Paksa melacur selesai hutang
DULU mereka adalah pekerja dan memasuki negara ini melalui saluran sah namun selepas beberapa tahun, mereka pula menjadi ‘pedagang’ dengan ‘mengimport’ bangsa sendiri secara haram dengan dilindungi sindiket tempatan.
Nama seperti Rasel, Mutalab, Nil Chan dan Maasom sudah biasa didengar dan paling popular dalam kalagan warga Bangladesh terutama di lokasi Jalan Silang, Kota Raya dan Lebuh Pasar yang menjadi tumpuan kegiatan warga Bangladesh di negara ini.
Tiga lokasi ini menjadi hab pelbagai kegiatan termasuk pemalsuan dokumen permit kerja dan pusat pelacuran serta pernah diserbu pihak berkuasa tetapi ia akan terus beroperasi 48 jam kemudian.
Isu warga Bangladesh ini bukan baharu dan ia sudah bermula pada tahun 2000 serta berlarutan hingga kini seolah-olah tiada kesudahan.
Malah warga Bangladesh ini kini pula semakin menguasai ekonomi tempatan dengan menjalankan perniagaan kecil-kecilan hingga ada yang menjadi kontraktor serta mendapat kontrak besar daripada kontraktor tempatan yang mengalibabakan kontrak yang diberikan kerajaan.
Sumber Harian Metro berkata, kegiatan sindiket pemerdagangan orang dalam kalangan warga Bangladesh di Jalan Silang, Kota Raya dan Lebuh Pasar masih berlaku.
“Bukit Aman pernah menyerbu lima atau enam premis di kawasan berkenaan dalam dua serbuan pertengahan 2019 namun mereka kembali melakukan kegiatan itu kurang 48 jam selepas diserbu. Premis yang disita juga digunakan mereka sehingga menimbulkan kehairanan bagaimana situasi itu boleh berlaku,” katanya.
Menurutnya, mereka yang menjadi dalang atau tauke pemerdagangan manusia ini dikuasai warga Bangladesh sepenuhnya.
“Ada dalam kalangan tauke ini menyewa premis untuk dijadikan pusat pelacuran dengan menjadikan lelaki warga Bangladesh yang bekerja di sekitar ibu kota sebagai pelanggan.
“Sindiket ini menggunakan modus operandi kerja bergaji lumayan sebagai umpan untuk menjerat wanita warga Bangladesh di negara mereka untuk datang ke negara ini.
“Jika tiada wang, sindiket sanggup menanggung dengan syarat apabila sudah bekerja, perlu membayar semula hutang itu.
“Namun sebaik tiba di Malaysia melalui saluran sah yang diuruskan ejen di negara asal, mereka dipaksa melacur bagi menyelesaikan hutang. Mahu atau tidak, mangsa dipaksa melacurkan diri kepada rakan senegara,” katanya.
Katanya, sindiket juga akan menjaga mangsa termasuk tempat tinggal dan menguruskan penghantaran daripada rumah ke pusat pelacuran. (MyMetro)
No comments:
Post a Comment