Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bercakap kepada wartawan selepas melawat pusat media pada Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC). - NSTP/Asyraf Hamzah
KUALA LUMPUR: Kerajaan mengingatkan bahawa penganjuran satu kongres oleh Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) bagi membantah pengenalan pembelajaran jawi di sekolah vernakular boleh mencetuskan kekacauan.
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, bimbang tindakan Dong Zong itu akan menyebabkan pihak tertentu bertindak balas.
“Jika mereka mahu buat sesuatu yang sangat Cina, tindak balas orang Melayu akan sangat Melayu, (termasuk) meminta sekolah-sekolah Cina ini ditutup.
“Kamu melakukan perkara seumpama itu dan kamu akan mendapat reaksinya,” katanya ditemui media selepas mengadakan lawatan ke Pusat Media sempena Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 di sini, hari ini.
Dr Mahathir berkata, terserah kepada Dong Zong jika mereka mahu keadaan seumpama itu terjadi kepada negara.
“Jika kamu mahu Malaysia menjadi seperti itu, teruskan. (Jika keadaan itu berterusan) semua orang akan menjadi miskin dan kita akan melihat ramai rakyat berhijrah ke negara lain,” katanya.
Katanya, biarpun undang-undang memberi hak mana-mana pihak bersuara, ia mesti diteliti kesesuaiannya, malah kesan dan akibatnya jika tindakan itu diteruskan.
“Ini adalah negara bebas, kami membenarkan kebebasan bersuara, tetapi kita juga perlu peka terhadap kaum lain yang tinggal di negara ini,” katanya ketika ditanya penganjuran kongres itu kelak, yang dijangka dihadiri banyak pertubuhan Cina.
Semalam, Dong Jiao Zong dilaporkan menggesa pertubuhan Cina lain mendaftar untuk menghadiri kongres berkenaan, bagi menyuarakan bantahan terhadap pengenalan pelajaran jawi di sekolah vernakular.
Kongres itu dijadual berlangsung di Kolej New Era di Kajang pada 28 Disember ini, dengan matlamat kononnya untuk menjaga kedaulatan pihak lembaga sekolah vernakular.
Isu pembelajaran jawi sebelum ini mencetuskan perbalahan pelbagai pihak sehingga mengheret ke kancah perkauman. (BH)
No comments:
Post a Comment