Saturday, November 09, 2019

Peluang Niaga Di Saudi? Visa, Luaskan Agensi Pelancongan..


KUALA LUMPUR, 28 Sept -- Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) melihat rancangan Arab Saudi untuk membuka pintunya kepada pelancong asing sebagai langkah yang akan meluaskan peluang perniagaan pelancongan di Malaysia.

Timbalan Presiden MATTA Mohd Akil Yusof berkata pengumuman rejim visa baharu itu akan mewujudkan peluang perniagaan baharu kepada agensi pelancongan untuk menjual pakej pelancongan dan menawarkan kepada orang Islam dan bukan Islam di negara ini.

”Langkah oleh kerajaan Arab Saudi akan membuka destinasi baharu kepada ramai pelancong di negara ini kerana visa pelancong ini untuk semua orang. Kini semua orang boleh datang dan melawat Arab Saudi walaupun mereka bukan Muslim,” katanya kepada Bernama dalam temu bual di sini baru-baru ini.

Mohd Akil mencadangkan supaya pelancong terlebih dahulu membaca mengenai kelayakan visa sebelum memohon secara dalam talian, bagi mengelakkan kekeliruan dengan visa untuk menunaikan umrah dan haji atau aktiviti berkaitan selain pelancongan.

Mengenai rancangan kerajaan Arab untuk membuka pintunya kepada pelancong bukan Muslim dan mencapai 30 juta kedatangan pelancong setiap tahun menjelang 2030, beliau berkata negara Islam itu perlu melakukan banyak aktiviti pemasaran dan menawarkan pakej destinasi unik bagi menarik lebih ramai pelancong.

“Apabila lebih ramai pelancong mula memasuki Arab Saudi, pelancong akan berminat untuk melawat tempat-tempat berbeza di negara itu seperti Jeddah, Riyadh...dan destinasi berkenaan memerlukan pasaran pelancongan tempatan di sana menawarkan pakej unik,” katanya.

Bagaimanapun, Mohd Akil menasihatkan orang awam supaya tidak pergi ke Arab Saudi dengan sendiri tetapi mempertimbangkan perkhidmatan yang disediakan ahli MATTA (agensi pelancongan) bagi memastikan pelancong faham undang-undang dan peraturan visa pelancong mereka.

“Kami merasakan penglibatan agensi pelancongan adalah perlu kerana halangan bahasa dan pasaran pelancongan di sana masih baharu. Dinasihatkan supaya pelancong menggunakan agensi pelancongan supaya perjalanan mereka lancar tanpa sebarang masalah,” katanya.

Beliau menambah, MATTA dan ahlinya akan menyokong langkah dibuat negara konservatif itu dan akan mempromosikan Arab Saudi sebagai satu lagi destinasi kepada rakyat Malaysia sama ada yang beragama Islam atau tidak.

Pada Jumaat, Suruhanjaya Pelancongan dan Warisan Kebangsaan Arab Saudi (SCTH) mengumumkan buat pertama kali, kerajaan itu melancarkan visa pelancongan yang akan dikeluarkan melalui Konsulat dan Kedutaan Besar Arab Saudi di seluruh dunia.

Rakyat dari 49 negara di seluruh dunia termasuk China, Jepun, Korea Selatan, Amerika Syarikat, Kanada, United Kingdom, Denmark, Itali, Jerman, Singapura, Brunei dan Malaysia layak memohon visa pelancong secara dalam talian.

Langkah itu adalah satu daripada agenda utama program reformasi Wawasan 2030 Putera Mahkota Mohammed bin Salman sebagai persediaan untuk ekonomi terbesar rantau Arab itu berdepan zaman selepas era minyak dan menarik syarikat asing untuk melabur dalam sektor berkenaan yang diharapkan dapat menyumbang 10 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2030.


Pengerusi SCTH Ahmed al-Khateeb mengesahkan abaya tidak akan menjadi mandatori kepada pelancong wanita tetapi perlu berpakaian sopan manakala alkohol tetap diharamkan.

Sehingga kini, pelancong asing yang memasuki Arab Saudi terhad kepada pekerja pemastautin dan tanggungan mereka, pengembara perniagaan dan jemaah Muslim yang diberi visa khas untuk melawat Makkah dan Madinah.
-- BERNAMA


Lihat sebelum ini...

Shahidan Cium Tangan Anwar. Hukum Cium Tangan Dalam Islam.


(Gambar) ARIF ATAN Tular di media sosial gambar Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Shahidan Kassim mencium tangan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

Foto yang dirakam di bangunan Parlimen hari ini turut menyaksikan kehadiran beberapa pemimpin PKR dan Pas. Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam gambar tersebut jelas sedang melihat aksi Shahidan yang dikenali kerap tampil dengan imej bersongkok itu. 

Untuk rekod, Anwar, 72, hanya empat tahun lebih tua daripada Shahidan. Aksi Shahidan itu berlaku ketika isu peralihan kuasa Perdana Menteri antara Anwar dan Tun Dr Mahathir Mohamad masih diperkatakan. 

Seminggu sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), Shahidan mengkritik Dr Mahathir yang merupakan Pengerusi Bersatu. Walau bagaimanapun, nada bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu terhadap Dr Mahathir kemudiannya lebih lunak sejurus BN kecundang. 

Bahkan, Shahidan menyalahkan media yang dakwanya salah lapor kenyataannya berhubung Dr Mahathir. Pada April lalu pula, Shahidan yang merupakan Ahli Parlimen Arau mempertahankan Dr Mahathir daripada diserang dan digelar sebagai diktator oleh pihak tertentu. at 11/08/2019 09:00:00 
(Kerengga)

logo malay3
cium tangan.PNG
AL-KAFI #850: HUKUM MENCIUM TANGAN ORANG ALIM 
Butiran: Dimuatnaik oleh Luqman Tarmizi Diterbitkan 16 Oktober 2018.
HUKUM MENCIUM TANGAN ORANG ALIM

Soalan: Apakah hukum mencium tangan para alim ulama?

Jawapan
Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Para Sahabat Mencium Tangan Nabi SAW

Telah tsabit dalam sekian banyak hadith bahawa para sahabat R.Anhum mencium tangan Baginda SAW. Daripada Zari’, beliau menceritakan:
لَمَّا قَدِمْنَا الْمَدِينَةَ فَجَعَلْنَا نَتَبَادَرُ مِنْ رَوَاحِلِنَا فَنُقَبِّلُ يَدَ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم وَرِجْلَهُ
Maksudnya: Sewaktu kami tiba di Madinah, kami berlumba-lumba untuk turun dari tunggangan KAMI dan kami mencium tangan dan kaki Baginda SAW. (Sunan Abi Daud (5225)
Daripada Usamah bin Syuraik, dia berkata:
قمنا إلى النبي صلى الله عليه وسلم فقبَّلنا يده
Maksudnya: Kami pergi kepada Nabi SAW dan mencium tangan Baginda.
Riwayat Ibn al-Muqri’ dalam Al-Rukhsah fi Taqbil al-Yad, hal. 58. Menurut Imam Ibn Hajar dalam Fath al-Bari (11/57), sanad bagi hadith ini baik.
Diriwayatkan juga bahawa para sahabat mencium tangan sesama mereka. Ibn Jad’an meriwayatkan:
قَالَ ثَابِتٌ لأَنَسٍ‏:‏ أَمَسَسْتَ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم بِيَدِكَ‏؟‏ قَالَ‏:‏ نَعَمْ، فَقَبَّلَهَا‏
Maksudnya: Thabit R.A bertanya kepada Anas R.A: Adakah kamu memegang Nabi Muhammad SAW dengan tanganmu? Anas menjawab “Ya”. Maka Tsabit pun mencium tangan beliau.
Riwayat al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad (974)
Imam al-Baihaqi pula meriwayatkan:
لَمَّا قَدِمَ عُمَرُ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ الشَّامَ اسْتَقْبَلَهُ أَبُو عُبَيْدَةَ بْنُ الْجَرَّاحِ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ فَقَبَّلَ يَدَهُ ثُمَّ خَلَوْا يَبْكِيَانِ قَالَ: فَكَانَ يَقُولُ تَمِيمٌ: " تَقْبِيلُ الْيَدِ سُنَّةٌ
Maksudnya: Sewaktu ‘Umar R.A tiba ke Syam, Abu Ubaidah al-Jarrah R.A menyambut beliau dan mencium tangan beliau, lalu mereka berlalu sambil kedua-duanya menangis. Tamim pun berkata: “Mencium tangan itu satu sunnah.”
Al-Sunan al-Kubra (13585)
Ibnu al-Muqri’ juga meriwayatkan bahawa Ali R.A pernah mencium tangan al-‘Abbas, dan sanadnya dianggap baik oleh Imam Ibn Hajar. (Rujuk Al-Rukhsah fi Taqbil al-Yad, hal. 73 dan Fath al-Bari, 11/57)

Hukum Mencium Tangan Ulama dan Solehin

Para ulama berbeza pandangan dalam isu ini:

1. Harus dan digalakkanJumhur ulama mazhab Hanafi, Syafi’e dan Hanbali mengharuskan perbuatan yang demikian.
Menurut al-Zaila’ie, Imam al-Sarakhsi dan para ulama’ mutaakhirin yang lain membolehkan mencium tangan orang yang alim dan wara dengan niat untuk bertabarruk. Menurut Sufyan al-Thauri pula, hukumnya ialah sunat. (Rujuk Tabyin al-Haqa`iq Syarh Kanz al-Daqa`iq, 6/25) Imam al-Haskafiy pula menyatakan tidak ditegah mencium tangan hakim yang berpegang teguh pada agama dan pemimpin yang adil, dan dikatakan hukumnya ialah sunat. (Rujuk Al-Durr al-Mukhtar, 6/383)
Menurut Imam Al-Nawawi, sunat hukumnya mencium tangan orang soleh, zuhud, alim dan seumpamanya dari kalamgan ahli akhirat. Sebaliknya mencium tangan seseorang kerana kekayaan, keduniaan atau kedudukannya, maka hukumnya adalah tersangat makruh. (Rujuk Al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 4/636; dan Raudhah al-Thalibin, 10/236)
Imam al-Buhuti al-Hanbali pula mengharuskan mencium tangan dan kepala sebagai tanda penghormatan dan dengan niat untuk memuliakan seseorang. (Rujuk Kasyaf al-Qina’, 2/157)

2. Haram.
Imam Malik melarang mencium tangan, samada orang alim ataupun tidak, hatta mencium tangan bapa, tuan atau suami sekalipun. Ini kerana ia merupakan perbuatan orang-orang ‘ajam dan mampu membawa kepada takabbur dan takjub kepada diri sendiri. (Rujuk Kifayatu al-Thalib, 2/475; dan Al-Fawakih al-Diwani, 2/326)
Namun menurut Imam Ibn Hajar, Imam Malik membenci perbuatan tersebut jika ia bertujuan untuk membesar-besarkan dan mengagungkan orang itu, namun jika ia bertujuan untuk medekatkan diri kepada Allah SWT kerana agama, ilmu dan kemuliaanya, maka ia diharuskan. (Rujuk Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari, 11/57)
Selain itu, Imam al-Qurthubi turut mengatakan bahawa tidak boleh bersalaman (atau menghulur tangan) diiringi dengan membongkokkan badan dan mencium tangan. Membongkokkan badan dengan maksud kerendahan hati hanya boleh ditujukan kepada Allah SWT. Adapun mencium tangan, itu adalah perbuatan orang-orang ‘ajam (orang bukan ‘Arab) yang dilakukan untuk memuliakan orang-orang tuanya. (Rujuk Tafsir al-Qurthubi, 9/266)

Kesimpulan

Kesimpulannya, kami berpandangan hukum mencium tangan para ulama, orang-orang soleh, para awliyaa’ dan orang-orang ialah harus, dengan syarat tidak terlampau berlebih-lebihan sehingga ke tahap mengagungkan dan mengkuduskan mereka.

Ini berdasarkan banyaknya hadith dan athar para sahabat Baginda R.Anhum yang melakukan perkara demikian, selain pandangan majoriti fuqaha’ yang mengharuskan mencium tangan orang-orang yang mulia, terutamanya dari sudut ilmu dan kewarakan.
Wallahu a’lam.

FIQH & SUNNAH
FIQH-SUNNAH

Hukum Mencium Tangan Dan Membongkokkan Badan Ketika Bersalaman







“Berkaitan mencium tangan; dalam soal ini terdapat banyak hadis dan atsar dari kalangan salaf yang secara keseluruhan menunjukkan bahawa hadis tersebut sahih dari Nabi. Oleh sebab itu, kami berpendapat dibolehkan mencium tangan seorang ulama (yang ahli sunnah, bukan ahli bid’ah – pent.) jika memenuhi beberapa syarat berikut ini.

  1. Perbuatan mencium tangan tersebut tidak dijadikan sebagai kebiasaan. Sehingga ulama tertentu terbiasa menghulurkan tangannya kepada murid-muridnya. Demikian juga para murid terbiasa mengambil barakah dengan mencium tangan gurunya. Ini kerana Nabi sendiri jarang sekali tangannya dicium oleh para shahabat. Jika demikian maka tidak boleh menjadikannya sebagai kebiasaan yang dilakukan terus-menerus sebagaimana kita ketahui dalam perbahasan kaedah-kaedah fiqh.
  2. Perbuatan mencium tangan tersebut tidaklah menyebabkan ulama tersebut merasa sombong dan merasa lebih baik daripada yang lain serta menganggap dirinyalah yang paling hebat berbanding yang lain.
  3. Perbuatan mencium tangan tersebut tidaknyebabkan hilangnya sunnah Nabi yang sudah diketahui seperti sunnah bersalaman. Bersalam atau berjabat tangan adalah satu amal yang dianjurkan berdasarkan perbuatan dan sabda Nabi. Bersalaman tangan adalah salah satu sebab gugurnya dosa-dosa orang yang melakukannya sebagaimana terdapat dalam beberapa hadis. Oleh itu, tidak sepatutnya sunnah berjabat tangan ini ditinggalkan kerana mengejar suatu amalan yang hanya berstatus mubah (dibolehkan).” (Silsilah al-Ahaadits ash-Shahihah 1/159, Maktabah Syamilah)


Hadis daripada Anas B. Malik radhiyallahu ‘anhu, Kami bertanya kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:

يَا رَسُولَ اللَّهِ أَيَنْحَنِي بَعْضُنَا لِبَعْضٍ قَالَ لَا قُلْنَا أَيُعَانِقُ بَعْضُنَا بَعْضًا قَالَ لَا وَلَكِنْ تَصَافَحُوا

“Wahai Rasulullah, adakah sebahagian kami boleh membongkokkan (atau menundukkan) badan kepada sebahagian yang lain (yang ditemui)?” Rasulullah bersabda, “Tidak boleh.” Kami bertanya lagi, “Adakah kami boleh berpelukan jika saling bertemu?” Beliau bersabda, “Tidak boleh. Yang benar hendaklah kalian saling bersalaman.” (Sunan Ibnu Majah, no. 3692. Dinilai hasan oleh al-Albani)

Anas B. Malik radhiyallahu ‘anhu berkata:

قَالَ رَجُلٌ يَا رَسُولَ اللَّهِ الرَّجُلُ مِنَّا يَلْقَى أَخَاهُ أَوْ صَدِيقَهُ أَيَنْحَنِي لَهُ قَالَ لَا قَالَ أَفَيَلْتَزِمُهُ وَيُقَبِّلُهُ قَالَ لَا قَالَ أَفَيَأْخُذُ بِيَدِهِ وَيُصَافِحُهُ قَالَ نَعَمْ

“Seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah, “Wahai Rasulullah, adakah kami boleh saling menundukkan (atau membongkokkan) badan apabila salah seorang dari kami bertemu dengan saudaranya atau sahabatnya?” Rasulullah menjawab, “Tidak.” Lelaki tersebut bertanya lagi, “Adakah boleh mendakapnya (memeluknya) dan menciumnya?” Rasulullah menjawab, “Tidak.” Lelaki itu bertanya lagi, “Adakah boleh mengambil tangannya dan bersalaman dengannya?” Rasulullah menjawab, “Ya.”.” (Sunan at-Tirmidzi, no. 2728. Dinilai hasan oleh at-Tirmidzi dan al-Albani)

Imam al-Qurthubi rahimahullah (Wafat: 671H) berkara:

وَرَوَى أَنَسُ بْنُ مَالِكٍ قَالَ: قُلْنَا يَا رَسُولَ اللَّهِ أَيَنْحَنِي بَعْضُنَا إِلَى بَعْضٍ إِذَا الْتَقَيْنَا؟ قَالَ:" لَا"، قُلْنَا: أَفَيَعْتَنِقُ بَعْضُنَا بَعْضًا؟ قَالَ" لَا". قُلْنَا: أَفَيُصَافِحُ بَعْضُنَا بَعْضًا؟ قَالَ" نَعَمْ"

Diriwayatkan daripada Anas B. Malik, beliau berkata, “Kami bertanya:

“Wahai Rasulullah bolehkah kami saling membongkokkan (menundukkan) badan apabila kami bertemu?” Rasulullah menjawab, “Tidak.” Anas bertanya, “Untuk saling berpelukan di antara satu dengan lain?” Rasulullah menjawab, “Tidak.” Anas bertanya lagi, “Dengan saling bersalaman di antara satu dengan yang lain?” Rasulullah menjawab, “Ya.” (Tafsir al-Qurthubi, 9/265)

Imam al-Qurthubi mengatakan:

وَإِذَا سَلَّمَ فَإِنَّهُ لَا يَنْحَنِي، وَلَا أَنْ يُقَبِّلَ مَعَ السَّلَامِ يَدَهُ، وَلِأَنَّ الِانْحِنَاءَ عَلَى مَعْنَى التَّوَاضُعِ لَا يَنْبَغِي إِلَّا لِلَّهِ. وَأَمَّا تَقْبِيلُ الْيَدِ فَإِنَّهُ مِنْ فِعْلِ الْأَعَاجِمِ، وَلَا يُتَّبَعُونَ عَلَى أَفْعَالِهِمُ الَّتِي أَحْدَثُوهَا تَعْظِيمًا مِنْهُمْ لِكُبَرَائِهِمْ

“Tidak boleh bersalaman (atau menghulur tangan) diiringi dengan membongkokkan badan dan mencium tangan. Membongkokkan badan dalam maksud atau tujuan kerendahan hati hanya boleh ditujukan kepada Allah (Subhanahu wa Ta’ala). Adapun mencium tangan, itu adalah perbuatan orang-orang ajam (selain ‘Arab) yang dilakukan dengan maksud memuliakan orang-orang tuanya.” (Tafsir al-Qurthubi, 9/266)

Makanala Syaikh al-Albani rahimahullah dalam ash-Shahihah, tentang perbuatan mencium tangan (tanpa menundukkan kepala), beliau mengatakan (secara ringkas):

Dibolehkan mencium tangan dari kalangan ulama (orang-orang soleh dan berilmu) dengan beberapa syarat. (Ulama yang dimaksudkan adalah ulama Ahlu Sunnah wal-Jama’ah). 

  • [Pertama] Antaranya tidak dijadikan sebagai kebiasaan, kerana para sahabat Nabi sendiri tidak biasa mencium tangan Nabi. Dan orang yang dicium tangannya tersebut tidak menghulurkan tangannya supaya dicium.
  • [Kedua] Tidak menjadikan orang yang dicium tangannya tersebut riya’, sombong, dan merasa lebih baik dari yang lain.
  • [Ketiga] Tidak menghilangkan sunnah bersalaman tangan sebagaimana biasa yang dianjurkan oleh Sunnah Rasulullah. (Rujuk Silsilah al-Ahaadits ash-Shahihah, 1/159)

Adapun perbuatan saling berpelukan (berdakapan) dibenarkan apabila pulang dari musafir atau setelah lama tidak bertemu. Tetapi jika menjadikan ianya sebagai kebiasaan (selain dari ketika balik safar), maka tidak dibolehkan (makruh). Ini sebagaimana diriwayatkan dari amalan para sahabat Nabi.

كان أصحاب النبي صلى الله عليه وسلم إذا تلاقوا تصافحوا، و إذا قدموا من سفر تعانقوا

“Bahawasanya para sahabat Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam apabila bertemu mereka saling bersalaman, dan apabila pulang dari safar (bermusafir), mereka saling berpelukan.” (Majma’ az-Zawa’id, 8/75. Kata al-Haitsami, “Diriwayatkan oleh ath-Thabrani dalam al-Ausath dan para perawinya adalah perawi kitab ash-Shahih.” Dinilai sahih oleh al-Albani)

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

مَا مِنْ مُسْلِمَيْنِ يَلْتَقِيَانِ فَيَتَصَافَحَانِ إِلَّا غُفِرَ لَهُمَا قَبْلَ أَنْ يَفْتَرِقَا

“Tidaklah dua orang muslim yang bertemu kemudian saling bersalaman melainkan dosa keduanya akan diampunkan (oleh Allah) sebelum ia berpisah.” (Musnad Ahmad, no. 18547. Sunan Abu Daud, no. 5212. Sunan at-Tirmidzi, no. 2727. Sunan Ibnu Majah, no. 3693. Dinilai sahih oleh al-Albani dan Syu’aib al-Arnauth)

Lokasi Minyak, Pusat Cuba Sembunyi. Ini Faktanya.




KOTA BHARU: Pemimpin kerajaan pusat dianggap sengaja menyembunyikan fakta sebenar lokasi pengeluaran petroleum yang terdapat di perairan Kelantan.
Presiden Pertubuhan R Kelantan Nazri Deraman berkata, Medan Bumi Selatan dan Suria Selatan yang diakui menjadi hak Kelantan terletak dalam kawasan blok PM 301.
Katanya berdasar peta Blok PM301 turut merangkumi sembilan medan dan bukan hanya dua medan sahaja seperti diumumkan menteri.
“Bagaimana pula dengan tujuh medan lagi iaitu Bunga Kamelia, Bunga Zetung, Bunga Anggerik, Bunga Kesumba, Bunga Melati, Ular dan Gajah.
“Ini faktanya. Bukti kekal bukti, suatu masa nanti tentunya akan terbongkar juga,” katanya di sini.
Pada 30 Oktober lepas Menteri Hal Ehwal Ekonomi Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali menjelaskan bayaran royalti petroleum kepada Kelantan hanya dari Bumi Selatan dan Suria Selatan.
Ketika menggulung Perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2020 katanya, 10 lagi lapangan pengeluaran masih tidak mempunyai persempadanan perairan antara Kelantan, Terengganu dan Pahang.
Nazri juga berkata, Kerajaan Pakatan Harapan (PH) seperti mahu menafikan wujudnya telaga-telaga minyak di perairan Kelantan. 
“Soalnya kenapa baharu sekarang terdapat dua telaga tersebut. Adakah ia baru sahaja dibina pada 2019,” katanya. – HARAKAHDAILY 7/11/2019

Uji Maruah, Bukan Anjing Gemuk, Dilehernya Ada Rantai.. -Presiden PAS


Krisis ekonomi 1997 menguji maruah
SAYA bukan ahli ekonomi, tetapi menjadi pemerhati, kerana seseorang manusia wajib bermasyarakat tidak boleh memisahkan diri terutamanya aspek politik dan ekonomi.
Seperti penonton bola sepak memang mudah memberi komen kepada pasukan yang kalah, sedangkan pemainnya terhungap-hungap dan terjelir lidah berusaha untuk menang begitu payah.
Pengurus yang berjaya sepatutnya tidak boleh berbangga dengan kejayaan melalui pemain import yang dibayar dengan harga yang mahal. Sepatutnya mengambil pengajaran daripada negara Amerika Latin yang miskin berjaya ke peringkat Piala Dunia dengan melatih anak watannya.
Begitu juga dalam menghadapi krisis ekonomi 1997 yang lebih parah kerana melibatkan maruah negara dan umat, kejayaan Tun Mahathir menyelesaikan krisis tersebut dengan menggunakan sumber dalam negara dan kekuatan kepakaran sendiri adalah perlu dibanggakan. Bukan bergantung kepada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) yang mengundang penjajahan ekonomi, belenggu hutang dan segala akibatnya yang boleh mengundang campur tangan asing dalam negara.
Walaupun PAS parti pembangkang yang dibelasah sehingga berlawan dengan sekeras-kerasnya, tetapi menyedari bahawa kita berada dalam satu tanah air laksana satu bahtera yang tenggelam timbulnya tetap bersama, maka tetap mengakui apa yang sebenar dipikul bersama.
PAS ketika itu turut memberikan pandangan untuk membaiki ekonomi negara, dengan menyeru peniaga dan rakyat untuk terus bertahan, berbelanja dengan cermat, mengurangkan hutang dan menyimpan untuk kecemasan.
PAS tetap menjadi pembangkang yang menasihat dan turut memberi perhatian kepada calon bakal Perdana Menteri. Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri yang mempunyai pengalaman memerintah, pastinya sangat mengenali calon yang layak di kalangan muridnya yang telah dilatih. Maka hendaklah dipilih yang berjaya dalam ujian. Jangan memilih calon yang gagal, membawa ijazah palsu atau suka meniru untuk mendapatkan jawapan.
Peristiwa krisis ekonomi tersebut menjadi salah satu ujian peperiksaan mempertahankan maruah negara dan umat. Oleh itu, PM sudah kenal siapa yang hendak dipilih terutamanya beliau adalah Melayu yang tidak lupa.
Saya teringat kisah penglipur lara yang menjadi pengajaran.
Hasil carian imej untuk Anjing Gemuk, di leher ada rantai

Seekor anjing hutan yang keluar merayau mencari makan tersesat dalam kawasan perumahan, terserempak dengan seekor anjing peliharaan yang dirantai lehernya dalam keadaan badan yang gemuk dan sihat kerana sentiasa dilayan oleh tuan yang mengasihinya, lalu menggoda si anjing hutan supaya bersamanya kerana senang mendapat makanan percuma walaupun tengkuk di rantai.
Tiba-tiba anjing hutan menolak dengan keras dan melarikan diri kerana menyedari bahawa hidup bebas merdeka itu lebih baik daripada dibelenggu walaupun kenyang dan gemuk.
Begitulah mahalnya erti kemerdekaan dan maruah, bukannya menjadi barua kepada sesiapa sahaja. Mempertahankan maruah sangat besar maknanya.
Pengalaman Malaysia menangani krisis kewangan 1997 adalah ujian untuk menilai siapa yang berani mempertahankan maruah negara dan umat, berbanding mereka yang mudah menyerah kalah kepada pihak luar.
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 11 Rabiul Awwal 1441 / 8 November 2019 – HARAKAHDAILY 8/11/20

Jackie Chan Batal Lawatan Ke Vietnam. Mafia?


Jackie Chan ketika menghadiri majlis promosi album solo terbaharu bertajuk ‘I Am Me’ di Taipei, Taiwan pada Jun lalu. Foto AFP
HaLAMAN HIBURAN


HANOI: Bintang filem seni mempertahankan diri, Jackie Chan terpaksa membatalkan rancangan untuk menghadiri acara kebajikan di Vietnam susulan bantahan dalam talian, selepas beliau didakwa menyokong tuntutan Beijing di Laut China Selatan.
Pelakon kelahiran Hong Kong itu dijadual melawat Hanoi, lusa, bagi menyokong program ‘Operation Smile’, iaitu acara kebajikan yang menyediakan pembedahan percuma kepada kanak-kanak yang berdepan masalah kecacatan muka.
Namun, rancangan itu terpaksa dibatalkan selepas ribuan pengguna akaun Facebook memenuhi laman web rasmi pertubuhan kebajikan itu, sebaik sahaja kehadiran Chan diumumkan minggu lalu.
Antara komen yang dimuat naik, mendakwa Chan mengeluarkan kenyataan menyokong tuntutan China ke atas ‘nine-dash line’ atau sekumpulan pulau di wilayah dipertikaikan di Laut China Selatan.
Ia adalah istilah sejarah yang digunakan oleh Beijing sejak 1912, bagi menunjukkan justifikasi tuntutan, terhadap wilayah di laut yang kaya dengan sumbernya.
Bagaimanapun, Chan tidak pernah menyatakan sokongan secara terbuka terhadap isu maritim yang kontroversi itu.
Selain China, beberapa negara di Asia Tenggara, iaitu Vietnam, Malaysia, Filipina, Taiwan dan Brunei turut mengemukakan tuntutan terhadap wilayah terbabit, serta menjadi isu yang mencetuskan ketegangan berpanjangan di rantau berkenaan.
Sementara itu, pertubuhan kebajikan terbabit, menyatakan permohonan maaf semalam, kerana gagal menjangka reaksi orang ramai di negara itu, tetapi menegaskan bahawa aktiviti kebajikan mereka tidak bermotifkan politik.
“Kami benar-benar memohon maaf, Operation Smile tidak akan menganjurkan sebarang aktiviti membabitkannya (Chan) di Vietnam,” katanya.
Vietnam adalah salah pengkritik utama Beijing, dalam pertikaian membabitkan isu di Laut China Selatan. - AFP
Komen Weblog Ibnu HasyimJackie Chan terpaksa membatalkan rancangan untuk menghadiri acara kebajikan di Vietnam selepas beliau didakwa menyokong tuntutan Beijing di Laut China Selatan. Hal ini membuktikn bahawa dunia hiburan sebenarnya tidak bebas, malah dikuasai oleh mafia-mafia politik dunia.

Sidang DUN PP: Isu Rumah Kos Tinggi Dibangkitkan.

Sidang Dun P. Pinang: Wakil PAS diasak 7 penjuru
SUDAH lama tidak pakai tali leher. Semalam, kembali bertali leher apabila hadir sebagai pemerhati di dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang.
Kami hadir menyaksikan wakil tunggal PAS-Penaga, YB Ustaz Mohd Yusni Mat Piah berucap membahaskan Bajet 2020 pada peringkat dasar. Beliau satu-satunya wakil tunggal PAS di dalam DUN Pulau Pinang.
Berdasarkan pemerhatian ketika sesi perbahasan berlangsung, ada lima perkara menarik yang perlu diperhatikan.
Pertama: Persediaan untuk berbahas. 
Wakil rakyat perlu persediaan secukupnya untuk berbahas. Selain persediaan dari aspek jasmani (penampilan diri), persediaan dari sudut pengucapan adalah sangat penting.
Bahan rujukan, teks ucapan, kemahiran mematahkan hujah, kemahiran bersoal jawab, dan pengetahuan tentang isu-isu semasa sangat perlu dikuasai.
Wakil rakyat juga perlu bijak memberi cadangan solusi terhadap isu-isu yang dibangkitkan, bukan hanya sekadar mencelah menggangu perbahasan orang lain macam wakil Jelutong di dalam Dewan Rakyat.
Kedua: Cabaran sebagai wakil tunggal PAS
Menjadi satu-satunya wakil tunggal PAS di dalam DUN Pulau Pinang memang sangat mencabar. Apa tidaknya, diasak kiri kanan depan belakang oleh wakil-wakil kerajaan yang memang sentiasa menunggu peluang.
Perbahasan ADUN Penaga semalam turut mendapat perhatian daripada YAB Ketua Menteri, YB Timb Ketua Menteri II, seorang anggota Exco, dan 4 orang ADUN Kerajaan yang lain. Tujuh orang semuanya. Dua ADUN Pembangkang yang lain (Umno) turut mengambil bahagian. Mereka bangun minta izin mencelah untuk turut berbahas mengenai isu-isu yang dibangkitkan oleh ADUN Penaga.
Bayangkan, 7 lawan 1! Memang penat kena asak. Kalau bertanya dengan cara baik, okeylah. Tapi ada yang bangun mencelah dengan cara provokasi. Tak ada hujah pun, sekadar nak alih isu. Huh! Kami yang duduk dekat kerusi pemerhati ni pula yang geram nak menyampuk. Nasib baik boleh kawal.
Kestabilan emosi dan ketahan mental sangat diperlukan untuk berhadapan dengan situasi begini.
KetigaHarakah jadi topik perbahasan!
Isu pemberitaan Harakah turut dibahaskan. Yang peliknya, ianya dibangkitkan oleh ADUN DAP. Seorang ADUN biasa, dan seorang lagi ialah YB Timb Ketua Menteri (TKM) II.
Menurut YB TKM II, dia dah lama tak baca Harakah. Dulu pernah baca. Sekarang tidak. Yang peliknya, dia boleh sebut bahawa sejak akhir-akhir ini Harakah melaporkan berita yang tak tepat. Faktanya tak betul. Aik? Tadi kata dah lama tak baca. Tapi macam mana boleh tahu pemberitaan itu kononnya tak tepat? Pelik!
Keempat: Tiga isu sensitif tidak dibenarkan bahas
Ada tiga isu yang Speaker tak benarkan dipanjangkan perbahasan. 
  • Pertama, isu bacaan doa Kristian di salah sebuah sekolah di Pulau Pinang. 
  • Kedua, isu tangkapan dalam kes LTTE. 
  • Ketiga, isu penyebaran komik kontroversi ke sekolah-sekolah.

Walaupun ianya ada dalam teks ucapan perbahasan ADUN Penaga, namun Speaker minta supaya ianya tidak dibahaskan kerana telah ada tindakan undang-undang diambil oleh pihak berkenaan.
Walau bagaimanapun, ADUN Penaga tetap memberi teguran dan peringatan supaya kes-kes seperti itu tidak lagi berulang di Pulau Pinang. Apatah lagi ianya bercanggah dengan semangat di dalam Perlembagaan Persekutuan.
Kelima: Isu Rumah Kos Tinggi VS Rumah Mampu Milik
Isu lambakan rumah kos tinggi turut menjadi perhatian ADUN Penaga. Isu ini turut mendapat perhatian ADUN-ADUN Kerajaan yang lain untuk turut sama berbahas.
Dalam ucapan seorang ADUN Kerajaan, beliau bertanya mengapa ADUN Penaga dilihat seolah-olah bercakap bagi pihak pemaju? Kenapa perlu susah payah nak fikir tentang rumah kos tinggi itu laku atau tidak, itu urusan pemaju. Biar mereka yang susah hati fikir tentang hal itu, katanya.
Walhal, mesej yang hendak disampaikan oleh ADUN Penaga ialah, mengapa tak seimbang antara bilangan rumah kos tinggi dengan rumah kos sederhana atau kos rendah? Sedangkan rakyat lebih memerlukan rumah kos rendah atau kos sederhana. Kenapa kebenaran diberikan sewenang-wenangnya untuk para pemaju membina rumah kos tinggi sedangkan rakyat tak mampu beli? Ini sebenarnya mesej yang hendak disampaikan.
Namun, oleh kerana manipulasi ADUN Kerajaan, dan mereka jumlah mereka ramai, kuat manapun hujah kita, suara mereka dilihat menguasai perbahasan dewan. Sehingga Speaker terpaksa minta supaya ADUN Penaga teruskan ucapan dan tak benarkan lagi pencelahan kerana telah melebihi masa yang diperuntukan.
Begitulah lima perkara menarik yang sempat dirakamkan di dalam memori ketika mengikuti sesi perbahasan sidang DUN Pulau Pinang kali ini.
Banyak maklumat dan ilmu yang dapat dipelajari, terutamanya ilmu berkaitan pemerintahan dan pentadbiran sesebuah kerajaan.
Tahniah kepada wakil tunggal PAS kerana berjaya beraksi dengan baik di dalam perbahasan sidang DUN kali ini. Masa berucap juga lama, 1 jam 10 minit! Tahniah juga kepada pasukan yang membantu menyediakan bahan ucapan. Saiful Lizan Yusoff dan Mohd Farhan Yusri, termasuk Mohd Ridzwan Ahmad sebagai jurufoto.
Kesimpulan
  • Pertama, kerajaan memerlukan Pembangkang sebagai ejen semak dan imbang. Suara Pembangkang perlu diambil kira dalam perjalanan sesebuah pemerintahan.
  • Kedua, Pembangkang tidak boleh hanya membangkang semata-mata. Pembangkang perlu kemukakan cadangan penyelesaian dan solusi yang sesuai sebagai parti bukan pemerintah.
  • Ketiga, PAS perlu tambah kerusi dalam PRU akan datang.
Sekian, mohon pakat buat kerja bagi menang!
AFNAN HAMIMI TAIB AZAMUDDEN
Yang jadi pemerhati – HARAKAHDAILY 7/11/2019

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails