Saturday, December 21, 2019

Nikmati 'Mi celup' Walaupun Kaki Berendam Banjir, Rantau Panjang.



PELANGGAN di sebuah kedai makan masih menikmati hidangan mi celup biarpun dalam keadaan berendam kaki di dalam banjir dengan air separas 0.4 meter melimpahi kedai makan terbabit.
Tinjauan mendapati beberapa kedai makan masih dibuka dan beroperasi walaupun dilimpahi air berikutan pekan Rantau Panjang masih boleh dilalui kenderaan berat selain dipenuhi pengunjung yang bersantai dengan berjalan kaki meredah banjir.
Peniaga, Raubi Asyikin Ramli, 32, berkata, dia mengambil peluang membuka kedai mi celup memandangkan masih ramai orang datang ke pekan bermain air selain berasakan keadaan selamat untuk berniaga.

Katanya, kebanyakan pengunjung singgah ke kedainya untuk makan dan minum selepas penat meredah air dan tidak kisah terpaksa berendam kaki dalam banjir.
“Saya pula akan berniaga selagi masih ada stok bahan untuk memasak yang memang dibeli dari awal. Tiada masalah untuk saya menyediakan makanan biarpun dalam air kerana tempat memasak yang tinggi.
“Sebenarnya keadaan ini lebih menyeronokkan, malah pengunjung memang mahu menikmati suasana makan dalam persekitaran banjir. Bahkan mereka tidak melepas peluang mengambil gambar atau merakam video sebagai kenangan.
“Bagaimanapun, saya tetap mementingkan aspek kebersihan. Lagipun air yang memasuki kedai saya ini adalah arus yang deras tetapi cetek bukannya
air bertakung seperti di sesetengah kawasan,” katanya ketika ditemui di pekan Rantau Panjang di sini, kelmarin.
Raubi memaklumkan kedainya terus dibuka jika paras air masih sama dan akan menutup kedai sekiranya paras air meningkat sehingga membahayakan keselamatan.
Sementara itu, pengunjung, Aqila Syahira Baharudin, 21, mengakui teruja kerana dapat merasai pengalaman makan dalam air yang tidak pernah dirasai sebelum ini.
“Saya berasal dari Pasir Mas yang mana kawasan rumah tidak terjejas banjir. Pada awalnya saya hanya datang untuk bermain banjir namun tidak menyangka ada kedai makan yang dibuka dan yang menariknya apabila meja dan kerusi semuanya di dalam air.
“Lagipun umum mengetahui makanan di pekan ini terutama mi celup memang popular di sini. Jadi saya ambil peluang untuk makan selain dapat berkongsi memori ini di laman sosial seperti Facebook dan Instagram.
“Ini adalah satu keunikan ketika banjir di sini dan saya rasa ia satu idea yang baik selagi keadaan masih selamat serta kebersihan dijaga dengan baik,” katanya. (MyMetro)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails