Sunday, January 19, 2020

E-Tunai Rakyat: Waspada Dengan Data Peribadi.

Hasil carian imej untuk E-Tunai Rakyat
TERTARIK melihat reaksi pelbagai pihak yang mempersoalkan kewajaran perkongsian data peribadi kepada pihak swasta yang mengendalikan program ‘e-Tunai Rakyat’ oleh pihak Kerajaan.
Menurut Menteri Kewangan, insentif pendigitalan ekonomi ini adalah selaras dengan peruntukan Kerajaan dalam Belanjawan 2020 berjumlah RM450 juta yang akan memberi manfaat kepada 15 juta rakyat.
Tambah beliau, setiap rakyat Malaysia berumur 18 tahun dan ke atas yang berpendapatan kurang daripada RM100,000 setahun layak menerima pembayaran RM30 secara ‘one-off’ mulai 15 Januari 2020, dengan kerjasama tiga pengendali e-dompet terpilih iaitu Grab, Boost dan Touch ‘n Go.
Ketika ditanya mengenai risiko penyalahgunaan data pemohon e-Tunai Rakyat, beliau berkata,
“Khazanah Nasional Berhad merupakan pelaksana program e-Tunai Rakyat dan perkara seumpama itu tidak akan berlaku. Peraturan kita amat ketat dan tegas kerana kita ada Akta Perlindungan Data Peribadi, maklumat dan data pemohon hanya dikongsi oleh Kerajaan dan tidak kepada syarikat luar”.
Persoalannya mengapa perlu dikongsikan data peribadi yang terlalu sensitif dan terperinci, antaranya gambar kad pengenalan, penyata bank dan rekod transaksi pembelian, sebagai imbalan kepada penerimaan RM30 e-tunai secara ‘one-off’ ini.
Perlindungan Data Peribadi.
Merujuk kepada terma dan syarat e-Tunai Rakyat yang dikendalikan oleh pihak Touch ‘n Go eWallet:
  1. Untuk melayakkan diri menyertai program ini, pemohon perlu mengemukakan bukti pengenalan diri menggunakan kad pengenalan Malaysia yang sah, berdasarkan kepada rekod JPN.
  2. Pemohon yang layak akan menerima pembayaran RM30 secara ‘one-off’ apabila tuntutan telah diluluskan, dan akan dikreditkan ke dalam e-Wallet pemohon dalam tempoh lima hari.
  3. Sebagai tambahan kepada Notis Privasi Data, peserta bersetuju dan membenarkan pihak pengendali, Kerajaan Malaysia dan agensi/syarikat berkaitan untuk mengumpul, menyimpan, menggunakan, memproses dan mendedahkan Data Peribadi peserta, yang termasuk, tetapi tidak terhad kepada:
a. Nama, nombor kad pengenalan
b. Alamat, nombor telefon mudah alih
c. Butiran akaun bank, penyata bank
d. Maklumat transaksi pembelian
Perkongsian dan pendedahan Data Peribadi peserta e-Tunai Rakyat adalah dibenarkan untuk tujuan seperti berikut, antaranya:
a. Pengesahan kelayakan permohonan dan pengesahan tuntutan insentif dengan penyedia perkhidmatan e-dompet lain.
b. Memproses sebarang aduan, dan menghantar sebarang notis atau berkomunikasi.
c. Mengumpul data dan maklumat transaksi perbelanjaan ketika menggunakan insentif ini.
d. Membolehkan Data Peribadi peserta digunakan oleh penyedia perkhidmatan pihak ketiga bagi memastikan keberkesanan program ini.
Tidak dinafikan insentif ini boleh merancakkan penggunaan e-tunai dalam transaksi harian, seterusnya meningkatkan kecekapan dan transparensi dalam usaha pendigitalan ekonomi yang lebih meluas.
Namun timbul persoalan adakah pengguna memahami implikasi daripada perkongsian data peribadi ini, dan apakah jaminan tidak berlaku penyelewengan terhadap penyimpanan dan pemprosesan data (termasuk prinsip keselamatan), sebagaimana yang terkandung dalam Akta Perlindungan Data Peribadi 2010.
Ternyata data peribadi yang didedahkan ini adalah terlalu besar nilainya, berbanding RM30 yang diterima secara ‘one-off’ melalui program e-Tunai Rakyat. Justeru semua pihak perlu bertanggungjawab dalam melindungi data peribadi 15 juta rakyat yang sangat berharga ini.
SYAHIR SULAIMAN16 Januari 2020 –HARAKAHDAILY 16/1/2020

1 comment:

Anonymous said...

Projek PRU 15 ? Bimbang juga jika si Mata sepet dari China Komunis menjadi pengundi PRU 15.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails