Friday, January 17, 2020

Takziah Dari HAMAS, Jihad Islami, Fatah, Hizbullah Lubnan, Houthi Yaman, Syria, Turki, PAS..



Takziah pimpinan Islam terhadap Jeneral Iran

KECELARUAN maklumat yang terhidang era hujung jari ini membuatkan kita keliru mana satu yang betul, mana satu yang palsu. Agamawan sendiri berbeza pandangan. Orang awam jadi keliru mana yang patut diikut.

Tambah mengelirukan bila ianya berkait isu antarabangsa. Pihak yang terlibat dalam persaingan kuasa terlalu ramai. Negara kuasa besar punya agenda masing-masing. US, Rusia, China. Dunia Islam cuba punya beberapa kutub kuasa. Turki, Iran, Saudi. Menentukan siapa benar siapa salah tidak semudah membezakan antara hitam dan putih. Terdapat zon kelabu yang sangat luas, mengaburkan pandangan kita.

Kekeliruan terbaru timbul apabila Jeneral Iran, Qasem Sulaimani syahid di muncung senjata US. Yang membunuhnya adalah negara yang memporak perandakan dunia Islam terang-terangan. Yang dibunuh pula seorang beraliran Syiah, yang dituduh memusuhi Sunni. Apakah berita ini satu kebaikan buat umat atau bala?

Tuhan telah meletakkan satu penanda aras menentukan pihak yang benar di akhir zaman ini. Sabda Rasulullah S.A.W:
لَا تَزَالُ طَائِفَةٌ مِنْ أُمَّتِي عَلَى الْحَقِّ ظَاهِرِينَ لَعَدُوِّهِمْ قَاهِرِينَ لَا يَضُرُّهُمْ مَنْ خَالَفَهُمْ إِلَّا مَا أَصَابَهُمْ مِنْ لَأْوَاءَ حَتَّى يَأْتِيَهُمْ أَمْرُ اللَّهِ وَهُمْ كَذَلِكَ قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ وَأَيْنَ هُمْ قَالَ بِبَيْتِ الْمَقْدِسِ وَأَكْنَافِ بَيْتِ الْمَقْدِسِ

“Akan sentiasa wujud di kalangan umatku yang berjuang atas kebenaran, tegas terhadap musuh dan tidak akan terkesan dengan pihak yang meninggalkan mereka, melainkan menghadapi kesempitan hidup. Hinggalah datang ketentuan Allah dan mereka masih dalam keadaan demikian. Sahabat bertanya siapakah mereka? Sabda Rasulullah mereka di Baitulmaqdis dan sekitar Baitulmaqdis.
[HR Ahmad]
Hadis tersebut menyatakan mereka yang berjuang di Baitulmaqdis dan sekitar Baitulmaqdis adalah golongan yang berjuang di atas kebenaran. Justeru sesiapa yang bersama membantu perjuangan mereka berada di pihak yang benar.

Secara mafhum mukhalafah pula, mereka yang menentang pejuang Baitulmaqdis dan mereka yang bersama penentang pejuang itu berada di pihak yang salah. Kerana kebenaran hanya satu di sisi Allah.

Pejuang Islam di Baitulmaqdis adalah kumpulan-kumpulan yang menghadapi Zionis secara langsung. Yang besar adalah Hamas dan Jihad Islami. Maka merekalah paksi pihak yang benar.

Musuh mereka adalah Zionis. Merekalah paksi kejahatan.

Alhamdulillah. Golongan yang membantu pejuang di Palestin pula terdiri dari ramai pihak. Namun yang membantu secara langsung adalah Iran. Mereka membekalkan banyak bantuan dari sudut persenjataan, teknologi dan latihan. Sebelum Arab Spring berlaku, Syria menjadi pusat latihan ketenteraan Hamas. Hizbullah di Lubnan menjadi perantara Iran dan Palestin.

Ya, mereka Syiah. Akidah mereka sesat. Tapi mereka bersama pejuang yang benar. Selain mereka, tidak ada lagi dunia Islam yang membantu persenjataan pejuang Palestin.

Ramai yang tidak percaya bantuan Iran kepada pejuang Palestin. Ini kerana ia dilakukan secara sulit. Maklumat ketenteraan adalah perkara strategi, bukan satu perkara yang boleh dihebohkan. Akibatnya, ramai menganggap bantuan itu hanyalah wayang.

Namun kematian Qasem Sulaimani menjadi indikator tahap kebergantungan pejuang Palestin terhadap Iran. Hamas antara yang awal mengucapkan takziah, sambil menyifatkan beliau adalah orang yang memainkan peranan besar dan kritikal dalam perjuangan Palestin di semua peringkat. Jihad Islami pula menyifatkan beliau sebagai pendukung tegar perjuangan Palestin sejak berdekad yang lalu. Malah Fatah Islami menyifatkan Qasem Sulaimani sebagai Che Guevara Asia Barat.

Di luar Palestin, Hizbullah Lubnan berjanji menuntut bela kematian Qasem. Kabilah Houthi di Yaman memberi amaran serangan balas kepada US. Presiden Syria, Bashar Asad, Presiden Turki, Erdogan dan Presiden PAS, Tuan Guru Abdul Hadi turut melahirkan simpati.

Dari sisi lain pula, musuh pejuang Islam Palestin adalah Zionis. Sekutu rapat Zionis pula adalah US dan India. Sekutu US pula adalah negara-negara EU, NATO dan negara kecil seperti Singapura, Taiwan, dan beberapa negara lain. Negara Islam yang paling rapat adalah Arab Saudi dan UAE.

Maka tidak hairanlah Saudi menyenaraikan Hamas sebagai kumpulan teroris. Tidak peliklah Saudi putuskan hubungan dengan Qatar atas alasan Qatar melindungi Hamas. Tidak mengejutkan jika Saudi sangat memusuhi Iran.

Sekiranya kita fokus kepada musuh utama Islam yang digazetkan di dalam al-Quran iaitu Zionis, dan kita letakkan tanda aras pihak yang benar berdasarkan hadis adalah pejuang Baitulmaqdis, maka tidak terlalu sukar untuk kita bersama pihak yang mana. Bahkan ia juga adalah formula untuk umat ini membina kesatuan Islam tanpa mengira mazhab, aliran dan keturunan. Kesatuan adalah asas pembentukan khilafah akhir zaman.

ALANG IBN SHUKRIMUN
9 Jumadal Ula 1441
5 Januari 2020 – HARAKAHDAILY 5/1/2020

5 comments:

Anonymous said...

Tak perlu anda promote IRAN, pernahkah anda ke Iran ?

Anonymous said...

Tak payah nak promote Syiah. tak kan berlaku perang us vs iran. US+Iran+Zionist adalah pembantai umat Islam.

Anonymous said...

Lu yang bodoh, tak kenal Iran dan zionis US.

Anonymous said...

Dalam islam, ada satu lagi bidang fiqh iaitu fiqh keutamaan. Mungkin boleh fahamkan bidang ini supaya memahami khilaf antara ilmuan islam dalam konteks berpolitik.

Anonymous said...

Bersangka baik dengan dap adalah satu suruhan. Bersangka baik dengan ilmuan islam adalah satu larangan. Fikir fikirkan lah supaya tidak terjerumus ke lembah kehinaan.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails