PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. - Foto Reuters
KUALA LUMPUR : Tun Dr Mahathir Mohamad berjanji akan menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada bakal penggantinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, biarpun bekas timbalannya itu berhadapan dakwaan serangan seksual baharu.
Bagaimanapun, Perdana Menteri berkata beliau tidak akan menyerahkan jawatan itu sebelum sidang kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) yang akan dianjur Malaysia November tahun depan tetapi mungkin akan bersedia selepas itu.
“Saya sudah berjanji untuk menyerahkannya dan saya akan tunaikan, saya fikir perubahan sejurus sebelum sidang kemuncak APEC akan mengganggu keadaan.
“Bagi saya, saya akan meletak jawatan dan saya menyerahkan kepadanya (Anwar). Jika orang tidak mahu dia, itu urusan mereka tetapi saya akan tunaikan bahagian janji saya...biarpun apa tuduhannya. Saya sudah berjanji, saya akan tunaikan,” katanya dalam temubual bersama Reuters.
Ditanya sama ada penyerahan kuasa itu mungkin berlaku pada Disember 2020, Dr Mahathir berkata: “Kita akan tentukan apabila tiba masanya.”
Minggu lalu, Anwar menafikan dakwaan oleh bekas pembantunya itu dan menyifatkannya sebagai fitnah tidak berasas.
Selain merancang untuk menjadi pemimpin dunia pertama yang menganjurkan Sidang Kemuncak APEC sebanyak dua kali, Dr Mahathir dilihat berusaha memperkukuhkan legasinya sebagai pemimpin dalam kalangan negara Islam.
Sidang Kemuncak Kuala Lumpur di ibu negara minggu depan juga bakal mencuri tumpuan dengan kehadiran ramai pemimpin negara Islam antaranya Iran, Pakistan dan Turki.
Menjelaskan perkara itu, Dr Mahathir berkata, sidang kemuncak itu akan membincangkan situasi di mana umat Islam ditekan.
Ia termasuk tuduhan pencabulan etnik Uighur di wilayah Xinjiang, China yang mana Dr Mahathir menjelaskan tindakan yang boleh diambil oleh negara Islam amat terhad.
“Mengambil pendirian adalah satu perkara, melaksanakan sesuatu pula adalah sesuatu lain. Mengambil pendekatan yang mungkin mencetuskan lebih banyak tekanan tidak akan memberi sebarang manfaat kepada kami.
“Negara Islam tidak boleh mencabar sesiapa. Kami amat lemah. Sesiapa pun boleh memanipulasi kami, malah mereka boleh membuatkan kami bergaduh sesama sendiri. Itulah keadaan kami,” katanya.
Dr Mahathir sebelum ini dilaporkan berkata China terlalu berkuasa untuk dipertanggungjawabkan dengan pelbagai dakwaan berhubung apa yang berlaku di Xinjiang yang semuanya dinafikan republik itu.
Beliau turut membidas Myanmar berhubung layanan negara itu terhadap etnik minoriti Rohingya selepas lebih 700,000 orang terpaksa mencari perlindungan di Bangladesh susulan tindakan ketenteraan pada 2017.
Dr Mahathir berharap pencabulan terhadap etnik itu dapat diperakui dan diterima ketika pemimpin Myanmar, Aung San Suu Kyi, akan mempertahankan negaranya daripada dakwaan terbabit di Mahkamah Antarabangsa di The Hague minggu ini.
“Kami berharap mereka dapat memberi penjelasan dan menerima hakikat bahawa pembunuhan beramai-ramai benar berlaku. Kami berharap mereka memberi maklum balas terhadap pendapat antarabangsa,” katanya. - Reuters
Lihat sebelum ini..
E Buku IH-121: Kemelut Dalam Senyum, Anwar/Mahathir
E Buku IH-121: Kemelut Dalam Senyum, Anwar/Mahathir
1 comment:
Banyak cabang lidah madey ni. Dulu kata pengganti mesti bersih.
Post a Comment