Ketegasan berjenama Islam
SELEPAS hilangnya pengaruh Islam dalam arena politik antarabangsa apabila tiada negara yang mendaulatkan Islam setelah dijajah tanah airnya dan tiada negara Islam berkuasa besar memayunginya, menyebabkan Islam dikepung di segenap penjuru, termasuk oleh umat Islam sendiri yang jahil dan terjajah pemikirannya, sehingga ada yang menghilangkan jenama Islam, khususnya di negara komunis atau negara sekular keras sehingga disusahkan beribadat seperti Turki dan Tunisia.
SELEPAS hilangnya pengaruh Islam dalam arena politik antarabangsa apabila tiada negara yang mendaulatkan Islam setelah dijajah tanah airnya dan tiada negara Islam berkuasa besar memayunginya, menyebabkan Islam dikepung di segenap penjuru, termasuk oleh umat Islam sendiri yang jahil dan terjajah pemikirannya, sehingga ada yang menghilangkan jenama Islam, khususnya di negara komunis atau negara sekular keras sehingga disusahkan beribadat seperti Turki dan Tunisia.
Namun, ada yang sangat sebati dengan ajaran Islam tidak menyerah kalah, sehingga tiada membezakan bangsa bersama Islam, seperti di Tanah Melayu yang menetapkan perkataan Melayu itu Islam dan Islam itu Melayu, serta perkataan agama itu Islam, bukan Islam itu bukan agama. Begitu juga di Yaman, Sudan, Algeria dan Afghanistan yang fanatik mazhab sehingga mazhabnya sahaja Islam.
Terdapat juga kalangan yang sangat terpengaruh dengan Barat dan teorinya dalam pendidikan, tetapi masih tetap beragama Islam, sehingga menganut ideologi komunis yang asasnya tidak percayakan Tuhan dan semua agama, tetapi masih bersembahyang, berpuasa dan menunaikan haji, kerana fahamannya bahawa Islam tiada kaitan dengan urusan dunia, seperti politik, ekonomi dan lain-lain.
Bahkan ada yang memberi jenama Islam kepada ideologi Barat seperti Islam Liberal, Sosialime Islam, Nasionalisme Islam, Komunisme Islam dan seumpamanya, laksana Islam anak yatim yang dijadikan anak angkat kepada sesiapa yang kuat dan berpengaruh, sehinggalah Islam yang cantik dirobek oleh kera yang mengoyakkan bunga kerana tidak mengenali kecantikan bunga itu.
Keadaan tersebut mempengaruhi kebangkitan semula Islam sehingga ditubuhkan parti Islam yang melangsungkan semula perjuangan Islam di tanah air masing-masing.
Ada yang terpaksa menghadapi undang-undang negara yang mengharamkan perkataan Islam kepada parti politik pada zaman diwujudkan Islamofobia yang menakutkan sehingga kini, seperti di Tunisia dan Turki. Maka dicarilah perkataan yang munasabah dengan mana-mana konsep yang ada dalam ajaran Islam, seperti perkataan kebajikan, keadilan dan lain-lain kerana keadaan yang memaksakan dengan izin Allah:
﴿مَن كَفَرَ بِٱللَّهِ مِنۢ بَعۡدِ إِيمَٰنِهِۦٓ إِلَّا مَنۡ أُكۡرِهَ وَقَلۡبُهُۥ مُطۡمَئِنُّۢ بِٱلۡإِيمَٰنِ وَلَٰكِن مَّن شَرَحَ بِٱلۡكُفۡرِ صَدۡرٗا فَعَلَيۡهِمۡ غَضَبٞ مِّنَ ٱللَّهِ وَلَهُمۡ عَذَابٌ عَظِيمٞ١٠٦﴾
“Barangsiapa yang kafir kepada Allah sesudah dia beriman (dia mendapat kemurkaan Allah), kecuali orang yang dipaksa kafir padahal hatinya tetap tenang dalam beriman (dia tidak berdosa), akan tetapi orang yang melapangkan dadanya untuk kekafiran, maka kemurkaan Allah menimpanya dan baginya azab yang besar”. (Surah An-Nahl: 106)
Berpandukan firman Allah ini, para ulama’ membahagikan dua pendekatan, iaitu;
- Pertama, ‘azimah adalah pendekatan tegas menyatakan Islam secara terbuka dan bersedia menghadapi segala kemungkinan sehingga mengorbankan nyawa ke titisan darah terakhir.
- Kedua, rukhsah adalah kemudahan yang diizinkan tanpa rela hati.
‘Azimah adalah lebih afdhal dan wajib kepada para Rasul dan ulama’ yang mewarisi ajarannya, supaya Islam tidak disembunyikan sehingga lenyap dan padam cahayanya.
Adapun asas penting kepada perjuangan Islam adalah menyatakan Islam secara terbuka. Inilah pendekatan yang diwajibkan kepada para Rasul A.S. termasuk Rasulullah S.A.W. dan kumpulan Islam selepas kewafatannya, bagi membezakan Islam dengan yang lain, secara nyata dan terbuka.
Fiirman Allah:
﴿وَمَنۡ أَحۡسَنُ قَوۡلٗا مِّمَّن دَعَآ إِلَى ٱللَّهِ وَعَمِلَ صَٰلِحٗا وَقَالَ إِنَّنِي مِنَ ٱلۡمُسۡلِمِينَ٣٣﴾
“Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah (Islam) dan dia sendiri mengerjakan amal yang soleh, dan berkata: “Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang menyerah diri kepada Allah (menganut dan menegakkan Islam)”. (Surah Fussilat: 33)
Ayat ini menerangkan tentang pujian Allah kepada mereka yang berdakwah kepada Islam dan menegakkannya, memulakan diri sendiri beramal dengan ajaran Islam dalam perkara yang boleh dilaksanakan, berusaha meneruskan cita-citanya dalam perkara yang belum ada kemampuan dan menghadapi halangan, serta ketegasan mengisytiharkan dirinya adalah Islam.
Maka pendekatan kumpulan yang mengambil langkah tidak menyebut Islam adalah pendekatan orang-orang yang sangat lemah dan hanya diizinkan kepada mereka yang lemah iman serta tidak layak menjadi peserta barisan hadapan perjuangan Islam yang menjadi fardu kifayah, iaitu sebahagian kumpulan daripada umat Islam yang dipilih Allah sepertimana dinyatakan dalam firman-Nya:
﴿وَلۡتَكُن مِّنكُمۡ أُمَّةٞ يَدۡعُونَ إِلَى ٱلۡخَيۡرِ وَيَأۡمُرُونَ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَيَنۡهَوۡنَ عَنِ ٱلۡمُنكَرِۚ وَأُوْلَٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡمُفۡلِحُونَ١٠٤﴾
“Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah daripada yang mungkar; merekalah orang-orang yang berjaya”. (Surah Aali ‘Imraan: 104)
Penegasan tersebut ditunjukkan oleh Rasulullah S.A.W. apabila bapa saudaranya, Abu Thalib memberitahu cadangan para pemimpin musyrikin Makkah:
يا عم، والله لو وضعوا الشمس في يميني، والقمر في يساري على أن أترك هذا الأمر حتى يظهره الله، أو أهلك فيه، ما تركته. (سيرة ابن هشام)
“Wahai bapa saudara kesayanganku! Demi Allah! Sekiranya diletakkan matahari di kananku dan bulan di kiriku supaya aku meninggalkan urusan (menegakkan Islam) Islam ini sehinggalah Allah memenangkannya atau aku mati kerananya, nescaya aku tidak akan meninggalkannya”.
Dalam kisah yang terkenal di dalam Al-Quran juga, Allah memuliakan para pemuda yang menyelamatkan imannya, lalu ditidurkan di dalam gua:
﴿نَّحۡنُ نَقُصُّ عَلَيۡكَ نَبَأَهُم بِٱلۡحَقِّۚ إِنَّهُمۡ فِتۡيَةٌ ءَامَنُواْ بِرَبِّهِمۡ وَزِدۡنَٰهُمۡ هُدٗى١٣ وَرَبَطۡنَا عَلَىٰ قُلُوبِهِمۡ إِذۡ قَامُواْ فَقَالُواْ رَبُّنَا رَبُّ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِ لَن نَّدۡعُوَاْ مِن دُونِهِۦٓ إِلَٰهٗاۖ لَّقَدۡ قُلۡنَآ إِذٗا شَطَطًا١٤﴾
“Kami kisahkan kepadamu (Muhammad) cerita ini dengan benar. Sesungguhnya mereka adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan Kami menambahkan untuk mereka petunjuk. (13); Dan Kami teguhkan hati mereka pada waktu mereka berdiri, lalu mereka pun berkata, “Tuhan kami adalah Tuhan seluruh langit dan bumi; kami sekali-kali tidak menyeru Tuhan selain Dia, sesungguhnya kami kalau demikian telah mengucapkan perkataan yang amat jauh dari kebenaran”. (14) (Surah Al-Kahfi: 13-14)
Allah memerintahkan Rasulullah S.A.W. dan pengikutnya supaya menegaskan kepada ahli Kitab:
﴿قُلۡ يَٰٓأَهۡلَ ٱلۡكِتَٰبِ تَعَالَوۡاْ إِلَىٰ كَلِمَةٖ سَوَآءِۢ بَيۡنَنَا وَبَيۡنَكُمۡ أَلَّا نَعۡبُدَ إِلَّا ٱللَّهَ وَلَا نُشۡرِكَ بِهِۦ شَيۡٔٗا وَلَا يَتَّخِذَ بَعۡضُنَا بَعۡضًا أَرۡبَابٗا مِّن دُونِ ٱللَّهِۚ فَإِن تَوَلَّوۡاْ فَقُولُواْ ٱشۡهَدُواْ بِأَنَّا مُسۡلِمُونَ٦٤﴾
“Katakanlah: “Hai ahli Kitab! Marilah (berpegang) kepada suatu kalimat (ketetapan) yang tiada perselisihan antara kami dan kamu, bahawa tidak kita menyembah kecuali Allah dan tidak persekutukan Dia dengan sesuatu pun dan tidak (pula) sebahagian daripada kita menjadikan sebahagian yang lain sebagai Tuhan selain Allah”. Jika mereka berpaling, maka katakanlah kepada mereka: “Saksikanlah, bahwa kami adalah orang-orang Islam (berserah diri kepada Allah)”. (Surah Aali ‘Imraan: 64)
Perkataan yang menegaskan prinsip Tauhid Rububiyyah dan Tauhid Uluhiyyah, berbeza dengan teori teokrasi dan ‘Kingdom of God’ apabila para paderi dan pendeta boleh meminda hukum Allah atau mencipta hukum yang berlainan daripada kitab suci, seperti menghalalkan arak dan daging khinzir yang diharamkan oleh kitab suci yang asal bagi mereka.
Apa yang menjadi masalah adalah wujudnya kumpulan yang bebal berkenaan politik Islam, Fiqh Dakwah dan Fiqh Jihad. Ada yang melampau keras merosakkan imej Islam yang indah di atas nama berjihad, sehingga melampau membunuh sesiapa sahaja dan meletupkan apa sahaja termasuk gereja, masjid dan pasar yang diharamkan oleh Islam.
Ada pula yang lembut dan hanyut menghancurkan syariat Islam dengan slogan Rahmatan Lil ‘Aalamin, sehingga mengasihi penjenayah lebih daripada mangsa dan mempertahankan hak binatang lebih daripada hak asasi manusia.
Allah berfirman:
﴿فَٱسۡتَقِمۡ كَمَآ أُمِرۡتَ وَمَن تَابَ مَعَكَ وَلَا تَطۡغَوۡاْۚ إِنَّهُۥ بِمَا تَعۡمَلُونَ بَصِيرٞ١١٢ وَلَا تَرۡكَنُوٓاْ إِلَى ٱلَّذِينَ ظَلَمُواْ فَتَمَسَّكُمُ ٱلنَّارُ وَمَا لَكُم مِّن دُونِ ٱللَّهِ مِنۡ أَوۡلِيَآءَ ثُمَّ لَا تُنصَرُونَ١١٣﴾
“Maka tetaplah kamu pada jalan yang benar (beristiqamah), sebagaimana diperintahkan kepadamu dan (juga) orang yang telah bertaubat termasuk kamu, dan janganlah kamu melampaui batas. Sesungguhnya Dia Maha Melihat apa yang kamu kerjakan. (112); Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang zalim yang menyebabkan kamu disentuh api neraka, dan sekali-kali kamu tiada mempunyai seorang penolong pun selain daripada Allah, kemudian kamu tidak akan diberi pertolongan”. (Surah Hud: 112-113)
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 15 Rabi’ul Akhir 1441 / 12 Disember 2019 – HARAKAHDAILY 12/12/2019
Presiden PAS
Bertarikh: 15 Rabi’ul Akhir 1441 / 12 Disember 2019 – HARAKAHDAILY 12/12/2019
Komen Weblog Ibnu Hasyim: Wahai pemimpin umat Islam yang 'otaknya dijajah' di seluruh dunia, di depan kita hanya ada dua pendekatan dalam menghadapi penjajah musuh-musuh Allah..
- Pertama, ‘azimah adalah pendekatan tegas menyatakan Islam secara terbuka dan bersedia menghadapi segala kemungkinan sehingga mengorbankan nyawa ke titisan darah terakhir.
- Kedua, rukhsah adalah kemudahan yang diizinkan tanpa rela hati.
No comments:
Post a Comment