PH perang Penjawat Awam lemahkan urus tadbir negara
TAHUN 2020 yang pernah digagaskan untuk Malaysia menjadi negara maju, kini bukan sahaja telah jadi ‘angan-angan’, tetapi menjelang kehadirannya, timbul di dalam pertiwi ini pelbagai kerosakan dan kepincangan.
Antara paling buruk, bertambah parah dan meletakkan pengurusan negara seolah-olah di era darurat yang adanya ancaman Komunis; apabila Kerajaan PH berperang secara terbuka terhadap nadi pentadbiran negara yakni para Penjawat Awam.
Ketika kerajaan seharusnya memacu gemblengan dukungan dan kepakaran serta kesetiaan para Penjawat Awam dalam mencurah komitmen dan bakat tinggi mereka, serta meletakkan pengiktirafan dan pujian, sebaliknya pula terjadi. Terbaru, adalah tuduhan ‘Deep State’ atau ‘Daulah Terpendam’ kononnya; yang sebenarnya menghukum para Penjawat Awam di satu kedudukan seperti telah menyusun secara terancang untuk melakukan ‘pemberontakan’.
Ia dakwaan maha berat, di mana terkini apabila Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas yang dilantik di era PH juga mengambil sikap agak melulu apabila mahu mengambil tindakan terhadap para pegawai di Jabatan Peguam Negara dalam kes mahkamah Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli. Bahkan para Penjawat Awam sebelumnya baru sahaja ‘terluka’ oleh tindakan menukar Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dalam isu tender terbuka RM1.4 bilion.
Anehnya tindakan kejam tersebut terjadi di sebalik semua kontroversi yang berkaitan dinafikan oleh Menteri seolah-olah tiada kesalahan berlaku. Sedangkan ia seharusnya terbeban bukan sahaja sebagai kegagalan dan kecuaian Menteri, bahkan juga petunjuk Kabinet PH dibarisi oleh Menteri dan Timbalan Menteri yang tidak kompeten. Paling dicurigai ia cubaan menutup salah urus tadbir atau penyelewengan oleh pihak tertentu lalu Penjawat Awam dikambinghitamkan.
Kami percaya, andai adanya peruntukan kuasa hukum lebih besar, nescaya ramai Penjawat Awam yang telah dipecat oleh Kerajaan PH. Angkuh sombong Menteri dan Timbalan Menteri Kerajaan PH bukan baharu, sejak awal pentadbiran lagi mereka sudah menidakkan para Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD). Diikuti usaha-usaha untuk mengecilkan perkhidmatan awam, tidak termasuk sikap ‘gila kuasa’ ditunjukkan lantikan politik PH terhadap Penjawat Awam.
Rakyat juga pasti tidak lupa apabila pihak Polis DiRaja Malaysia diperlekehkan pimpinan Kerajaan PH dalam kes rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, Seafield tahun lalu yang tragedi itu mengorbankan seorang Penjawat Awam. Begitu juga ketika pimpinan Kerajaan PH meraih kekayaan yang ‘disucikan’ dengan pengisytiharan harta, reputasi para Penjawat Awam dipalitkan dengan dakwaan tidak minat menyanyi lagu dan menentang rasuah.
Lalu tangkapan borong terhadap anggota dan pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dijadikan babak pengukuh cerita di mata rakyat dan ugutan buat Penjawat Awam? Malah berterusan lagi setelah itu apabila berlegar rancak di media sosial menuduh Penjawat Awam tidak setia, sabotaj dan propaganda ‘birokrat jahat membentuk kartel seperti mafia’. Sungguh, semua ini menjurangkan kedua pihak.
Hakikatnya ia antara cara para pemimpin PH menutup ketidakcekapan dan kegagalan janji-janji manifesto mereka, termasuk segala isu agama, ekonomi, sosial dan lainnya yang umpama bangkai gajah pada hari ini. Namun kami percaya, rakyat umumnya tidak mudah lagi menelan momokan dan segala perbuatan PH yang mengheret masyarakat kepada polemik, fitnah dan perseteruan hingga menjejaskan keharmonian dan pencapaian negara.
“Islam Memimpin Perpaduan”
“Demi Islam”
IR HAJI KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 11/12/2019
Kamu bela perasuah2 knp?
ReplyDeleteSiapa ye yang terima rasuah?
ReplyDeleteSembang kencang. Satu janji pun belum langsai.
ReplyDeleteSembang bukan main lagi tinggi lambong. Konon harga minyak turun. Hari ini menang, esuk harga minyak turun. Tak sempat nak turun harga kerana sebuk semburit.
ReplyDelete