PADA tanggal 12 Ogos 2010, tercatat sebuah peristiwa bersejarah dalam peradaban ummah apabila Dinar Emas yang telah ‘terkubur’ sejak kejatuhan Khilafah Uthmaniyah di Turki pada tahun 1924, telah berjaya ‘dihidupkan’ semula di zaman moden ini.
Dengan penuh halangan dan kekurangan, Al-Marhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz telah meletakkan batu asas yang sangat penting ke arah mengembalikan pelaksanaan sistem matawang Dinar dalam urusan pentadbiran, perdagangan dan perniagaan secara praktikal di Negeri Kelantan.
Pelancaran Dinar dan Dirham Kelantan pada tahun 2010 turut membuktikan iltizam Al-Marhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz untuk mewujudkan suatu sistem ekonomi yang berlandaskan syariat sepenuhnya, setelah berjaya menghapuskan elemen riba’ (interest) dalam urusan kewangan Kerajaan Negeri Kelantan.
Hari ini timbul semula perbincangan untuk mewujudkan sistem matawang tersendiri dalam kalangan negara Islam, antaranya melalui penyatuan matawang (monetary union), penggunaan Dinar emas, matawang digital ataupun sistem tukaran barter.
Pada Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengulangi saranannya agar Dinar emas dan sistem barter digunakan dalam perdagangan sesama negara Islam, bagi mengukuhkan kadar matawang serta meningkatkan kekuatan ekonomi dalam kalangan negara Islam, tanpa perlu bergantung kepada sistem matawang Barat.
Secara umumnya, Dinar dan Dirham adalah sistem matawang berasaskan emas dan perak yang lebih stabil dengan piawai tersendiri, serta tidak terdedah kepada manipulasi dan inflasi yang melampau.
Manakala sistem barter pula adalah kaedah pertukaran barangan atau komoditi yang dibuat secara persetujuan langsung, dan boleh digunakan dalam urusan perdagangan minyak mentah yang dikeluarkan oleh kebanyakan negara Islam, tanpa perlu menggunakan sandaran Dolar.
Inisiatif untuk mengembalikan kegemilangan ekonomi Islam di zaman moden ini pastinya menuntut kepada kesungguhan yang tinggi dan kajian yang mendalam, namun semuanya bermula dengan satu langkah yang berani.
Inilah legasi besar Al-Marhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang telah mengambil langkah pertama, bak kata ungkapan yang masyhur, “A journey of a thousand miles begins with a single step”.
SYAHIR SULAIMAN, 23 Disember 2019 – HARAKAHDAILY 23/12/2019
2 comments:
Sat lagi team penjilat jubur guan eng akan bersuara buruk burukkan ulamak dan kelantan. Memang kurang ajar mereka.
He he he
Post a Comment