SALAH satu iktibar penting yang patut kita perolehi daripada episod yang membawa kepada peletakan jawatan Dr Maszlee Malik sebagai Menteri Pendidikan ialah supaya kita lebih berhati-hati di dalam menilai sesebuah parti, dan di dalam konteks Dr Maszlee, DAP.
Berdasarkan rekod, sebelum PH berkuasa dulu, Dr Maszlee mempunyai saham yang agak besar di dalam membantu menaikkan DAP dengan membersihkan imej DAP di kalangan umat Islam dengan sangka baik yang disertai dengan pelbagai pujian beliau ke atas DAP.
Masih saya ingat lagi dalam forum Roketkini bertajuk “Benarkah Dasar DAP Mengancam Islam” bersama Setiausaha Agung DAP dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, Dr Maszlee dengan beraninya mengumumkan “tidak ada pada DAP itu yang mengancam Islam”.
Lebih dari itu, Dr Maszlee bukan setakat membersihkan DAP, tetapi turut melambung tinggi Lim Guan Eng dan bapa beliau, Lim Kit Siang, dengan memartabatkan keperibadian dan prinsip yang mereka perjuangkan sebagai tidak jauh bezanya dengan Dr Mohammad Morsi.
Sebegitu tinggi lambungan Dr Maszlee ke atas DAP selain kritikan beliau ke atas Umno sehingga mendorong moderator forum Roketkini itu menyebut, “Kalau tak dapat surat warning daripada UIA mungkin Dr Maszlee akan dapat surat tawaran bertanding daripada DAP”.
Begitulah seterusnya dengan penglibatan Dr Maszlee di dalam majlis-majlis DAP selepas itu, termasuk di Rumah Terbuka dan Jamuan Aidil Fitri DAP di Bala’s Banana Leaf Restaurant, Bangsar, pada hari Sabtu, 22 Julai 2017, bersama-sama Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua.
Di sebalik bantuan yang telah Dr Maszlee berikan kepada DAP selama ini, dan di sebalik hubungan baik beliau dengan para pemimpin DAP, setelah beliau dilantik menjadi Menteri Pendidikan, adakah para pemimpin DAP membalas budi baik beliau dengan membela beliau?
Bukan setakat tidak membela dan mempertahankan kenyataan dan tindakan Dr Maszlee sebagai Menteri Pendidikan, malah para pemimpin DAP inilah yang menjadi juara di dalam menyerang dan mendesak supaya beliau meletakkan jawatan sebagai Menteri Pendidikan.
Iktibarnya di sini ialah, berpada-padalah di dalam berbuat baik dengan DAP dan di dalam memuja-muji DAP, selagi anda berguna kepada mereka selagi itulah mereka melayan anda dengan baik, tetapi bila anda dilihat tidak berguna lagi kepada mereka maka siaplah anda.
Dan ini tidak mengira siapa kerana menjelang PRU14 lalu Penasihat Seumur Hidup DAP, Dr Chen Man Hin, sendiri pernah menyebut dalam lidah rasmi DAP, Roketkini, bahawa:
- (1) DAP dan Tun Dr Mahathir bukan kawan untuk selama-lamanya tetapi boleh berubah mengikut masa.
- (2) Tun Dr Mahathir baik untuk diajak duduk sekali sebagai rakan kerjasama tetapi tidak akan membawa manfaat sebagai pemimpin.
DR KAMARUL ZAMAN HAJI YUSOFF – HARAKAHDAILY 4/1/2020
Taikun yg ganggu Tun M tu orang kuat DAP. Kesian Tun M
ReplyDelete