Saturday, January 11, 2020

Ini, 62 Poin Untuk Puak Yang Anti Syiah..


Siapa yang bertaqiyyah agaknya…

TULISAN kali ini ada 62 poin yang saya gabungkan insyaAllah menjadi justifikasi terhadap apa yang berlaku kepada Presiden PAS terutama dalam isu Syiah kerana ramai yang menyerang beliau tanpa tahu sebabnya.

1-     Dengan kenyataan Donald Trump, Presiden Amerika beberapa hari lepas, rasanya tidak jadi perang yang hampir tercetus di Teluk Arab ini. Tetapi kesannya agak berpanjangan, terutama hubungan tegang antara kedua negara yang bersengketa. Ekonomi dunia, macam biasa, akan tergugat dengan permainan gila AS ini. Tidak ada perubahan sikap oleh AS. Sama sahaja terjadi kepada semua Presiden-presiden mereka.

2-     Saya lebih minat untuk membicarakan mengenai pandangan Presiden PAS terhadap rancangan ini. Ianya mungkin tidak tepat seratus peratus, tetapi banyak yang dikatakan beliau itu, benar. Ia bukti jelas menunjukkan bahawa beliau mendapat maklumat dari peringkat dunia. Bukan informasi dari kampung yang kemudiannya memperlecehkan orang lain, bangga dengan maklumat yang kononnya tepat itu.

3-     Terus sahaja melenting, sesetengah pihak apabila Presiden PAS mengajak menyokong Iran. Lalu, sebagaimana biasa dimainkan isu Sunni-Syiah bagi menjuzukkan pemikiran umat Islam agar tidak terpengaruh dengan pendapat atau maklumat Presiden PAS itu.

4-     Seorang Panglima Kerajaan Umayyah, Hajjaj bin Yusof as-Tsaqafi adalah antara manusia yang dikategorikan sebagai pelampau. Hajjaj pernah memusnahkan Kaabah ketika dia menyerang tentera Ibnu Zubair iaitu Abdullah bin Zubair, anak kepada Zubair al-Awwam, sepupu kepada Rasulullah, dan pasangannya Asma’ binti Abu Bakar, kakak ipar Rasulullah.

5-     Hajjaj membunuh Ibnu Zubair. Digantung mayatnya di sekitar Makkah, sehinggalah datang Asma’ menuntut mayat anaknya dengan beraninya daripada Hajjaj.

6-     Pernah Hajjaj berkata dalam satu khutbah, dia melihat telah banyak kepala-kepala yang sudah masak bagi dia memetiknya (memancung).

7-     Dia juga dalang pembunuhan Ibnu Umar, iaitu Abdullah bin Umar, anak kepada Saidina Umar, walaupun Ibnu Umar tidak berperang dengannya. Hajjaj juga menuduh Ibnu Mas’ud sebagai munafik


8-     Dilihat kepada senarai kejahatan Hajjaj ini, dia dibenci oleh kedua Sunni dan Syiah. Tetapi tetap ada juga ulamak yang bersangka baik iaitu Hajjaj tidak kafir, tetapi derhaka sebagai pendosa. Malah ada juga yang mengenang jasa Hajjaj iaitu antaranya dialah yang membahagikan juzuk-juzuk dalam al-Quran sebanyak 30 juzuk. Tiada kedengaran marahnya orang yang membenci Syiah atas pandangan tidak mengkafirkan Hajjaj.

9-     Kes yang sama berlaku kepada Syiah, Kerajaan Fathimiyyah telah mencuri Hajarul Aswad, hingga rosak sebahagian Kaabah, menghina Sahabat, tetapi tidak membunuh kerana Sahabat sudah tiada. Memang jahat, tidak dinafikan.

10-     Tetapi ada pihak yang secara total mengkafirkan Syiah tanpa mengira puak-puak yang ada persamaan dengan Sunni. Dua bentuk label yang berlainan atas kes yang hampir sama.

11-     Kerajaan Umayyah, sehingga kepada Khalifah Sulaiman, sentiasa dalam khutbah mereka, menyediakan slot penghinaan kepada Saidina Ali dan keluarganya. Sehingga naik Khalifah Umar bin Abdul Aziz, beliau membatalkannya dan menggantikannya dengan ayat ke 90 surah an-Nahl.

12-     Tetapi semua khalifah-khalifah itu tidak dikira sebagai kafir, malah sejarah menunjukkan kekhalifahan mereka termasuk dalam empayar Islam, walaupun jelas berdosa perbuatan mereka mengutuk Sahabat, sama dengan perlakuan Syiah.

13-     Khalifah Umar bin Abdul Aziz juga tidak pernah direkodkan memerangi Syiah di zamannya kerana kekafiran mereka itu. Malah Khalifah Umar dipuji kerana berjaya melakukan taqrib mazhab. Sunni dan Syiah berdamai ketika di zaman beliau. Memberi isyarat kepada kita bahawa, usaha taqrib mazhab sebagaimana percubaan Presiden PAS, telah ada dan berjaya dilaksanakan suatu ketika dahulu. Jadi apa salahnya diulang perkara baik ini?

14-     Munafik tidak dibunuh oleh Rasulullah, walau Baginda mengenali mereka satu persatu sebagaimana yang Baginda informasikan kepada Abu Huzaifah. Mereka bukan sahaja menghina Rasulullah, tetapi juga berusaha membunuh Baginda sebagaimana yang tercatat dalam sirah ketika mereka kembali dari Perang Tabuk. Dan munafik itu duduknya di neraka terbawah.

15-     Jika Syiah dianggap lebih teruk dari Yahudi, bermakna mereka cuba memperkecilkan para Rasul kerana para Rasul akan bertembung dengan musuh yang paling jahat, apatah lagi Rasul Ulul Azmi.

16-     Dalam senarai musuh Rasulullah, al-Quran menyatakan Yahudi ialah kumpulan yang mesti dilawan. Jadi Presiden PAS memilih untuk melawan Yahudi berbanding Syiah.

17-     Tiada pernah Rasulullah memerangi mereka secara terbuka atau menghalau mereka dari Madinah. Hatta selepas Perang Khandak, yang diserang dan dihalau Baginda ialah Khaibar, penempatan Yahudi. Walaupun kedua-duanya berkhianat, Rasulullah tetap tinggal bersama munafik.

18-      Hafiz al-Asad bapa kepada Basyar al-Asad, keduanya pernah melakukan pembunuhan kejam terhadap rakyat Syria. Dan Syria ketika itu, walaupun masih di bawah kekuasaan Syiah Alawi, menjadi tempat tinggalnya ulamak Sunni, termasuklah Syeikh Ramadhan al-Bhuti dan ramai lagi.

19-     Tidak sedikit Sunni Malaysia yang ke sana. Sehinggalah api mazhab yang ditiupkan, maka terjadilah perang sebagaimana sekarang. Adakah Buthi tidak faham fiqh apabila meminta tidak melanjutkan peperangan dengan Basyar? Tidak lain kerana beliau berfikiran seperti Presiden PAS.

20-  Saya pernah menulis dulu yang Ali Rafsanjani Presiden Iran, pada sekitar tahun 90-an pernah dijemput menjadi tetamu negara Arab Saudi. Diberikan keistimewaan menziarahi makam Rasulullah. Dan kesempatan itu digunakan sejahatnya oleh beliau dengan mencaci Abu Bakar dan Umar di sebelah makam Baginda. Bagaimana Saudi boleh menjemput seorang kafir Syiah masuk ke dalam makam Rasulullah? Madinah tanah haram, bukan Islam tak boleh masuk, apa lagi dijemput ke makam Rasulullah.

21-     Ketika Syiah yang dikatakan kafir itu berpusu-pusu memasuki Makkah sama ada mengerjakan haji atau umrah, penganut Ahmadiyyah yang hampir sama amalannya dengan Islam di bawah ketua mereka Mirza Ghulam Ahmad Qadiayani pula diisytiharkan kafir, tidak dibenarkan menunaikannya. Dakwa sesetengahnya, mungkin ada yang Sunni di kalangan orang Iran dan kita tidak tahu. Maka tidak boleh disekat.

22-     Kalau benar begitu, bagaimana mereka mengenali pengikut Ahmadiyyah? Dan kenapa Ahmedenijad dan Rafsanjani, pembesar-pembesar Iran yang jelas Syiah itu terlepas masuk? Tak kenalkah mereka dengan Presiden Iran dan pembesar-pembesarnya? Kalau begitu, memang hebatlah orang Iran menyamar.

23-     Jelas Presiden PAS sedar akan apa yang berlaku dan siapa di belakang tabir wayang politik ini. Maka diserunya beliau agar bersatu atas nama Islam. Ketepikan mazhab. Tapi segera suara sumbang membangkang seruan kebaikan itu. Pelik, atas nama Yahudi, atas nama Kristian, semuanya boleh diampunkan oleh Allah jika bertaubat, itu kata mereka ketika berkuliah. Tetapi atas nama Syiah, jangan kamu dengar kata-kata taubatnya, itu hanya bertaqiyyah, seru mereka. Ajaibkan? Kenapa dibezakan antara keduanya?

24-     Presiden PAS sangat konsisten dalam dakwahnya. Saddam Hussin seorang Sunni Sosialis, ditemui beliau kerana Islam. Syiah juga beliau berdepan, atas nama Islam. Semuanya masih ada harapan keampunan Allah.

25-     DAP, PKR dulu pernah duduk sebumbung dengan PAS dan sekarang, Umno pula menggantikan tempat mereka sebagai teman. Jika ada sinar harapan bagi Islam, maka beliau segera mengambil peluang itu.

26-     Erbakan adalah rakan politik PAS di Turki. Presiden PAS mengenepikan Erdogan kerana beberapa perkara yang dilihat Erbakan mengenai Erdogan, merugikan Islam, diterima beliau. Nasihat Erbakan benar pada waktu itu.

27-     Masa berubah, Erdogan dilihat sebagai membawa kebaikan kepada Islam, maka Presiden PAS tidak memilih bermusuhan dengannya, menyokong beberapa perkara penting bagi Islam, sambil mengekalkan jalinan dengan kumpulan Erbakan. Jelaskan?

28-     Pernah di hadapan saya, Ayah Chik bercerita mengenai bagaimana beliau suatu ketika sampai di Makkah bagi mengerjakan umrah, tiba-tiba disambut oleh wakil Kerajaan Saudi. Seluruh rombongan beliau gembira kerana mendapat layanan VIP. Rupanya Saudi mahukan beliau bersetuju dengan satu isu yang kemudian beliau menolaknya. Begitu ketegasan beliau tunjukkan. Maka tidak hairan apabila beliau berkata, beliau tidak mengikut ‘Khadam dua Tanah Haram’ kerana beliau beriman kepada Allah.

29-     Jelas kerana Saudi walaupun kononnya membenci Iran, mereka sangat rapat dengan Yahudi dan Nasrani yang terang menjadi musuh Allah, disebut dalam al-Quran. Agak memeritkan kalau digali lagi mengenai sejarah kejatuhan empayar Othmaniah adalah kerana pengkhianatan Sharif Hussein yang kemudiannya beliau dikhianati pula oleh British melalui Bani Saud. Tidak pula menjadi isu mereka menjatuhkan khalifah ketika itu dan selepas menang, hukum melawan pemerintah diperberatkan. Biarlah Raja nak jadi apa pun, jangan lawan.

30-     Syiah yang sesat, seperti Rafidhah sangat jahat, kita bersetuju. Sehinggakan PAS pernah dituduh Syiah oleh agamawan yang mencari popular. Tuduh mereka lagi, wala’ yang membabi buta pengikut PAS juga ciri-ciri Syiah.

31-     Ironinya, baru-baru ini, Menteri Pendidikan, kawan baik mereka meletakkan jawatan atas dasar ketaatan kepada PM. Kemudian tersebar video yang anggap dirinya seperti Hang Tuah, iaitu di pihak benar. Kenapa beliau tetap wala’ kepada Tun kalau beliau benar? Syiahkah beliau kerana wala’ membabi buta, walaupun salah?

32-     Tun pernah bermusuh dengan Presiden PAS. Tun juga pernah menghina janggut Rasulullah. Tetapi tanpa segan silu, sesetengah agamawan pembenci Syiah boleh sahaja mengangkat Tun sebagai negarawan. Makan gaji dari Kerajaan Tun yang pernah menghina Rasulullah dalam waktu yang sama bermusuh dengan PAS yang melawan Tun ketika itu.

33-     Sehingga kini, belum didengari Tun bertaubat atas hal itu. Tapi Tun tidak dikafirkan seperti Syiah walau turut menghina Rasulullah, malah hukum Allah juga. Kenapa? Sebaliknya Presiden PAS, melayan Tun sama seperti Iran iaitu apabila Tun dilihat memberikan kebaikan terhadap Islam, maka beliau arahkan menyokong Tun, macam Iran sekarang.

34-     Pada Julai 2005, di Amman, Jordan, sebagaimana yang ramai ketahui, telah ditandatangani deklarasi yang dipersetujui oleh lebih 500 orang ulamak dunia yang mengiktiraf Syiah Zaidiyyah dan Jaafariyyah juga adalah beragama Islam.

35-     Yang ditolak ialah Syiah Rafidhah yang sesat itu, tetapi ada orang secara tidak bertanggungjawab memasukkan Syiah semuanya di dalam satu bakul. Dan demi mencapai tujuannya, apatah lagi untuk mencederakan imej Presiden PAS, maka ditempelkan identiti Syiah kepada beliau.

36-     Lihatlah istiqamahnya Presiden PAS, tanpa rasa kerdil dihina, dicaci oleh golongan yang mengaku ulamak tetapi tidak mahu menerima pandangan orang lain. Presiden PAS tetap dengan pendirian bahawa isu ini ialah isu politik dan perlu dihapuskan ialah dalangnya iaitu Yahudi dan Nasrani yang jahat itu. Jelas sekali, dunia mengakui ketokohan beliau. Bukan senang dipuji kumpulan orang alim, kerana orang alim memuji mesti ada alasan syarak, bukan suka-suka.

37-     Oleh itu juga, beliau langsung tidak tergugat dengan ugutan untuk beliau diturunkan dari jawatan Naib Presiden Kesatuan Ulamak Sedunia setelah menghadiri persidangan di Tehran bagi maksud taqrib mazhab.

38-     Bukan beliau yang minta jawatan, tetapi orang yang mahukan beliau berada di situ. Namun setelah tidak memegang jawatan pun, tetap beliau dicari, sampai ke Rusila Ketua KUIS datang ziarah, berbincang. Makin pening ‘haters’ Presiden PAS.

39-     Apabila Zakir Naik ditekan orang kafir, beliau bertemu dengan Presiden PAS. Kerana apa? Salah satunya ialah kerana pengaruh politik Presiden PAS. Zakir Naik juga dituduh Wahhabi oleh orang yang membencinya dari kalangan Muslim, tetapi tidak dihiraukan sorakan Wahhabi itu kerana Presiden PAS tahu, yang penting ialah jaminan keselamatan Zakir dan jauh lebih utama ialah dakwah Zakir Naik yang sangat menguntungkan Islam.

40-     Walaupun Hanipa Maidin, Mujahid, Khalid Samad bukan Syiah atau Wahhabi, setakat yang diketahui, Presiden PAS sehingga waktu ini, tidak membuat sebarang kerjasama dengan mereka kerana mereka tidak menguntungkan Islam, sebaliknya hanya memberi kelebihan kepada DAP.

41-     Namun dahulu, ketika mana mereka sanggup bersama untuk menaikkan Islam, Mat Sabu yang dikatakan Syiah itu pun Presiden PAS boleh berkerja bersama sehingga menjadi Timbalannya. Kata beliau, rumah PAS ada undang-undangnya. Siapa yang duduk dalam rumah PAS, mesti ikut Undang-undang PAS.

42-    Morsi yang diketahui sebagai Muslim yang baik itu, disokong oleh Presiden PAS. Manakala sekumpulan orang memilih as-Sisi, anak keturunan Yahudi dari sebelah ibunya, bahkan menyalurkan pula berbilion USD bagi kemenangan as-Sisi di Mesir, sekali gus memanjangkan lagi hayat Israel di sana. Manakala Syiah pula dituduh sebagai ejen Yahudi. Tidakkah anda terasa apa-apa yang pelik dengan kejadian ini?

43-     Pulau Tiran dan Sanafir di hujung Selatan Mesir, yang menjadi pintu masuk ke pelabuhan Israel melalui Jordan, Saudi dan Mesir, diserahkan kepada Saudi yang sekali gus memberikan laluan mudah kepada Israel keluar masuk ke pelabuhannya itu. Diam membisu penyokong Saudi seluruh dunia.

44-     Mungkin itu sebagai langkah dakwah Saudi terhadap Yahudi bagi mengajak mereka masuk Islam, kita cuba bersangka baik. Tak boleh persoalkan. Ianya hanya jangan diberikan kepada Syiah sahaja kerana Syiah adalah kafir proksi Yahudi, bertaqiyyah dengan Amerika. Lucukan?

45-     Dalam semua kumpulan, akan sentiasa ada sekelompok yang ekstrem. Sama ada Syiah, Sunni, parti politik, bahkan peminat kelab bola sepak juga sanggup bertumbuk. Maka jika yang dilihat itu kepada golongan ekstrem dan diambilnya sebagai lambang kepada jemaah itu, ia adalah panduan yang terseleweng, kerana akan menyamaratakan orang lain yang tidak bersalah sama ada tertipu atau yang bodoh.

46-     Presiden PAS, jelas memisahkan semua itu. Sudah berkali-kali katanya, ada golongan tertipu dalam Syiah, sama dengan ajaran sesat dalam Sunni. Bila Presiden PAS cuba bantu mengembalikan mereka yang sesat itu, mereka marah. Sudah mereka tak mahu dan tak mampu, dihalangnya pula orang lain.

47-     Ibnu Abbas pernah diperintahkan Saidina Ali bagi berdebat dengan puak Khawarij, ketika diketahui yang mereka mahu menyerang Ali. Lalu daripada ribuan askar Khawarij itu, lebih separuh berjaya dipujuk oleh Ibnu Abbas dengan dalil yang sangat jelas.

48-     Rupanya ada ruang bagi mereka yang kufur bertaubat. Mereka tidak tahu dalil itu kerana sama ada dibodohkan atau memang bodoh. Terselamatlah nyawa manusia. Bayangkan kalau pembenci Presiden PAS ada ketika itu, mungkin habis berperanglah manusia.

49-      Presiden PAS juga tidak menyebelahi golongan pembenci Syiah yang sentiasa mahu berbalah, tanpa membuka pintu rundingan sebagaimana layanan Rasulullah yang mahukan semua umat Baginda masuk syurga. Buktinya, Rasulullah masih mahu mendoakan Abdullah bin Ubay, sehinggalah ditegah Allah.

50-     Fahamkah anda bahawa, Presiden PAS tidak sesekali menyokong penghinaan Syiah terhadap Rasulullah, Sahabat atau mana-mana individu yang baik. Namun, beliau juga tidak memusuhi hanya berdasarkan kebencian kepada Syiah semata-mata. Pertimbangan beliau ialah atas nama kepentingan Islam.

51-    Taqiyyah itu bukan salah, ianya ada dalam Islam, jelas dan terang dalilnya, tanpa penolakan. Ia pernah dilakukan oleh Sahabat Rasulullah Ammar bin Yasir, apabila beliau tidak berdaya menahan kesakitan menderita diseksa. Rasulullah juga tidak mampu membantunya. Beliau mengaku di mulutnya di hadapan Musyrikin Makkah bahawa beliau tidak meninggalkan ajaran nenek moyang mereka. Taqiyyah Ammar tidak sampai ke hati, ia lakonan sahaja. Apabila diketahui Rasulullah, Rasulullah membenarkan Ammar.

52-     Akan tetapi taqiyyah telah ditempelkan kepada Syiah. Menjadikannya sangat jijik oleh orang yang membenci Syiah, sedangkan hukum asalnya diharuskan. Kita kemudiannya menjadi fobia dengan perkataan taqiyyah. Oleh itu taqiyyah perlu dilihat kepada keperluan mereka. Syiah yang jahat, menggunakan taqiyyah bagi membohongi manusia untuk mengembangkan kefahaman mencaci Sahabat, ia wajar ditolak.

53-     Berita dari Iran dilarang membaca kerana ia propaganda Syiah. Jadi taqiyyah Syiah tidak diterima sebab mereka musuh, ok kita faham. Tetapi banyak berita dari CNN, AFP, Reuters kepunyaan Yahudi yang kita tahu jelas kerjanya menghina, melagakan, membohongi, berat sebelah kepada Islam, dipercayai pula bulat-bulat. Apa lagi bila hal berkenaan Syiah.

54-     Maka stesen-stesen berita ini juga ber taqiyyah, berpura-pura baik. Dikutuk Saddam sewaktu mahu menyerang Iraq, kita percaya. Dihinanya Gaddafi ketika mahu menjatuhkan Libya, kita telan dan ramai lagi. Akhirnya negara itu hancur, ajaibnya, kita masih menggunakan mereka sebagai sumber.

55-     Dan bagaimana pula satu kumpulan orang Islam yang membenci Syiah, tetapi secara terang-terangan menjadi sekutu Amerika dan Yahudi. Jadi, timbul persoalan, siapa yang bertaqiyyah agaknya?

56-     Fikirkanlah, anda mungkin termasuk dalam satu persimpangan yang anda sendiri keliru. Kemudian anda membiarkan orang yang ada kepentingan memandu anda ke arah yang mereka mahukan. Ia mungkin ke jalan yang baik, tetapi tidak terlepas kemungkinan menuju ke jalan yang menghancurkan.

57-     Saya mempunyai ramai kenalan yang belajar di negara-negara Arab dari latar belakang Salaf atau Khalaf. Majoriti mereka bersikap pertengahan, alhamdulillah saya banyak belajar dari mereka. Sikap pertengahan dalam agama, insyaAllah akan menyelamatkan. Buka minda, apatah lagi di zaman yang tidak dapat disisih antara fitnah dan kebenaran ini.

58-     Bagi saya, panduan Presiden PAS jelas, ajak semua manusia ke syurga, sokong semua pihak yang boleh menaikkan Islam tanpa prejudis. Lawan kita jelas, Yahudi dan Nasrani. Maka kepada orang Islam, beliau memilih bertembung secara damai.

59-     Buktinya, beliau tidak melayan pun cercaan dari agamawan yang mengaku kononnya pandai Hadis. Beliau tahu, ianya hanya merosakkan nama ulamak atas tajuk furu’. Ketika beliau mahu berbincang, beliau panggil orang yang sesuai untuk berjumpa seperti pernah dipanggil bekas Mufti Perlis, Dr Asri dan Mufti Wilayah, Dr Zulkifli juga selalu bertandang ke rumahnya berbincang. Mereka bukan ulamak yang berbalah di FB.

60-     Yang beliau lawan dahulu hingga sekarang ialah kepala negara. Mereka ini penting kerana jika mereka menerima dakwah, seluruh negara boleh diubah menurut kehendak Islam. Dia tidak perlu melayan ulamak yang menyalak-nyalak ajak beliau berdebat atau selalu mengkritik beliau di FB kerana ulamak jenis itu low class. Nak hapuskan judi pun tak mampu. Dah tak ada kuasa kan?

61-     Jutaan manusia menyaksikan ajaran dan tindakannya itu selari dan berguna untuk ummah. Ribuan malah mungkin jutaan alasan untuk menerima perlakuannya tidak menyalahi sunnah. Jika terkhilaf sekalipun, ia tidak membawa manusia tergelincir akidahnya. Namun manusia memerlukan satu sahaja untuk menolak semua itu, kebencian.

62-     Ketika respons agamawan lain terhadap Syiah diibaratkan bagai mengugut anak mereka, menakut-nakutkannya dengan hantu supaya jangan pergi dekat. Presiden PAS pula mengajar anak-anak untuk pergi dan lihat sendiri dan jangan takut pada hantu, kita ruqyahkan dan kuasai hantu itu.

MOHD NASIR ABDULLAH
11 Januari 2020 – HARAKAHDAILY 11/1/2020


Lihat Sebelum Ini...

15 comments:

  1. Petikan di atas adalah ayat politik yang dipetik berdasarkan media propaganda seperti CNN dsb.
    Tak perlu kita beri sejuta alasan, satu alasan dah cukup. Apakah tidak sesat kika kita kata Allah ada tangan, ada mata dan bersemayam atas singgahsana?
    Apakah ciri-ciri Allah sama seperti makhluk?
    Tidak sesatkah kita jika menyamai Allah dengan makhluk?
    NA'UZUBILLAH.

    Zat Allah yang dilafazkan Syiah amat berbeze dengan sifat2 Allah (sifat 20) yang diceritakan oleh ulama dan kitab-kitab dahulu.

    ReplyDelete
  2. Hujah ketinggalan zaman. Pegi belajar lagi.
    Ya allah maafkan dia, dia tidak mengerti..

    ReplyDelete
  3. Ha ha

    T kasih anon 4.14
    Kes hj hadi menyokong Syiah sama seperti kes Shamsiah Fakeh masuk kominis.
    Shamsiah Fakeh berjuang untuk kemerdekaan dan "terlupa" komunis ada falsafah dan doktrin sendiri.
    Hadi sokong Iran sebab marah Amerika dan Israel tanpa menyemak falsafah dan doktrin Iran yang cuba "mensyiahkan" rantau Asia Tenggara.
    Ingat kedua-dia kes di atas, 1-Kes Hadi sokong Syiah dan ke 2-Shamsiah masuk kominis === berkait rapat dengan AKIDAH ISLAM.

    Mereka menyokong Syiah sebab marah Yahudi seperti Shamsiah sokong kominis kerana marahkan penjajah. Mereka lupa, kedua-dua doktrin itu bertentangan dengan AKIDAH ISLAM

    TOLONG JANGAN MENODAI AKIDAH KITA!
    Kalau rasa nak buat juga, buatlah......

    ReplyDelete
  4. Yang jadi mangsa adalah iraq majoriti sunni bila peluru berpandu iran sampai. Peluru berpandu iran tak sampai ke amerika. Itu yg sepatutnya. Jadi dua negara arab sudah rugi. Tektik amerika to divide negara arab menjadi. Seluruh negara arab sepatutnya bersatu untuk serang amerika.

    Kat malysia, yg pecahkan umat ialah dap. Kuda kuda dap ialah pan dan pkr. Dua dua pemimpin parti kuda bukan ulamak pun. Cuma mereka bijak pidato tapi kosong nilai islam.

    ReplyDelete
  5. Ciri-ciri Syiah telah meresapi ahli PAS
    lihat sahaja kelakuan anon 5:42 di atas.

    ReplyDelete
  6. Sudah2 mengelirukan umat islam di malaysia ni dgn syiah..tak cukup dgn perbezaan ideologi politik tak matang tuan nk tambah lagi dengan syiah semata2 nak membela presiden tuan?

    ReplyDelete
  7. Ana sokong anon 8:26

    -Tiada "perkataan zina" dalam Syiah kerana boleh kahwin mutaah walaupun isteri orang
    -sembahyang yang berbeza.
    -ada al-quran untuk penganut ajaran Syiah, kononnya al-quran sunni rekaan semata-mata
    dan 1001 lagi, semua ini terbukti...

    AJARAN SYIAH SESAT DAN MENYESATKAN !

    ReplyDelete
  8. La Ibnu Hasyim,
    awat hang lagu ni
    dok promote Syiah?

    Kalau ada Tok Kenali dan Nik Aziz , gerenti hang kena peluku.

    Orang dah meluat dengan ajaran sesat Syiah ni
    merosakkan akidan ummah !

    ReplyDelete
  9. merapu macam tu, hujah takde. Bodoh situ..

    ReplyDelete
  10. Mana lagi peluloq juboq tak basuh g/eng. Keluaq la tuduh syiah sesat.. sorok buat apa dedak miss ke?
    di dunia pon kamu dah se hina itu. Mana tulang besi dan haramjadah2 kamu..
    tau malu pon..

    ReplyDelete
  11. Ni blog syiah ker? Asyik bagi up aja. Kalau syahadat pn berbeza itu maknanya apa bang?? X payah la nk citer benda lain. Quran dorang 2x tebal quran kita. Nk kata dorang bagus ker? Dihinanya aisyah dgn panggilan pelacur x de perasaan marah ker? Menghalalkan kawin mutaah walaupun dgn bayi sekali pun dh rasa nk join sekali ker? Menyakini imam ke 12 sebagai imam mahdi dh nk rasa baiat ker? Astagfirullahal azhim.

    Kenapa saudi benarkan jemaah iran tunaikan haji? Kerana mereka takiyyah. Cakap mereke islam mengamal islam tp bila dh sampai kaabah macam2 kerosakkan dan kekacauan dorang buat. Mana2 negara islam yg dorang masuk abis semua di propaganda utk menentang pemerintah yg sah. Ini semua utk melemahkan umat islam. Cuba korang cek kat iran berapa ramai sunni yg tidak di kacau. Ada perkampungan? Kebun? Premis? Ya mungkin ada. Tp terpaksa menyorokkan identiti kalau x mahu di kacau.

    Syiah berasal daripada yahudi. Mana mungkin iran nk tembak israel. Saja je dimomok2kan yg iran anti israel amerika. Buktinya hizbullah tembak israel. Padang pasir je kena atau pn jalan. Jauh nk kena penwmpatan. Sekali israel balas abis umat islam di bom. Sapa yg untung? Begitu punya hebat dorang masih x dpt bunuh pemimpin hizbullah. X pelik ker?

    ReplyDelete