RAMAI mengenali sejenis haiwan dikenali sesumpah. Haiwan itu boleh ditemui di Asia, Afrika, Eropah dan Amerika Utara. Biasanya haiwan terbabit hidup di kawasan padang pasir dan hutan.
Uniknya sesumpah kerana boleh bertukar warna. Apabila kulitnya berwarna cerah, ia digambarkan berada dalam situasi tenang. Tetapi apabila warna semakin gelap reptilia itu seperti tertekan.
Mungkinkah keunikan itu juga ada pada makhluk lain. Paling mudah ramai mengaitnya dengan pemimpin politik. Ramai orang menggelarkan pemimpin politik yang sering bertukar pendirian seperti sesumpah.
Video di bawah ini membuktikan wujudnya Keagungan Allah SWT.
Tapi jangan ikut perangai huduh politik manusia, yang menipu rakyat ber'tukar-tukar warna' janji dan pembohongan..
Mungkin tidak salah untuk disinonimkan begitu. Isu sesumpah tiba-tiba muncul ketika Menteri Kewangan mendakwa sudah membayar royalti petroleum kepada Kelantan.
Seperti dilapor media kata Guan Eng - "Saya telah tandatangani pembayaran atas arahan Perdana Menteri, dan saya telah semak dengan pejabat saya dan mereka kata pembayaran telah dibuat.
"Jadi saya harap jangan beri kenyataan yang tidak benar dan tidak ikut fakta,” katanya di lobi Dewan Rakyat baru-baru ini.
Sebaliknya Menteri Besar Kelantan pula menafikannya. Apa yang diterima kerajaan negeri bukan royalti sebaliknya wang ihsan.
Kata Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob, royalti belum dibayar.
Isu itu bukan enteng. Dewan Undangan Negeri Kelantan juga meluluskan usul tergempar merakam ucapan dukacita terhadap kenyataan Menteri Kewangan.
Kata Adun Tawang Dato’ Hassan Mohamood pemimpin DAP terbabit cuba mengelirukan rakyat. Hujah itu disokong Adun BN Dato’ Md Alwi Che Ahmad.
Selepas banyak pihak melenting, tiba-tiba kata Guan Eng, usah dipertikai masalah istilah. Nah.. Apakah ini versi Malaysia Baharu.
Menteri mencari seribu helah untuk melepaskan diri. Wajarkah watak seperti juga itu digelar sesumpah.
Semua orang tahu Lim Guan Eng juga lama berada di posisi pembangkang. Bukan sehari dua. Tentunya kalau diintai kenyataan-kenyataan lama berlambak memperlihatkan unsur sesumpah.
Isu terbabit tidak berakhir di situ sahaja. Lagi mendebarkan apabila ada pemimpin yang pernah bermatian memperjuangkan tuntutan royalti tiba-tiba tampil membela Menteri Kewangan.
Pemimpin terbabit cukup sinonim dengan sebuah NGO dikenali Royalti (R). Malah ramai bekas aktivis R juga sekarang berlegar dalam Parti Amanah Negara (PAN).
Sebelum ini mereka menjuarai Jawatankuasa Khas Tuntutan Royalti Petroleum. Bukan calang-calang orang.
Malah layak untuk dinobatkan sebagai super hero dalam perjuangan menuntut royalti. Kalau rajin cuba selak akhbar-akhbar lama.
Namun hari ini pemimpin terbabit dilapor menyebut berdasar perjanjian kerajaan Kelantan dan Petronas pada 1975, tiada istilah wang ihsan atau royalti.
Sebuah laman berita melaporkan Senator Dato’ Husam Musa tampil menjelaskan isu berkaitan wang ihsan dan royalti.
Kadang-kadang pening juga pakcik dan makcik di kampung. Mereka pun hairan. Sejak Pilihan Raya Kecil Dun Manek Urai pada Julai 2009, istilah royalti dijaja segenap kampung dan desa.
Bertitik tolak dari situlah NGO R muncul. R menjelajah ke seluruh negara. Malah suara R juga pernah merentasi sempadan Indonesia dan Thailand. R juga membedah lautan untuk menghampiri pelantar minyak. Simbol R turut dijaja sehingga ke Makkah, Kaherah dan London.
R bukan sekadar simbol, sebaliknya di situ berlabuh sebuah bahtera perjuangan. Sehingga sekarang beberapa aktivis R sudah meninggal dunia.
Akhir hayat mereka ketika bergelar pejuang royalti. (Al Fatihah untuk mereka).
Tidakkah simbol R yang dijulang mereka ke hulu, hilir sebagai menggambarkan tuntutan sebuah hak dan perjanjian yang ditandatangani pada 26 Mac 1975.
R atau Royalti tidak lebih sebagai sebuah perjuangan menuntut bayaran tunai 5 peratus. Mungkin tidak dipersoal tiada istilah royalti dalam dokumen perjanjian.
Namun langsung tiada istilah ihsan dalam dokumen itu. Semangat wang ihsan pun jauh sekali. Tidak perlu mencipta konflik dalam merungkai istilah.
Apa yang penting RM28 juta yang dibayar Kementerian Kewangan bukan apa yang dinamakan ‘bayaran tunai’.
Ia tidak lebih sebagai sekadar ihsan. Sedangkan pada 2012 wang ihsan dibayar Kerajaan Pusat (BN) sebanyak RM41.4 juta.
Biarpun dibayar melalui Majlis Agama Islam Kelantan dan Jabatan Pembangunan Persekutuan, manfaatnya tetap tumpah kepada rakyat.
Ternyata pemimpin Pakatan Harapan (PH) tidak gemar membelek sejarah. Umno dan BN tumbang pada 9 Mei lepas juga kerana politik sesumpah. –HARAKAHDAILY 17/10/2019 (M FAQIH )
Lihat sebelum ini..
Setinggan 'Kebal' Masih Ada Di S'ngor? Ini..