendoakan semoga saya selamat sampai selain memberi dorongan dan kata-kata semangat.
“Saya tidak pernah untuk mencari populariti. Rakyat Malaysia sendiri yang banyak memuat naik video serta gambar saya di media sosial dan saya sangat bersyukur kerana sepanjang perjalanan ke Terengganu, mereka banyak memberikan kata-kata semangat,” katanya.
Pada Ogos lalu, Sitdek nekad mencabar keupayaan diri melakukan ekspedisi berbasikal bagi mengumpul dana melaksanakan Misi Kayuhan ke Mekah.
Peneroka Felda Palong 4, Jempol itu memulakan kayuhan solonya sejauh lebih 2,000 kilometer mengelilingi Semenanjung Malaysia. (MyMetro)
Hibur Hibur Sikit
No comments:
Post a Comment