Tuesday, December 10, 2019

Islam: Tahniah Umno Pinda Perlembagaan..

Hasil carian imej untuk umno

PADANG SERAI: Dewan Muslimat PAS Kedah mengucapkan tahniah kepada semua perwakilan Persidangan Agung Umno baru-baru ini yang secara jelas menyokong dan bersetuju dengan pindaan mengangkat dan mendaulatkan Islam sebagai teras perlembagaan parti itu.
Ketuanya, Dato’ Ustazah Siti Ashah Ghazali berkata, tindakan sedemikian melambangkan kejayaan Muafakat Nasional yang dimeterai September lalu serta kesungguhan pemimpin dan ahli parti tersebut melakukan perubahan ke arah lebih tepat dan mantap.
“Rakyat Malaysia juga harus sedar, hanya Islam yang dapat menyelesaikan semua permasalahan lantaran kegagalan ideologi yang menjadi amalan pentadbiran para pemimpin seluruh dunia menyelesaikan masalah negara masing-masing.
“Malaysia juga tidak ketinggalan dihujani pelbagai masalah sama ada berkaitan integriti para pemimpin, kepincangan sosial kehidupan rakyat, kebejatan keruntuhan akhlak dan yang lebih besar lagi iaitu penghinaan terhadap agama Islam secara terang-terangan,” jelas beliau kepada Harakahdaily.
Justeru itu, katanya, keputusan yang diambil oleh Umno amat wajar demi mendukung cita-cita Islam dalam mempertahankan kemerdekaan dan kedaulatan negara.
Menurut beliau lagi, Dewan Muslimat PAS Negeri Kedah mengharapkan agar dengan pindaaan perlembagaan itu akan membawa perubahan besar selain dapat membuka ruang PAS dan Umno bagi memastikan pelaksanaan menjaga kedaulatan Islam sebagai agama rasmi persekutuan tercapai. – HARAKAHDAILY 9/12/2019

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails