Sunday, January 05, 2020

Dr Maszlee, Catur Politik Dr M? Menurut Abd Muein (UKM)

Hasil carian imej untuk catur politik

Dr Maszlee Malik dan percaturan politik Tun M

SEKARANG saya boleh dedahkan beberapa perkara penting yang saya rahsiakan selama ini susulan peletakan jawatan YB Menteri Pendidikan Dr. Maszlee Malik semalam.

Ramai yang bertanya bagaimana saya boleh kembali menulis dan menegur dasar-dasar kerajaan selepas diarahkan untuk tidak lagi menulis isu politik yang sensitif pada tahun lepas.

Jika ada yang masih ingat, saya diberi arahan sedemikian selepas menegur tindakan Kerajaan Pakatan dalam isu penjualan aset negara secara besar-besaran tanpa digantikan dengan sebarang pelaburan pembelian aset baru yang kredibel (hingga ke hari ini).

Selama ini saya mengambil pendirian untuk tidak mengampu atau memuji-muji Kerajaan Pakatan sama sekali kerana pertimbangan konflik kepentingan – terutama sekali Dr. Maszlee Malik kerana beliau adalah dikira sebagai merangkap ‘bos’ saya selaku Pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). 

Sebaliknya, saya memilih untuk menegur kerajaan dengan tegas – dengan harapan supaya kepentingan Islam, negara, dan rakyat dipelihara semaksimum yang mungkin oleh para Menteri dan seluruh ahli Kabinet – termasuklah Dr. Maszlee sendiri.

Tentulah saya tidak sangka selepas 10 tahun berkhidmat di UKM akhirnya saya dikenakan larangan sedemikian rupa – hanya semata-mata kerana tekanan oleh segelintir ‘Penasihat’ yang cukup berpengaruh.  Saya tidak akan lupa bagaimana para Ulamak seperti Dato Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Ustaz Idris Ahmad dari Parti Islam Se-Malaysia (PAS) tampil membela saya ketika itu.

Namun begitu, arahan larangan ke atas saya daripada menulis isu politik yang sensitif itu kemudiannya telah terbatal dengan pendirian Dr. Maszlee Malik yang menegaskan kebebasan kami para ahli akademik.

Malah, Dr. Maszlee ketika itu menegaskan tentang usaha beliau dan Kementerian Pendidikan untuk melaksanakan pindaan terhadap Akta Badan-badan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj) 2000 – Akta 605.

Di sebalik tekanan daripada ‘Penasihat’ tertentu, beliau tetap mempertahankan saya – bahkan hingga ke dalam Mesyuarat Kabinet.

Dr. Maszlee juga bersama-sama pentadbiran UKM telah bertindak untuk memastikan bahawa saya tidak dikenakan sebarang tindakan semata-mata kerana teguran saya ketika itu.

Jasa Dr. Maszlee ini – dengan doa sokongan rakan-rakan dan para Ulamak seperti Dato Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Ustaz Idris Ahmad – telah membolehkan saya untuk kembali menulis dengan kritis tentang isu-isu politik semasa – sesuai dengan posisi saya sebagai Pensyarah Program Sains Politik.

Berkenaan isu terkini, saya juga dihujani pertanyaan yang tidak henti-henti sejak semalam tentang keputusan Dr. Maszlee Malik memulangkan semula jawatan Menteri Pendidikan selepas dinasihati YAB Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Keputusan ini tentulah mengejutkan dan mengecewakan jutaan pelajar, guru, dan ibu bapa di seluruh negara kerana faktanya jelas bahawa Dr. Maszlee Malik merupakan Menteri yang terbaik dalam kerajaan hari ini.

Data dan fakta jelas menunjukkan bahawa dasar-dasar yang diperkenalkan oleh Dr. Maszlee benar-benar memberi impak langsung kepada golongan berpendapatan pertengahan dan rendah, menyediakan anak-anak kita untuk persaingan di pentas global pada masa hadapan, di samping tegas dalam isu Melayu-Islam sebagai teras pembangunan negara bangsa kita. 

Anak-anak kita dilengkapi kemahiran belajar ‘coding’ dan ‘programming’, tiada lagi pemisahan ekstrem aliran Sains dan Sastera, pemerkasaan sekolah agama dan tahfiz, TVET, berpeluang untuk menikmati sarapan percuma, penyamarataan peluang kepada anak-anak B40, pembebasan tekanan murid darjah 1 hingga 3 daripada peperiksaan, dan sebagainya. 

Itu belum lagi keringanan beban para guru seperti penghapusan pengisian kehadiran manual dan pertukaran guru secara suka sama suka.  Semua ini beliau lakukan dalam keadaan terpaksa berhadapan dengan tekanan ekstremis yang berpengaruh di dalam dan di luar kerajaan.

Tentulah ramai yang mempersoalkan mengapa Dr. Maszlee Malik yang ‘dinasihati’ (baca: dipecat) oleh Tun Mahathir?  Bukankah ada ramai lagi Menteri lain yang jauh lebih buruk dari segi pencapaian berbanding beliau? 

Dan mengapa pula beliau akur menuruti ‘nasihat’ Tun Mahathir itu?  Mengapa Dr. Maszlee tetap setia dengan ‘Ayahanda Tun’ dan ‘Parti Bersatu’?  Mengapa tidak beliau melawan, pertahankan kedudukan selaku Menteri Pendidikan dan lancarkan gerakan ‘Reformasi’ seperti mana Datuk Seri Anwar Ibrahim lakukan dahulu?

Jawapannya tidak lain tidak bukan: kerana kuasa politik. Tun Mahathir tidak perlukan seorang Menteri Pendidikan yang tidak mampu untuk dikawal.  Dr. Maszlee bebas daripada sebarang prestasi buruk ketika memegang jawatan apatah lagi rekod anasir rasuah mahu pun salah laku – sekali gus menjadikan beliau tidak mudah dikawal. 

Akibatnya, Dr. Maszlee tidak mudah tunduk pada desakan rakan Pakatan yang tidak berkongsi aspirasi beliau dan juga orientasi Melayu-Islam.  Contohnya seperti dalam isu Jawi mahu pun dalam isu kontrak projek 1Bestarinet dari YTL Communications yang berjumlah keseluruhan RM4 bilion yang ditukar kepada Telekom Malaysia Berhad, Celcom Axiata Berhad, dan Maxis Broadband Sdn Bhd.  Kesemua isu ini disebut sendiri oleh Dr. Maszlee ketika sidang media khas semalam.

Dr. Maszlee juga jelas berusaha menempatkan rakan-rakan beliau dari IKRAM – yang juga meski pun layak dari segi kepakaran – ke posisi yang strategik untuk jangka panjang. Langkah sebegini menimbulkan kebimbangan yang amat sangat kepada para ‘hulubalang’ parti Bersatu yang bukan IKRAM. 

Tambahan pula, langkah ini menimbulkan kecurigaan dari segi kesetiaan Dr. Maszlee kepada Tun Mahathir – adakah beliau akan menyokong Tun Mahathir atau Datuk Seri Anwar Ibrahim jika pertembungan meletus kembali antara dua seteru lama itu?  Dalam keadaan Dr. Maszlee tiada tekanan rekod rasuah dan berimej Islamik, kemungkinan beliau tidak akan terikat untuk memberi sokongan kepada Tun Mahathir dan berpotensi untuk menyokong peralihan kuasa kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pada sisi yang lain, Kementerian Pendidikan merupakan Kementerian yang memiliki peruntukan kewangan yang terbesar – Dr. Maszlee boleh diganti oleh Tun Mahathir dengan mana-mana pemimpin Bersatu bekas ahli Umno. 

Langkah ini akan memberi isyarat ‘menarik’ kepada ahli-ahli Parlimen Umno-BN sekiranya mereka bersedia untuk memberi sokongan kepada Tun Mahathir dalam pertembungan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim nanti. 

Sasaran utama isyarat ini pastilah kepada 21 ahli Parlimen Umno-BN yang menghadiri pertemuan sulit bersama Datuk Seri Azmin Ali di kediaman beliau tahun lalu.  Begitu juga buat para Ahli Parlimen PKR yang tidak semestinya setia dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Begitu juga tindakan Tun Mahathir ini memberi isyarat bahawa beliau tidak teragak-agak untuk memecat mana-mana ahli Kabinet saat ini yang tidak setia dengan beliau.

Pastinya, sebagai seorang manusia biasa, Dr. Maszlee Malik tidak maksum.  Namun begitu, tugas yang telah beliau laksanakan benar-benar memberi impak yang positif buat berjuta warga pendidik di seluruh negara sepanjang 600 hari yang lalu.  Terima kasih Dr. Maszlee.

Semoga Allah peliharakan Dr. Maszlee Malik sekeluarga.
Semoga Allah peliharakan sistem pendidikan kita.
Semoga Allah peliharakan kestabilan politik negara kita.
Amin Ya Rabb.

Oleh: ABDUL MUEIN ABADI
Penulis ialah Pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) – HARAKAHDAILY 3/1/2020

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails