Tuesday, January 14, 2020

Ini, Pemikiran Rosak Aqidah, Sedang Dipromosikan. -Dr Mohd Khairuddin.



G25 sedang promosi pemikiran sesat, keliru
KUMPULAN bekas penjawat awam kanan, G25 adalah satu kumpulan yang sedang bergerak mempromosi pemikiran yang merosakkan aqidah, syariat dan akhlak umat Islam meskipun anggotanya terdiri di kalangan orang yang mengaku Islam.

Pendirian mereka yang menolak tindakan dan hukuman dikenakan kepada pesalah yang melanggar hukum agama Islam adalah jelas sesat dan tersasar. Ia lahir dari keyakinan yang salah dan songsang terhadap hakikat sebenar agama Islam yang menjadi agama bagi negara Malaysia menurut Perlembagaan.

Agama Islam bukan hanya agama yang mengandungi hukum-hakam dan peraturan yang melibatkan pahala dan dosa yang dihukum di Akhirat tetapi ia adalah agama yang mencakupi undang-undang melibatkan kehidupan manusia yang dikenakan tindakan dan hukuman di dunia.

Islam menetapkan bahawa mengambil tindakan dan hukuman atas kesalahan berlandaskan hukum agama itu adalah kewajipan dan tanggungjawab mereka yang berkuasa dalam sesebuah negara dan negeri bagi menjamin dan memelihara keselamatan agama, nyawa, jasad, harta, maruah dan akal rakyat.
Persetubuhan luar nikah dan minum arak sebagai contoh adalah kesalahan agama dan jenayah yang mesti dikenakan hukuman di dunia bukan hanya di Akhirat bagi menjamin kesucian nasab dan kesejahteraan akal manusia.
Jenayah membunuh, mencederakan, mencuri dan merompak adalah kesalahan agama yang mesti dikenakan hukuman di dunia bagi menjamin keselamatan nyawa, jasad dan harta manusia.

Pemikiran G25 secara keseluruhan bertujuan membuang agama daripada kehidupan manusia dan membuang agama daripada pengurusan bernegara. Ia pemikiran yang bahaya dan sesat bagi umat Islam.

Sebaran pemikiran mereka juga bercanggah dengan peruntukan Perlembagaan yang meletakkan Islam sebagai agama negara. Ia juga bercanggah dengan undang-undang negeri-negeri dalam Malaysia yang memperuntukkan hak dan kuasa kepada kerajaan untuk mengenakan hukuman dunia terhadap pesalah-pesalah agama.

Kerajaan Persekutuan dan juga negeri di mana pemikiran mereka disebar dan diwacanakan perlu segera bertindak terhadap kumpulan ini yang dilihat semakin berani mempromosi pemikiran songsang mereka.
Sekian.

Oleh:
DATO’ DR MOHD KHAIRUDDIN  AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Ahli Parlimen Kuala Nerus
Ahad 12 Januari 2020 – HARAKAHDAILY 12/1/2020

No comments:

Post a Comment