Friday, January 03, 2020

Lagi Penipuan PH, Tangguh Subsidi Petrol.. -AP Rantau Panjang.


Tangguh PSP: PH lemah dan bermuslihat

PENANGGUHAN Program Subsidi Petrol (PSP) menjelang saat akhir pelaksanaannya bermula Januari 2020 menunjukkan kelemahan amat ketara Kerajaan PH. 

Malah, ia dicurigai mempunyai muslihat apabila teks rasmi surat penangguhan itu menggunakan terma berbeza iaitu ‘tidak diteruskan’. Menyebabkan rakyat ternanti-nanti kemungkinan PSP juga bakal menjadi satu lagi ‘harapan’ dan janji yang dimungkiri.

Pengumuman itu juga menunjukkan kegopohan Kerajaan PH akhirnya memakan diri. Ketika mekanisme pelaksanaannya masih kabur untuk diberi kepada golongan sasar, PH pula dilihat terlalu ghairah kononnya bagi merealisasikan Manifesto PH. Akibatnya tersasar, lalu impian golongan B40 dan M40 tidak ubah seperti cuba digula-gulakan sahaja. 

Kedatangan Tahun Baharu 2020 tidak menggembirakan, tapi dikecewakan. Ramai yang pasti hairan dengan sikap teruja berlebihan PH hingga menguar-uarkan kunjungan ke portal rasmi PSP mendapat 3.7 juta pelayar pada awal November. Sedangkan perbahasan mengenai PSP hanya berlangsung di Sidang Dewan Rakyat pada pertengahan November. 

Menteri dan Timbalan Menteri sendiri begitu bersungguh-sungguh mempertahankan projek ini yang seperti telah sangat sempurna. Tiba-tiba ia diumum tangguh ‘tidak diteruskan’ dengan alasan untuk memberi penerangan dan penjelasan, selain melakukan pendaftaran bagi penerima M40. Ini bukan sesuatu yang kali pertama, tetapi Kerajaan PH sudah masyhur dengan tindakan ‘U-Turn’ dan mengumumkan sesuatu tanpa kajian terperinci. 

Jelas ini petunjuk betapa ia hanyalah projek politik yang tidak mendapat nasihat sewajarnya. Sepatutnya pihak Menteri bekerjasama dengan para Pegawai Perkhidmatan Awam bagi menyediakan rangka yang matang. Bukan secara ‘ad-hoc’ atau demi meraih kepentingan politik. Cukuplah beringat bahawa rakyat sudah amat mengenali PH sebagaimana penilaian prestasi diumumkan dari survey dilakukan pelbagai pihak. 

Sogokan untuk meraih sokongan hanya memperlihatkan pimpinan PH seperti menagih undi. Malah, rakyat sudah sampai mempersoalkan sasaran sebenar PSP yang sekadar pemberian RM30 sebulan, sedangkan hakikat penggunaan berjurang lebih besar dari itu. Ia sememangnya akan tersasar apabila harga runcit berada di bawah RM2.08 seliter menerusi kaedah Mekanisme Harga Automatik untuk diapungkan ke harga tersebut. Persoalan lebih besar dari itu berkait ketelusan dan motif PSP.

Apakah ianya benar-benar menguntungkan rakyat secara bersasar, sekali gus kerajaan? Atau sebenarnya tersasar apabila GHL Systems Bhd yang memenangi tender membangunkan sistem, dipengerusikan individu sama dari Great Eastern Takaful Berhad; pengendali Skim MySalam di bawah Kementerian Kewangan? PH diingat supaya tidak bermain silap mata, rakyat menunggu masa membongkarnya.

Hakikatnya, rakyat juga yang telah diperdaya tipu oleh PH. Selain PSP, satu lagi janji PSP yang lain iaitu Program Sarapan Percuma juga tidak sepertimana diuar-uarkan. Janji menghapuskan tol juga sudah lama tidak lagi kedengaran, jauh sekali gaji minimum. Sebaliknya tular pimpinan PH pula yang akan mendapat kemudahan. Semuanya ketika prestasi mereka hambar dan tidak kompeten untuk memimpin negara dan rakyat.

“Islam Memimpin Perpaduan”

YB DATO’ SITI ZAILAH MOHD YUSOFF
Pengerusi
Lajnah Pekerja dan Pengguna PAS Pusat
Ahli Parlimen Rantau Panjang – HARAKAHDAILY 1/1/2020

No comments:

Post a Comment